Urusniaga melibatkan barangan terpakai yang dijual semula, mula melonjak naik selepas permintaan masyarakat dunia khasnya mereka yang tinggal di negara maju dalam menukarkan barangan-barangan mereka mengikut kitaran dan trend semasa.

Rakyat negara maju yang mempunyai kuasa beli kukuh seringkali berhadapan dilema dalam melupuskan barangan yang telah mereka gunakan, menyebabkan idea untuk mengeksport keluar barangan terpakai ke luar negara menjadi satu alternatif utama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berbeza dengan proses pelupusan yang memakan kos tinggi, mengeksport keluar bukan saja menjimatkan dana malahan turut sama dapat membantu masyarakat negara membangun untuk memiliki produk berjenama.

Salah satu negara yang menjadi pilihan untuk dilambakkan barangan terpakai ini, adalah Malaysia.

Pelbagai jenis barangan terpakai dalam pasaran

gudang komputer terpakai

Dalam pasaran tempatan, kita dapat melihat beberapa jenis perniagaan barangan terpakai tumbuh bak cendawan lepas hujan disebabkan oleh permintaan tinggi yang ada.

Antara barangan terpakai paling popular di kalangan rakyat kita adalah pakaian yang kita selalu labelkan sebagai 'bundle', barangan komputer 'refurbished', kereta, buku dan juga perabot.

Situasi ini juga boleh ditemui di negara-negara luar di mana lima kategori inilah layak dikatakan paling popular dalam pasaran terpakai.

Selain itu ada juga permintaan lebih kecil bagi produk-produk terpakai lain seperti, tayar terpakai yang mempunyai permintaan di kalangan negara benua Amerika Selatan, DVD, VCD dan cakera Blu Ray untuk kandungan filem serta alat muzik yang mempunyai peminat tersendiri.

Negara pengeksport utama produk terpakai

lelongan goodwill amerika syarikat

Untuk menceritakan negara manakah pengeksport utama produk terpakai agak sukar, kerana wujud bermacam kategori produk yang ada - jadi penulis ingin memfokuskan kepada pasaran pakaian terpakai.

Wujud beberapa negara utama yang menjadi sumber pakaian terpakai, disebabkan oleh lambakan-lambakan pakaian yang ingin dilupuskan dengan Amerika Syarikat mendahului dari segi jumlah eksport.

Punca utamanya adalah disebabkan oleh sistem cukai yang diamalkan kerajaan Amerika Syarikat, akan memberikan potongan cukai ke atas pembayar apabila mereka mendermakan barangan seperti pakaian, barangan peralatan rumah, kasut dan buku kepada Goodwill International.

Nilai barangan yang didermakan akan menentukan berapakah jumlah rebat ke atas cukai yang akan dikenakan, dengan nilai itu ditentukan sendiri oleh penderma.

Lebih menarik (bagi rakyat Amerika Syarikat) pada tahun 2017, kerajaan Amerika Syarikat menaikkan kadar rebat cukai menjadikan proses ini tampak lebih menarik untuk mereka menurunkan kadar cukai perlu dibayar.

Untuk setiap barangan yang 'didermakan' kepada Goodwill, barangan itu akan dijual terlebih dahulu di premis kedai milik syarikat itu yang ada diseluruh Amerika Syarikat untuk tempoh 4 minggu.

Sekiranya gagal terjual, barangan-barangan itu akan dihantar ke kedai jualan murah Goodwill. Sekiranya masih belum dapat dijual, semua barangan yang ada akan dimasukkan ke dalam kotak - untuk dijual secara lelongan.

Ketika inilah pencari barangan murah di Amerika Syarikat akan membida kotak-kotak yang dijual sekitar USD35 tanpa mengetahui apa yang ada di dalamnya.

Hanya selepas proses lelongan ini selesai, barulah produk-produk yang tidak diingini ini akan dijual secara lambak kepada agensi-agensi pengeksport barangan terpakai untuk dijual kepada pasaran negara-negara luar.

Sistem itulah yang mendorong Amerika Syarikat menjadi pengeksport utama pakaian terpakai, kerana rakyat Amerika Syarikat mempunyai insentif untuk mendermakan pakaian mereka bagi mendapatkan penjimatan lebih tinggi.

Hubungan unik Malaysia dan 'bundle' Jepun

lambakan kereta recon

Dalam membicarakan berkenaan pasaran barangan terpakai, tidak lengkap untuk kita tidak mengulas lebih dalam berkenaan hubungan unik yang wujud antara Jepun dan masyarakat kita.

Jepun merupakan pengeksport utama pakaian terpakai ke negara kita, di mana jumlah eksport itu jauh meninggalkan negara-negara lain setaraf kita seperti Filipina, Kemboja, Pakistan dan Thailand.

Selain pakaian, kenderaan import dari Jepun turut mendapat tempat di hati pembeli barangan terpakai negara kita.

Keyakinan terhadap barangan terpakai dari Jepun di kalangan rakyat Malaysia ini, diambil peluang sepenuhnya oleh syarikat-syarikat dari Jepun untuk meluaskan perniagaan dengan pembukaan francais-francais menjual barangan terpakai khas dari Jepun.

Salah satu francais paling diminati masyarakat Malaysia, adalah kedai jualan barangan terpakai 'Jalan-Jalan Jepun' yang dibuka atas konsep kepercayaan ini.

Dibuka oleh syarikat induknya Bookoff Group untuk meluaskan pasaran ekoran permintaan masyarakat tempatan yang semakin menguncup, 'Jalan-Jalan Jepun' mendapat sambutan menggalakkan selepas dibuka kali pertama di Malaysia pada tahun 2016.

Empat cawangan terawal francais itu mencatatkan jualan 350,000 unit pada purata harga RM7 untuk satu barangan, membawa keuntungan kasar sekitar RM29.4 juta ringgit sebulan; mendorong kepada rancangan penambahan jumlah cawangan kepada lebih 10 buah pada tahun 2021.

Mentaliti rakyat Malaysia percaya barangan Jepun

francais jalan jalan jepun malaysia bookoff

Barangan Jepun mempunyai persepsi yang sangat positif di kalangan rakyat Malaysia dan ini diakui sendiri oleh pengurusan 'Jalan-Jalan Jepun.'

Koji Onozawa, pemilik 'Jalan-Jalan Jepun' sendiri mengakui rakyat Malaysia gemar barangan yang datang dari Jepun, tak kiralah barangan baru atau terpakai kerana orang kita percaya barangan Jepun mempunyai kualiti lebih baik - walaupun produk itu sebenarnya dibuat di China.

Menurut beliau, asalkan barangan itu digunakan di Jepun, pasti barangan itu akan dinilai 'berharga' di kalangan masyarakat kita.

Bagaimanapun, seandainya dinilai daripada perspektif kita pula - pandangan itu agak menakutkan bukan?

Malaysia dilihat sebagai salah satu negara yang paling berpotensi untuk dijadikan pasaran barangan terpakai, atas sentimen keyakinan dan terlalu mudah percaya yang kita ada.

Ini akan memudahkan syarikat-syarikat pengeksport dari negara luar melambakkan barangan tidak terjual atau lebih malang sebenarnya terbuang, untuk dibeli dan digunakan rakyat kita.

Persoalannya di sini - apa yang berlaku kepada barangan terpakai yang telah diimport masuk ke Malaysia dan tidak berjaya dijual?

Adakah proses import masuk pakaian, kereta, perabot, barangan komputer dan sebagainya ke Malaysia merupakan proses satu hala dan kita di masa hadapan, akan menanggung bebannya?




Hakcipta iluminasi.com (2017)