Biasanya bila bercakap tentang filem, nama pelakon dan pengarah seringkali menjadi sebutan. Tidak banyak pihak memperkatakan tentang penulis belakang tabir, yang sebenarnya memainkan peranan besar mencipta apa yang bakal divisualkan.

Situasi ini kekal walaupun penulis itu datang daripada nama-nama yang cukup besar dan berpengaruh, sehinggakan ada karya hasil buah tangan mereka - tidak dikreditkan kepada mereka atas sebab-sebab tertentu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima nama besar yang terlibat dalam filem popular tanpa kita sedari penglibatan mereka.

1. Quentin Tarantino penulis 'The Rock'

quentin tarantino the rock

'The Rock' merupakan filem kedua arahan pengarah bombastik Michael Bay.

Sebelum diluluskan untuk penggambaran, skrip lakon layar filem tersebut telah melalui beberapa fasa olahan sehingga di peringkat akhir, jatuh ke tangan pengarah handalan Quentin Tarantino.

Ketika itu Tarantino sudah mempunyai reputasi hebat sebagai seorang pengarah dan penulis lakon layar, namun masih belum berdaftar dengan Writers Guild of America (WGA); persatuan yang menyelia semua karyawan profesional penghasilan skrip dan penceritaan di Amerika Syarikat.

Ini disebabkan pertelingkahan Tarantino dengan WGA, selepas WGA enggan mengiktiraf peranan Tarantino dalam filem Natural Born Killers yang ditulisnya, sehinggakan namanya tidak disenaraikan dalam kredit. 

Sehingga ke hari ini Tarantino enggan mengalah. Dia hanya menyertai Directors Guild of America bagi membolehkan kerjaya beliau sebagai pengarah filem diiktiraf industri.

Oleh sebab itulah jika anda tonton semula filem The Rock lakonan Sean Connery dan Nicholas Cage ini, anda dapat melihat ada elemen Tarantino dalam babaknya tanpa kita tahu penglibatan Tarantino dalam filem ini.

2. Shane Black penulis filem Iron Man

shane black iron man

Filem 'Iron Man' yang memulakan fenomena dunia sinematik Marvel, merupakan antara filem yang melonjakkan demam filem adiwira kepada masyarakat dunia, diarahkan oleh Jon Favreau menampilkan aktor Robert Downey Jr. sebagai watak utama.

Dalam satu temubual bersama aktor tersebut, Downey Jr. mendedahkan bagaimana Favreau dan beliau sering menghubungi pengarah terkenal Shane Black (pengarah filem Lethal Weapon) untuk menambahbaik dan memperbaiki lakon layar filem tersebut secara tidak rasmi - tanpa ada ikatan kontrak.

Semuanya dilakukan tanpa bayaran selepas Black seronok bekerjasama dengan Downey dalam filem 'Kiss Kiss Bang Bang.'

'Kiss Kiss Bang Bang' bertanggungjawab memulihkan reputasi Downey Jr. yang tercalar teruk akibat masalah peribadi, meyakinkan pengurusan Marvel untuk melantik beliau menjadi peneraju utama permulaan semula dunia sinematik komik mereka.

Bagi membalas jasa, Downey Jr. melibatkan Black dalam projek Iron Man, sebelum Shane Black sendiri dilantik sebagai sebagai pengarah dan penulis lakon layar filem 'Iron Man 3' mungkin akibat penglibatannya dalam filem pertama.

3. Carrie Fisher penulis pelbagai filem

carrie fisher lethal weapon 3 673

Kita mungkin lebih mengenali mendiang Carrie Fisher sebagai Puteri Leia Organa, adik kembar Luke Skywalker dalam siri filem Star Wars.

Bagi orang dalam industri Hollywood, selain pelakon mereka mengenali Fisher sebagai pakar rujukan sekiranya mahu memperbaiki jalan cerita yang ada.

Dikenali sebagai 'doktor skrip', individu yang mempunyai reputasi sebegini cukup dikejar produser. Antara nama yang terkenal sebagai doktor skrip adalah Quentin Tarantino, Frank Darabont, Aaron Sorkin, Akiva Goldman dan Joss Whedon yang akan kami bincangkan lebih lanjut di bawah.

Dari senarai itu jelas tidak ramai wanita yang membawa reputasi seperti itu pada era tersebut. Disebabkan itulah sentuhan Fisher ditagih. Apabila ada projek yang memerlukan penambahan perspektif wanita dalam skripnya, Fisher menjadi individu yang ditugaskan.

