tragedi nuklear radiasi tokai 1999 jepun

Sievert merupakan unit yang digunakan bagi mengukur tahap pencemaran atau pendedahan seseorang, kepada kesan radiasi sama ada di luar atau dalaman tubuh.

Untuk mereka yang bekerja dalam bidang yang terdedah dengan risiko radiasi, wujud garis panduan ukuran radiasi yang selamat dengan kadar 20 miliSievert setahun (ditulis sebagai 20mSv/yr) dijadikan penanda aras bagi mereka yang bekerja dalam bidang penyelidikan nuklear serta individu yang terlibat dalam perlombongan uranium.

Pada tahap 1sV, radiasi dianggap mampu menyebabkan seseorang sakit serta hilang sel darah putih. Sekiranya meningkat kepada 5sV, individu dijangkiti dijangka akan meninggal dunia dalam masa sebulan dan 10sV dalam masa beberapa minggu.

Bagaimana pula nasib seorang manusia yang diserang radiasi setinggi 17sV?

Letupan Loji Nuklear Tokai 1999

loji nuklear tokaimura

Dalam letupan radiasi terburuk (sebelum insiden letupan Fukushima 2011) melibatkan bahan nuklear, 49 orang pekerja Syarikat Perlombongan Besi Sumitomo milik Japan Nuclear Fuel Conversion Co. (JCO) yang terletak di Tokaimura, Jepun berhadapan radiasi secara terus.

Insiden dahsyat itu berlaku disebabkan oleh kegagalan pihak penyeliaan memantau proses campuran uranium dengan asid nitrik, yang sepatutnya dibuat adunannya menggunakan sistem pam.

animasi bagaimana kesalahan sop tokaimura

Namun pada hari kejadian, pekerja yang terlibat bertindak mencampurkan sendiri adunan menggunakan baldi besi sehingga memulakan tindak balas kritikal mengakibatkan gelombang radiasi tersebar selama lebih 20 jam.

Tiga orang juruteknik yang terlibat dalam kecuaian tersebut direkodkan hanya sempat menyaksikan gelombang biru yang sangat pantas, sebelum pengsan akibat kadar radiasi terlalu tinggi telah meracuni mereka.

Ketua kepada kumpulan pekerja itu, Yutaka Yokokawa menerima radiasi pada tahap 3sV sementara dua lagi juruteknik pula, sangat tidak bernasib baik. Masato Shinohara diracuni 10sV radiasi sementara individu paling malang - adalah seorang juruteknik berusia 35 tahun bernama Hisashi Ouchi.

Dia menerima 17sV radiasi secara berdepan, dilaporkan kesannya menyamai seakan-akan berada di titik tengah gelombang bom atom yang dijatuhkan tentera Amerika Syarikat di Hiroshima.

Insiden letupan itu yang berlaku pada 30 September 1999 berjaya dikawal pada jam 6.15 pagi keesokannya mengakibatkan risiko kepada 310,000 penduduk Tokai diletakkan dalam status berjaga-jaga. Bagi Ouchi, mimpi ngerinya baru saja hendak bermula.

Hilang kemampuan memproses darah dalam tubuh

pesakit terdedah kilang loji nuklear jepun

Ouchi dan Shinohara berhadapan detik sukar, disebabkan oleh gangguan radiasi dalam tubuh mereka telah pun mengakibatkan majoriti sistem tubuh dan organ dalam badan mereka rosak. Kedua-duanya hilang keupayaan untuk menyembuhkan diri sendiri.

Mereka ditempatkan dalam dua bilik khas secara berasingan di University of Tokyo Hospital. Usaha pihak perubatan adalah untuk memulakan kembali proses pembentukan sel darah putih dalam badan mereka yang telah mati prosesnya, memerlukan proses pemindahan sel dari pemilik yang sihat.

Ouchi menerima sel dari adiknya sementara Shinohara pula menerima sel dari tali pusat yang disimpan di situ, menerusi proses yang dikenali sebagai 'peripheral stem cells'; direkodkan percubaannya sebagai kali pertama dalam dunia ketika itu.

Usaha itu pada awalnya dipercayai gagal ekoran ketiadaan reaksi tindak balas pada badan, sebelum Oushi menampakkan perubahan pada hari ke 18 selepas insiden apabila sel darah putihnya mula meningkat.

Namun selang beberapa hari berikutnya, organ-organ dalamannya mula hilang bentuk mengakibatkan pendarahan dalaman. Tubuh beliau mula kehilangan air sehingga 10 liter sehari, darah mula mengalir dari matanya sebelum liang romanya sendiri mula mengalirkan darah keluar.

