kasut paling tua dunia ditemui

Bercerita tentang usia mampu memberikan kita pelbagai reaksi. Ramai orang takut tua dan sedaya upaya mahu melambatkan atau menangguhkan proses penuaan.

Manusia mempunyai kudrat untuk cuba mengelakkan faktor usia, namun bagi barangan harian yang kita gunakan setiap hari - sudah pastilah nasib barang-barang ini tidak sama. Semakin tua sesuatu barangan itu, risiko untuk reput atau rosak menjadi semakin tinggi.

baju dan seluar bundle paling tua di dunia

Bagaimanapun, untuk sesetengah barangan yang bertuah, barangan itu dapat bertahan beribu tahun lamanya sehinggakan dapat membantu kita yang hidup dalam zaman moden, lebih memahami corak hidup masyarakat zaman lampau. Berikut adalah lima barangan harian paling tua yang telah ditemui dalam tamadun manusia setakat ini.

1. Baju Tarkhan - baju paling tua di dunia ditemui

tarkhan baju paling tua

Ditemui pada tahun 1913 di sebuah pusara di Kaherah, Mesir - fabrik yang digunakan untuk menghasilkan pakaian yang digelarkan sebagai 'baju Tarkhan' ini dikaji dan disahkan sebagai pakaian bertenun paling tua di dunia.

Dengan anggaran usia melebih 5000 tahun lamanya, ujian radio karbon dengan ketepatan 95 peratus oleh Universiti Oxford mendapati baju Tarkhan dihasilkan sekitar tahun 3482BCE sehingga 3102BCE. (rujukan)

2. Seluar Lembah Tarim - seluar paling vintage dalam dunia

seluar paling tua dunia

Anda inginkan seluar yang vintage, kelihatan pudar serta lusuh? Anda pasti menggemari sepasang seluar yang ditemui di bahagian Lembah Tarim, terletak di kawasan barat China. Sama seperti baju Tarkhan, seluar Lembah Tarim di dalam sebuah pusara.

Ujian yang dilakukan mendapati seluar tersebut mempunyai tahap kelasakan yang tinggi serta direka untuk menunggang kuda. Mempunyai hiasan-hiasan cantik dan berbentuk straight cut, seluar Lembah Tarim berusia 3,300 tahun lamanya. (rujukan)

3. Kasut paling tua - kasut kulit gembala lembu Areni-1

kasut paling tua dunia

Walaupun dinamakan dengan nama moden Areni-1, kasut itu sebenarnya dinamakan sedemikian rupa kerana lokasi penemuannya adalah sebuah gua yang dilabelkan Areni-1. Ditemui pada tahun 2008 dalam satu ekspedisi anjuran Akademi Sains Armenia, kasut Areni-1 merupakan kasut tertua dunia pada usia lebih 5,500 tahun.

Diperbuat daripada sekeping kulit yang dijahit dengan pengikatnya menggunakan tali, pemiliknya tidak diketahui sama ada lelaki atau perempuan. Bagaimanapun, saiznya yang agak kecil iaitu sekitar saiz UK6 memungkinkan pemilik sebenar kasut itu adalah seorang perempuan. (rujukan)

4. Tandas awam tertua dunia

tandas ephesus

Penulis cukup tidak gemarkan tandas awam dan sedaya upaya akan elakkan daripada perlu memasukinya. Bagaimanapun, penulis tidak sangka jugalah budaya pembinaan tandas awam sebenarnya sudah pun bermula hampir 2000 tahun lamanya - cuma bezanya tandas itu agak terbuka. Tandas awam tertua dunia ditemui di wilayah Selcuk yang terletak di negara Turki. Di bina di dalam kawasan tempat mandi yang digelarkan Scholastica Baths, tandas awam ini dibina pada tahun pertama abad masihi di negeri Ephesus.

Mempunyai 36 lubang jamban yang setiap satunya bersambung dengan saliran najis sedalam 2 ke 4 meter yang telah disediakan, tandas itu mempunyai tempat duduk yang diperbuat daripada batu marmar. Jauh lebih mewah berbanding kita yang hanya duduk atas plastik.

5. Baju dalam wanita tertua dunia

baju dalam paling tua dunia

Kami pernah menulis artikel berkenaan sejarah penciptaan baju dalam wanita zaman moden, namun salah satu sejarah yang kami tidak masukkan dalam artikel tersebut adalah berkenaan penemuan baju dalam wanita di Austria yang dipercayai tertua di dunia.

Ditemui pada tahun 2008 sebelum diumumkan kepada awam empat tahun berikutnya, baju dalam yang ditemui di Istana Lengberg dalam sebuah ruangan simpanan tersembunyi - penemuan ini menunjukkan wanita sebenarnya sudah mula menggunakan baju dalam sama seperti baju yang dipakai sekarang 600 tahun dahulu.

Baju dalam itu yang ditemui sudah lusuh dan berkeadaan koyak rabak, dianggarkan dijahit sekitar tahun 1390 hingga 1485 - mendahului penciptaan baju dalam wanita moden beratus tahun lamanya. (rujukan)



Hakcipta iluminasi.com (2017)