Oleh pada 20 Jun 2021 kategori

Cinta. Harta. Kekayaan. Konflik.

Itu adalah tema utama yang sering diangkat majoriti siri drama terbitan penerbit tempatan, khasnya melibatkan saduran olahan novel tulisan penulis yang namanya berbunyi kebaratan, berbunga dan susah disebut.

Tidak dapat dinafikan trend ini kekal 'segar' disebabkan permintaan masyarakat kita sendiri yang seakan suka akan drama sedemikian rupa, memaksa produser kekal dengan formula sama bagi memastikan keuntungan dan populariti dapat dijanakan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun ada ketikanya wujud siri drama yang membawakan sesuatu yang luar daripada landasan biasa, sehingga memulakan fenomena baru di kalangan masyarakat kita. Berikut adalah enam drama yang penulis rasakan layak dikategorikan sedemikian rupa.

1. Siapa Bunuh Alice? (1991)

siapa bunuh alice voon tv1 zami ismail

Satu siri televisyen pendek yang berjaya menimbulkan misteri di kalangan masyarakat kita, 'Siapa Bunuh Alice?' dipromosikan dengan premis yang unik di mana penonton diajak untuk sama-sama meneka siapa pembunuh kepada watak utama siri itu, yang dimainkan aktor jelita Alice Voon.

Lebih seronok, barisan pelakon dalam siri ini juga dikhabarkan tidak mengetahui siapakah pembunuh sebenarnya, ekoran skrip yang tidak lengkap disediakan untuk mereka. Betul atau tak, tak tahulah. Itu dakwaan promosi mereka.

Dibintangi nama-nama besar seperti Alice Voon, Julia Rais, Zami Ismail dan Faizal Hussin berlatar belakangkan pantai Port Dickson, siri TV ini berjaya membuatkan peminat televisyen Malaysia berusaha merungkai dan meneka motif kejadian, berdasarkan dialog dan insiden yang berlaku.

Walaupun begitu, siri episod telemovie ini kurang sesuai untuk tontonan golongan bawah umur. Dialognya, jalan ceritanya serta tema cerita ini hanya mampu ditelusuri masyarakat dewasa. Pakaian pelakonnya, agak menjolok mata. Nak marah pun tak boleh. Mereka berada di tepian pantai.

2. Jaguh-Jaguh (1995)

jaguh jaguh fandi abu bakar eizlan yusof

Satu ketika dulu, demam badminton di negara kita memang lain kehangatannya berbanding zaman sekarang. Setiap petang mudah untuk kita melihat ahli masyarakat kita dari segenap lapisan umur bermain badminton.

Salah satu punca minat orang ramai untuk belajar sukan tersebut adalah disebabkan populariti siri 'Jaguh-Jaguh', siri drama yang memaparkan pahit-maung perjalanan seorang pemain badminton bernama Mazlan lakonan Fandi Abu Bakar dan seteru utamanya, lakonan pertama kali model kacak Eizlan Yusof yang ketika itu baru mula menghantui mimpi tidur gadis-gadis Melayu.

Elemen cinta memang sukar nak dipisahkan sebagai penyedap cerita, dengan kehadiran pelakon wanita Ainina Ahmad B. menjadi pendorong kepada Mazlan untuk terus berusaha keras menjadi juara. 

Tetapi jika anda nak tengok ahli masyarakat kita bergaduh hanya disebabkan sukan badminton, inilah sirinya. Tengok tangkap layar di atas cukuplah - drama mana lagi yang mampu tunjuk samseng berbadan sasa ugut hero dengan raket, tapi lebih gemar membuktikan kejaguhan atas gelanggang?

3. Kami (2007)

siri tv kami remaja anak muda muzik

Siri TV 'Kami' menjadi antara pemecah trend yang  popular di kalangan peminat siri TV anak muda, seiring dengan populariti muzik indie di negara kita lebih satu dekad sebelum ini.

Kugiran muzik tempatan dalam era tersebut mencapai kemuncak populariti, bertanggungjawab menamatkan demam lagu Indonesia yang menguasai pasaran muzik kita.

Semangat zaman yang berlaku ketika itu membolehkan muzik menjadi tunjang utama penggerak kisah 'Kami', dengan berani memaparkan watak lebih remaja sebagai tunjang utama serta tema yang lebih dekat dengan realiti sebenar kehidupan anak muda kita - berbanding fantasi-fantasi cinta mirip telenovela.