Ototnya mula luruh daripada tulang.

Bagi Shinohara pula keadaannya dilaporkan bertambah baik menunjukkan pemindahan sel yang telah dilakukan mula memberikan kesan positif.

Putus nafas pada hari ke 83

mangsa radiasi tokaimura

Kegagalan tubuh Ouchi terus menunjukkan tiada perubahan. Jantungnya terhenti 3 kali pada hari ke 59, mengakibatkan otak dan buah pinggangnya tidak lagi mampu berfungsi.

Nyawa Ouchi akhirnya bergantung sepenuhnya dengan darah yang dipamkan agar mengalir, cecair yang dimasukkan bagi memastikan tubuhnya tidak kering dan pelbagai jenis dadah yang disuntik untuk memastikan hayatnya berjalan.

Akhirnya pada 22 Disember 1999 selepas 83 hari cuba dipulihkan, Ouchi meninggal dunia.

Kematiannya menimbulkan kontroversi peringkat negara disebabkan oleh sentimen orang ramai yang melihat

Shinohara yang bertambah baik dibenarkan untuk bersiar-siar di kawasan kompaun hospital dengan kerusi roda, namun selepas diserang pneumonia pada penghujung bulan Februari tahun 2000 - sistem pernafasannya yang gagal pulih ekoran kesan radiasi, membunuhnya.

Kematian kedua-dua individu ini membuka perbincangan hangat berkenaan keperluan Jepun untuk terus bergantung dengan teknologi nuklear sebagai sumber tenaga. Apatah lagi punca sebenar kejadian tersebut adalah disebabkan oleh kegagalan kumpulan pekerja mematuhi protokol keselamatan yang sangat asas.

Selain itu, media Jepun juga mempersoalkan tindakan sesetengah penyelidik dan pakar perubatan yang didakwa menjadikan Ouchi bahan ujikaji mereka, sepanjang dia terlantar.

Beberapa pihak didakwa sengaja memanjangkan hayat Ouchi bagi membolehkan eksperimen dilakukan ke atasnya. Dakwaan ini bagaimanapun dinafikan pihak yang dituduh.

Walau apa pun, kemampuan Ouchi untuk bertahan selama 83 hari selepas menerima gelombang radiasi yang sepatutnya sudah membunuh beliau lebih awal - adalah satu keajaiban.

Pendakwaan ke atas mereka yang terlibat

pesalah insiden tokaimura didakwa

Berikutan status insiden ini yang telahpun meragut nyawa disebabkan kecuaian pengendali loji nuklear, kertas siasatan telah dibuka oleh polis dalam mengenalpasti unsur jenayah yang terlibat.

Selain dua mangsa yang meninggal dunia, 667 orang didapati memerlukan rawatan ekoran kejadian tersebut. Siasatan selama lebih setahun mendapati punca sebenar kejadian adalah disebabkan oleh kegagalan syarikat pengendali loji iaitu JCO dalam melatih pekerja.

JCO juga didapati telah pun mengubah manual keselamatan loji mereka, tanpa mendapat pengesahan daripada Kementerian Tenaga Jepun.

JCO membayar pampasan sebanyak 50,000 Yen (RM1850) untuk mana-mana penduduk dalam lingkungan 350 meter dari loji dan 30,000 Yen (RM1130) untuk penduduk yang perlu berpindah keluar.

6 orang individu berstatus pegawai dan penyelia ditahan, termasuklah Yutaka Yokokawa yang terselamat selepas 3 bulan di hospital - atas dakwaan bekerjasama dalam mengesah dan membenarkan prosedur tidak sah (PDF) mengendali bahan beradiasi berjalan dalam premis.

Salah satu prosedur yang dibenarkan oleh mereka adalah penggunaan baldi besi untuk memudahkan campuran bahan - yang sebenarnya telah diamal sejak tahun 1993!

Semasa perbicaraan, saksi mengakui pelbagai langkah telahpun diambil pihak pengurusan dalam menyembunyikan kegagalan mereka mematuhi prosedur rasmi setiap kali pemeriksa hadir, disebabkan oleh sifat acuh tak acuh nak kerja senang.

Keenam-enam individu membuat pengakuan bersalah sebelum perbicaraan dimulakan.

Apabila disoal dalam mahkamah kenapa baldi besi digunakan untuk mengendalikan bahan yang berbahaya dan campuran yang dibuat melebihi sukatan yang dibenarkan, salah seorang daripada tertuduh mengaku; 'dia terlupa.'

Rujukan

JCO employees plead guilty to negligence in deaths at Japanese nuclear facility



Hakcipta iluminasi.com (2017)