Oleh pada 20 Aug 2019 kategori

menara rebung tm hijjas kasturi

Foto kredit TheNutGraph dan TheStar

Melihat pembangunan di negara kita, tidak ada nama lain yang akan disebut sebagai individu paling banyak memainkan peranan dalam membentuk wajah negara kita secara fizikal, iaitu pereka terkenal Hijjas Kasturi.

Sinonim dengan rekaan bangunan yang unik serta menggabungkan unsur-unsur moden dan Islamik dalam rekaannya, beliau bergiat aktif dalam bidang arkitek selama lebih 50 tahun sehingga layak digelarkan sebagai 'Bapa Rekaan Bangunan' Malaysia.

Siapakah beliau sebenarnya? Jom kita telusuri serba sedikit dalam mengenali ikon yang banyak membuatkan kita rasa kagum, tanpa kita sedar.

Siapakah 'Hijjas Kasturi'?

hijjas kasturi arkitek tokoh

Sekiranya anda menyangkakan 'Hijjas Kasturi' merupakan nama samaran beliau, nama sebenar beliau sememangnya adalah Hijjas bin Kasturi. Lahir semasa zaman penjajahan British di Singapura pada 26 September 1936, ayahnya bernama Kasturi bin Idris dan ibu beliau pula bernama Puteh binti Hussein.

Mempunyai darah berketurunan Cina daripada belah ibu dan Jawa dari belah ayahnya, Hijjas menyambung pelajaran di Australia bersama dengan Universiti Adelaide sebelum kembali ke tanah air.

hijjas kasturi dan isteri

Hijjas Kasturi Dan Isteri, Angela Hijjas. Kredit foto TheAustralian

Berikutan ketiadaan program pendidikan arkitek yang mampu mencungkil lebih ramai arkitek tempatan ketika itu, Hijjas bekerjasama dengan Institut Teknologi MARA bagi membuka Sekolah Seni dan Senibina, sebagai salah satu usaha melatih karyawan dan pereka generasi baru pada tahun 1967.

Selepas berkhidmat lebih kurang 10 tahun, Hijjas mengambil keputusan membuka firma arkitek sendiri yang dinamakan sebagai Hijjas Kasturi Associates Sdn. Bhd. (HKAS).

Inspirasi Islamik dan moden dalam rekaan

alfaisal universiti rekaan

Mempunyai latar belakang yang agak unik serta tidak boleh ditakrifkan sebagai konservatif, Hijjas dipuji kerana berjaya membawakan elemen-elemen Islam yang progresif serta berada di luar kebiasaan rekaan-rekaan bercirikan Islamik lain.

Bagi Hijjas, pengalamannya belajar di Australia benar-benar membuka matanya tentang amalan Islam. Ini kerana menurut beliau, Islam di Malaysia lebih bersifat konservatif sementara itu Islam di negara lain, khasnya Australia pula lebih memupuk budaya toleransi. Atas sebab itulah dalam setiap rekaan beliau, dia cuba lari daripada norma yang kerap dikaitkan dengan terma 'Islamik' tetapi membawa pendekatan sendiri dalam rekaannya.

Salah satu rekaan yang paling mencabar bagi beliau, adalah rekaan Universiti Al-Faisal, sebuah projek universiti swasta yang dibangunkan sekitar tahun 2000. Elemen paling mencabar bagi beliau dalam merangka reka bentuk bangunan tersebut datang daripada sikap beliau yang lebih progresif serta liberal, tetapi diberikan tanggungjawab mereka bentuk bangunan untuk sebuah negara konservatif seperti Arab Saudi.

universiti al faisal riyadh direka hijjas kasturi

Universiti Al Faisal

Oleh kerana pencampuran lelaki dan wanita semasa belajar amat ditegah, perkara itu menyukarkan beliau untuk menemui formula bagaimana mahu memanfaatkan ruangan sebaik mungkin tanpa benar-benar membina tembok atau dinding yang menghalang kerjasama kedua-dua jantina secara fizikal. Malahan, syarahan juga perlu dilakukan dua kali - satu untuk lelaki dan sekali lagi untuk wanita.

Dianggap sebagai rekaan terbaik beliau setakat ini dari segi falsafah seni rekaan, Hijjas bertindak mengasingkan kedua-dua jantina dengan menggunakan tahap tinggi lantai yang berbeza serta mereka bentuk setiap fakulti agar memandang ke satu arah, secara tak langsung menanam dalam minda setiap pelajar bahawa mereka berkongsi satu matlamat yang sama.

Solusi beliau yang berjaya mewujudkan sistem di mana hanya pelajar wanita perlu melihat lelaki dan tidak sebaliknya, serta menggalakkan diskusi berlaku dalam cara yang tersusun dan terkawal dipuji ramai sebagai permulaan kepada rekaan bangunan yang lebih progresif di Arab Saudi.

Pelakar kota raya rasmi Malaysia

menara tabung haji hijjas kasturi

Anda boleh kenal pasti tak mana bangunan rekaan beliau? Antara bangunan ikonik yang dilakarkan beliau serta kini tersergam megah menjadi mercu tanda negara kita adalah Menara TM, bangunan Tabung Haji, Menara Maybank, bangunan PICC, menara Alor Setar dan banyak lagi.

Selain daripada menjadi pereka kepada bangunan-bangunan ikonik, Hijjas Kasturi juga turut sama terlibat dalam projek-projek berskala besar seperti projek pembangunan Pahang Tenggara, Genting Highlands, projek pelancongan di Rompin, Endau dan Mersing serta memainkan peranan yang sangat besar dalam merangka rekaan bandar Putrajaya dari segi pencahayaan dan juga navigasi.

Selain berkhidmat di dalam negara, beliau juga turut sama berkongsikan kepakaran dalam beberapa projek luar negara seperti pembangunan Pulau Batam dan Kota Mandiri di Indonesia, selain daripada beberapa projek di Timur Tengah seperti yang kami nyatakan di atas.

menara rebung tm cover menara annexe 1024x539

Hijjas tidak takut untuk bersuara tentang kebimbangannya melihat bagaimana generasi muda pereka bangunan kini tidak lagi berusaha memasukkan elemen-elemen tempatan; lebih gemar memasukkan apa yang beliau termakan sebagai 'internationalism' ke dalam rekaan.

Pada beliau, setiap rekaan perlu mempunyai identiti Malaysia dan pereka muda tidak perlu malu untuk mengambil elemen-elemen bangsa dan negara, ke dalam rekaan mereka. Sangat berbangga dengan budaya Malaysia yang bercampur baur antara satu sama lain sehingga menghasilkan elemen yang segar dan unik - Hijjas Kasturi tahu apa yang dihasilkannya akan terus wujud bergenerasi lamanya.

Jadi sejak mula lagi dia berusaha untuk mewujudkan rekaan yang sekali dipandang saja, kita terus tahu "oh, itu bangunan rekaan orang Malaysia!"

Rujukan

ResearchGate

EdgeProp



Hakcipta iluminasi.com (2017)