Memaparkan hubungan lima sekawan yang bergelut dengan masalah hidup masing-masing, siri TV ini akhirnya disambung dengan sebuah filem yang menutup jalan cerita setiap watak dengan berkesan, dalam masa yang sama menjadi titik pengenalan ramai anak muda Malaysia kepada kugiran-kugiran tempatan yang sebenarnya berbakat besar.

4. Rumah Kedai (1987)

rumah kedai harun salim bachik

Sebuah rancangan komedi pada asasnya namun terselit mesej-mesej yang sebenarnya tersirat dan dalam, 'Rumah Kedai' merupakan drama yang akan dimainkan di kaca TV setiap kali tibanya bulan Ramadan lebih 30 tahun dahulu. Lamanya!

Siri ini jmenjulang nama pelakon seperti allahyarham Harun Salim Bachik, allahyarham Sudiro Sukiman dan pelakon wanita Rosnah Mat Aris sebagai watak komedi diingati, selain watak Pak Halim lakonan allahyarham Yusof Muhamad yang senantiasa sabar dan isterinya lakonan Kartina Aziz yang menjadi tulang belakang cerita.

'Rumah Kedai' memaparkan kisah masyarakat yang berlaku setiap hari melibatkan orang kebanyakan yang bergelut dengan masalah kewangan, hidup dan tekanan serta perlu berusah payah mencari rezeki, berjaya disiarkan selama enam musim dan tamat produksinya pada tahun 1993.

5. Siri Pendekar (dekad 1990-an)

siri pendekar drama klasik silat

Fenomena siri alam pendekar dan ilmu persilatan pernah berlaku di kaca TV kita sekitar dekad 1990-an. Bezanya, ada dua jenis siri TV berorientasikan silat dikeluarkan - ada yang memaparkan seni persilatan sebenar ditayangkan di RTM, ada juga yang lebih mirip kung-fu tetapi dikatakan silat ditayangkan di TV3.

Ketika kemuncak populariti siri 'pendekar' ini,  ada dua nama disebut sebagai nama besar iaitu pelakon Eman Manan dan Rusdi Ramli. Eman Manan terarah kepada siri drama silat yang realistik, sementara Rusdi Ramli pula terkenal sebagai pelakon utama siri drama silat ala kung-fu.

Skripnya juga tampak berbeza, di mana elemen-elemen komik Hong Kong terpapar jelas dalam siri-siri 'ala kung-fu' selain pergerakan kamera yang lebih dinamik. Kostum juga lebih mirip opera Cina berbanding siri yang dibintangi Eman Manan.

Nama sirinya juga lebih 'ke-komikkan', diberikan judul seperti 'Pedang Maut' dan 'Pedang Sakti'. Bagi peminat drama silat realistik, siri popular seperti 'Pendekar Kundur' dan 'Keris Hitam Bersepuh Emas' menjadi pilihan utama di RTM1.

Walaupun banyak kritikan kedengaran terhadap ketelitian dalam pembikinan siri-siri ini, seronok sebenarnya melihat bagaimana penerbitan siri TV ini tak kiralah dari kem mana sekalipun sedaya upaya cuba mempersembahkan latar belakang zaman klasik dalam setiap episod yang ada. Memang menjadi dan nampak lama kisahnya.

6. Juvana (2011)

drama juvana zahiril adzim izreen azminda

Jarang tema sekolah pemulihan dijadikan topik dalam siri TV kita, jadi percubaan untuk memperkenalkan kisah yang berlaku dalam sekolah sebegitu dalam bentuk fiksyen merupakan satu usaha yang harus disambut baik.

'Juvana' menampilkan Zahiril Adzim yang memainkan watak Daim, seorang anak muda yang terpaksa menjalani hidup di sekolah pemulihan akhlak selepas salah faham mengakibatkan dia disabitkan kesalahan membunuh ibu kandungnya sendiri.

Di sekolah itu, dia perlu menghadapi dugaan gangguan pelajar-pelajar lain yang menjadikan dia mangsa buli, ekoran reputasinya. Hanya selepas kehadiran seorang guru yang cuba mendalami kisahnya barulah Daim mempunyai kekuatan untuk melawan kembali sistem yang membelenggunya.

Walaupun simpati kita nyata terarah kepada Daim, watak Botak lakonan Johan As'ari mencuri tumpuan sebagai antagonis utama siri ini; berkesan memainkan dinamik 'ketua pelajar-ketua samseng' sepanjang 13 episod siri ini berjalan.

'Juvana' menutup tirai ceritanya dengan sebuah filem terbitan tahun 2013 menggunakan judul sama, menjadi kisah sinambungan serta penamat kepada cerita remaja-remaja bermasalah ini. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)