Oleh pada 15 Jun 2019 kategori

Tak kira apa perkara sekalipun di dalam dunia ini, ia semestinya dimulakan dengan langkah pertama. Dan ia termasuklah dengan baju tradisional orang Melayu yang sangat sinonim dengan perayaan umat Islam iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Malah, ia juga dikenakan bagi majlis-majlis rasmi dan keagamaan, membuatkan baju Melayu sangat rapat serta tidak dapat dipisahkan daripada budaya Melayu. Namun, adakah kita ini hanya generasi yang hanya tahu menyarungkan warisan tradisi ini tanpa cuba menyingkap dan memahami asal-usul warisan berharga ini?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jika kita singkap semula sejarah, baju Melayu bermula sekitar 700 tahun lalu. Ia dipercayai diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Syah yang kaya dengan falsafah dalam berbusana, di zaman empayar Melaka.

Pada ketika itu, Sultan mengkehendaki orang Melayu mempunyai penampilan lkhusus bagi menampakkan sebagai satu bangsa yang mempunyai jati diri dan tidak seperti baju "atas angin" seperti yang dipakai oleh pedagang India atau Arab pada zaman itu.

asal usul baju melayu

Menurut Prof Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin, Timbalan Dekan Pengajian Siswazah, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), pada zaman Melaka baju Melayu pada mulanya direkabentuk agak singkat dan ketat seperti baju dipakai pesilat.

Namun, evolusi rekaan baju Melayu bermula dengan setiap pengubahsuaian mendapat izin dan persetujuan Sultan. Baju yang pada asalnya ketat berseluar singkat berubah kepada longgar dan labuh seperti yang kita pakai pada hari ini.

Walaupun berubah, tujuan penghasilan baju Melayu masih tetap sama iaitu pemakaiannya oleh orang lelaki melambangkan identiti bangsa dan bukan hanya sekadar menutup aurat.

Malah, cara baju tradisional ini dikenakan bukan sembarangan tetapi mempunyai falsafah unik dan tersendiri. Seperti yang terdapat dalam budaya Melayu, cara pertuturan dan perlakuan bangsa adalah sangat berhemah dan ini juga diterjemahkan dalam cara pemakaian.

Hal ini mendidik orang Melayu generasi muda secara tak langsung melalui gaya pemakaian.

Jenis-jenis Baju Melayu dan Maksudnya

baju melayu aaron aziz jakel

(Baju Melayu Cekak Musang)

Terdapat dua rekaan baju Melayu iaitu cekak musang dan teluk belanga.

  1. Cekak Musang
  2. Teluk Belanga

Jika anda lihat pada rekaannya, sudah tentu anda menyedari perbezaan utama iaitu pada butangnya di mana baju Melayu cekak musang mempunyai 5 butang manakala cekak musang mempunyai satu butang.

Dan perbezaan ini mempunyai falsafah yang tersendiri.

Falsafah Tersirat Pada Baju Melayu

5 butang keseluruhan pada baju Melayu cekak musang merujuk kepada 5 rukun Islam dan 2 butang di atas (pada kolar) yang sedikit terasing daripada 3 yang lain bererti mengucap 2 kalimah syahadah dan solat 5 waktu.

Jika hanya 3 butang dipakai (3 butang bawah) maka falsafah di sebalik menegakkan rukun Islam melalui pemakaian tidak tercapai.

Berbutang lima merujuk kepada lima rukun Islam dengan dua butang diatas bermaksud, mengucap dua kalimah syahadah dan sembahyang lima waktu, selebihnya diwakili tiga butang di bawah.

tengku ismail tengku mahkota johor mengenakan baju melayu teluk belanga

(Baju Melayu Teluk Belanga)

Malah, terdapat puisi yang menjelaskan kepentingan memakai 5 butang baju cekak musang berbunyi:

"Cekak musang berbutang lima, lima rukun di dalamnya, lima petua dibawanya lima tiang ditegakkan".

Bagi baju Melayu teluk belanga pula, satu butang tunggal ini membawa makna Tuhan Yang Esa dan ia disemadikan dalam puisi yang berbunyi:

"Teluk belanga berbutang tunggal, tunggal satu Tuhan yang disembah, tunggal tidak dapat dianjak alih, tunggal tidak dapat dibelah".

Persamaan bagi kedua-dua baju Melayu tradisional ini adalah jumlah poket iaitu 3 poket, satu poket di atas dan 2 poket di bawah.

Ketiga-tiga poket ini merujuk kepada iman, ihsan dan Islam.

Maksud Baju Melayu Berbutang Tujuh

maksud butang pada baju melayu 349

Walaupun begitu, terdapat pandangan lain yang menyatakan bahawa baju Melayu sebenarnya memiliki 7 butang.

Jenis baju Melayu ini dikatakan hanya dipakai oleh golongan bangsawan, manakala pemakaian butang kurang daripada 7 khas untuk orang kebanyakan.

7 butang ini membawa erti 7 lapisan langit dan Bumi serta 7 tingkat syurga dan neraka. Penghasilan 7 butang ini dikatakan bertujuan untuk sentiasa memperingatkan golongan bangsawan kepada Allah Yang Maha Esa.

Samping Menjadi Pelengkap Baju Melayu

samping pelengkap baju melayu

Pemakaian baju budaya ini haruslah diiringi dengan samping.

Tanpa samping, ia kelihatan tidak lengkap dan janggal kerana samping juga mempunyai maksud tersirat sama ada si pemakai masih bujang atau sudah berkahwin.

Menurut tradisi, lelaki yang sudah beristeri hendaklah memakai samping sehingga ke bawah paras lutut manakala mereka yang bujang harus di atas paras lutut.

Jika si pemakai sudah berkahwin dan memakai samping di atas paras lutut, ia seolah-olah menandakan dia berhasrat menambah isteri.

maksud cara pemakaian samping pada baju melayu

(Kredit gambar: Wanista)

Seperti butang baju Melayu, samping juga mempunyai puisi tentangnya yang berbunyi:

"Adat memakai samping kok sudah beranak bini atau orang yang patut-patut kain samping bawah lutut sama setentang paras betis ikat bergulung lurus lurus jika ikat atas lutut itu tandanya nak cari lagi harus tahu keadaan ini."

"Kok anak muda muda kain labuh di atas lutut bagai dubalang masuk gelanggang bagai ayam mencari lawan."

Pemakaian samping juga boleh menunjukkan status seseorang dalam masyarakat.

Kaum kerabat mengikat kepala samping di sebelah kanan, bangsawan di sebelah kiri dan orang kebanyakan di tengah.

Apa yang menyedihkan adalah ilmu dan falsafah tentang pemakaian sebenar baju Melayu langsung tidak diketahui oleh kebanyakan orang pada hari ini.

Malah, rekaan baju Melayu kini semakin menghakis sejarah lama dan diubahsuai tanpa sebarang falsafah membuatkan ia kelihatan seperti baju yang tiada identiti, apatah lagi hendak melambangkan budaya Melayu.

Perkara seperti ini perlu disebarkan agar orang Melayu terutamanya lebih mengenali budaya sendiri dengan lebih dekat lantas mempraktikkannya.

Rujukan:

  1. Asal-usul Baju Melayu
  2. Origin of Baju Melayu
  3. Traditional Wear Of Malaysian



Hakcipta iluminasi.com (2017)