Penulis mendokong kuat usaha memartabatkan tradisi dan sejarah masyarakat Melayu.e
Setiap kali tiba musim raya, penulis melihat di kalangan netizen akan wujud perbalahan berkenaan pemakaian baju Melayu sebagai pakaian rasmi Hari Raya Aidilfitri bagi lelaki.
Ramai yang mungkin terlebih 'Melayu-nya' menyindir individu yang mengenakan kurta, pakaian tradisi masyarakat di bahagian Asia Selatan untuk sambutan lebaran, bukan baju Melayu. 'Tak sayang tradisi' kata mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Penulis pula duduk di kem pro-kurta. Dah berbelas tahun kurta menjadi pilihan penulis. Kenapa?
1. Baju Melayu mahal!
Sepanjang hidup penulis, satu perkara yang penulis kurang gemar adalah memakai baju Melayu satu set lengkap dengan seluarnya.
Penulis lebih suka memakai kain sarung.
Ini menyebabkan dalam almari penulis ada stok seluar baju Melayu yang tersimpan, tidak pernah berpakai tetapi terpaksa dibeli kerana kebanyakan baju Melayu jenis ready-made ni siap dengan seluarnya.
Kos ini jauh lebih tinggi berbanding membeli sehelai kurta yang tidak ada seluarnya. Sehelai kurta boleh diperolehi dengan harga hanya RM30 ke RM50 berbanding satu set lengkap baju Melayu yang mampu mencecah RM120 minima.
Ini sebab utama kenapa kurta menjadi pilihan penulis. Buat apa nak menyemak simpan seluar-seluar tu dalam almari kalau tak akan dipakai?
Nak buang, sayang pulak.
2. Baju Melayu bajet - kainnya panas
Untuk kumpulan pekerja yang kadang-kadang M40 kadang-kadang B40 macam penulis ni, mendapatkan baju Melayu yang kainnya berkualiti tinggi serta selesa dipakai agak sukar.
Baju Melayu murah-murah ni biasanya dihasilkan menggunakan kain yang agak panas sehingga membuatkan kita rasa rimas memakainya.
Bila berpeluh tu, dia punya feel bila kain bersentuh dengan kulit rasa macam nak mandi on the spot tau!
Kadang-kadang ada setengah jenis kain tu, bila kita berpeluh rasa gatal semacam aje kat kulit kita. Nak bertandang ke rumah orang pun takut sebab keyakinan diri kita dah hilang.
3. Jahitan kurta lebih kukuh kerana kainnya lebih keras
Untuk individu yang jenis kasar seperti penulis, memakai baju Melayu dengan kain yang agak lembut ni sebenarnya menyeramkan.
Jahitannya pun kadang-kadang sepoi-sepoi bahasa halusnya, angkat tangan pun boleh tertetas benang di ketiak sehingga berlubang di baju.
Kainnya tu pula kalau ada jenisnya bila dipakai rasa macam tubuh kita terdedah dek lembutnya kain tersebut membalut tubuh.
Bagi penulis, kurta ni lasak. Kainnya tebal dan jahitannya pun kasar serta kukuh. Pakai pun rasa lebih jantan.
Pakai kurta yang berkualiti ni rasa macam pakai kemeja. Terletaknya pada tubuh sedap. Ini pada pandangan penulislah.
Mungkin tubuh anda sesuai pakai baju Melayu, jadi anda ada pandangan berbeza. Kita raikan perbezaan ya!
4. Warna kurta lebih harmoni
Walaupun penulis suka melihat warna-warni terang di pagi Aidilfitri, untuk penggunaan jangka masa panjang - warna kurta yang lebih ke arah warna semulajadi alam adalah pelaburan yang lebih sesuai.
Berbeza dengan warna baju Melayu yang kadangkala terlalu terang tonanya mengikut rekaan dan permintaan masyarakat zaman sekarang, kurta biasanya datang dengan warna-warna yang lebih enak pada mata penulis.
Coklat, hitam, kelabu, off-white, hijau gelap - semua tu memang warna kegemaran utama penulislah. Bagi diri penulis, nak pakai baju Melayu warna terang-terang ni memang tak mencerminkan jiwa penulis langsung.
Bukanlah penulis nak kata tak ada baju Melayu yang lembut warnanya, tetapi jika kita banding kurta dan baju Melayu sebelah-sebelah, biasanya kurta akan kurang menonjol berbanding warna yang digunakan sebagai asas baju Melayu.
Senang sikit penulis nak menyelinap keluar rumah bila mak mertua dah panggil minta tolong basuh pinggan. Orang tak perasan kita keluar.
5. Rekaan yang lebih praktikal
Dari zaman sekolah dulu penulis memang tak faham kenapa kena pakai baju Melayu dan kain samping waktu sekolah.
Nak masuk tandas, susah nak buka kalau tengah kelam-kabut.
Nak simpan barang dalam poket pun payah. Dompet kena simpan di poket bawah belakang samping, kalau jatuh pun tak perasan.
Jangan cerita pasal poket kat dada tu. Kalau buat simpan dompet, habis melurut satu baju jatuh. Lama-lama pakai, poket tu pun jadi menggeleber tak kemas.
Mungkin ada sebab atau mesejnya kenapa rekaan baju Melayu direka sedemikian rupa nenek moyang kita dulu, tetapi secara peribadi penulis susah nak adaptasi prinsip praktikaliti tersebut kepada hidup penulis.
Kurta? Mudah.Poket di tepi pinggang. Siap berzip lagi, membuatkan kita rasa yakin. Dua-dua belah ada poket. Nak solat sunat Aidilfitri pun senang, sumbat semua kunci kereta, dompet dan telefon ke dalam poket tepi kurta kemudian solat.
Tak perlu risau poket melendut macam poket baju Melayu. Nak pakai dengan kain pelikat boleh, nak padankan dengan seluar jeans atau slack pun boleh.
6. Butang tak hilang
Sebagai individu yang kurang cermat menjaga barangan, kurta senang sebab butangnya dijahit terus ke fabriknya.
Butang baju Melayu? Sebelum penulis bertukar kepada pemakaian kurta setiap hari raya, entah berapa kalilah penulis memakai butang pelbagai warna semasa mengenakan baju Melayu hanya kerana penulis enggan beli set butang baru.
Memanglah murah saja harganya kan? Tetapi bila kita dah ada set butang lama yang mungkin ada tinggal 2 atau 3 saja butangnya, sayang sebenarnya nak diabaikan begitu saja.
Jadi jalan paling mudah, kenakan saja butang tanpa peduli apa warnanya. Baju Melayu biasanya memerlukan 7 butang. Satu butang merah, dua biru, 2 hijau, 1 perak dan satu lagi emas?
Bedal sajalah. Asal berbutang. Tak pakai butang, orang kata kita samseng kampung pula.