Reputasi Fisher sebagai doktor skrip bermula dengan filem Disney 'Hook' lakonan Robin Williams, sebelum beliau ditawarkan lebih banyak peluang memperbaiki lakon layar filem 'Sister Act' memaparkan Whoopi Goldberg, 'Last Action Hero' lakonan Arnold Schwarzenegger, 'Coyote Ugly', 'Scream 3' dan filem aksi 'Lethal Weapon 3.'

Bayarannya mewah. Untuk filem 'Outbreak' misalnya yang ditayangkan dalam tahun 1995, Fisher dibayar $100,000 seminggu untuk duduk bersama pasukan penulis memperbaiki skrip filem tersebut.

4. Joss Whedon adalah penulis filem 'Speed'

joss whedon filem speed uncredited

Joss Whedon merupakan antara nama paling penting dalam industri hiburan Hollywood ekoran pengaruh dan reputasi bukan saja sebagai pengarah, bahkan sebagai seorang penulis skrip yang hebat.

Beliau mencipta nama sebagai pencipta siri TV 'Buffy the Vampire Slayer' sebelum mula giat dalam penghasilan filem-filem animasi seperti 'Toy Story' sebagai penulis.

Reputasi Whedon membawa kepada penglibatannya dalam siri-siri adiwira, diangkat pengarah dan penulis filem 'The Avengers' dan 'Avengers - Age of Ultron' yang kita tahu impaknya kepada peminat filem dunia.

Pengaruh Whedon dalam industri melayakkan dia bekerja dalam banyak filem seperti Carrie Fisher. Keringat Whedon ditagih memperbaiki skrip filem Waterworld lakonan Kevin Costner, X-Men, filem Captain America pertama, filem Thor The Dark World, filem bencana Twister dan filem aksi barat The Quick and the Dead.

Lebih memeranjatkan, tidak ramai menyedari beliau adalah penulis lakon layar filem aksi Speed lakonan Keanu Reeves dan Sandra Bullock.

Selepas WGA mempertimbangkan peranan beliau dalam filem tersebut tidak memadai untuk dikreditkan secara rasmi, nama Whedon dianggap tidak layak tersenarai walaupun studio penerbitannya mengkreditkan beliau.

'Speed' menjadi antara filem yang jarang mahu diceritakan Whedon ekoran kekecewaannya - walaupun majoriti dialog yang dilontarkan dalam filem tersebut adalah hasil tulisannya.

5. M. Night Shyamalan adalah penulis 'She's All That'

m night shyamalan she s all that

Bagi remaja dan anak muda tahun 90-an, anda pasti mengingati filem 'She's All That' yang mencetuskan fenomena filem komedi romantik era tersebut, disokong oleh runut bunyi lagu 'Kiss Me' yang seakan dimainkan di radio dan kaca televisyen setiap 5 minit sekali.

Apa yang tidak ramai tahu, filem tersebut sebenarnya adalah garapan pengarah M. Night Shyamalan, yang lebih terkenal sebagai pengarah filem seram dan misteri dengan penamat yang mengejutkan.

Shyamalan mempunyai reputasi gah ekoran kejayaan filem seperti 'The Sixth Sense', 'Unbreakable' dan 'Signs', jadi pasti sukar untuk kita percaya beliau terlibat dengan filem geli-geli remaja macam 'She's All That' kan?

Pendedahan ini dilakukan sendiri Shyamalan dalam temuramah tahun 2013, di mana beliau mengaku beliau menulis filem tersebut. Namun pendapat ini disangkal penulis lakon layar asal filem tersebut R. Lee Fleming Jr., sebagai satu penipuan.

Sehinggalah eksekutif filem tersebut daripada studio Miramax mengesahkan kata-kata Shyamalan.

Memang pada awalnya Miramax membeli skrip asal filem tersebut dari Fleming Jr. tetapi merasakan rombakan semula dilakukan bagi memperkembangkan lagi watak dan dialognya.

Shyamalan dilantik tanpa kredit dalam filem, bagi menambahbaik olahan jalan cerita dan perkembangan watak filem tersebut. Hasilnya filem romantik ini kini layak dikatakan berstatus klasik dalam genrenya, merupakan antara sentuhan emas Shyamalan yang tidak diketahui umum.

Nasib baiklah dia tidak meletakkan sebarang twist ending pada penghujung cerita, kalau tak pening juga kita nak menghadamnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)