arnold putra pereka fesyen desainer designer

Kisah berkenaan seorang pereka fesyen dari Indonesia bernama Arnold Putra, mula mendapat perhatian ramai selepas satu laporan berkenaan beliau terbit pada bulan Februari tahun 2022.

Hasil laporan dikeluarkan oleh polis negara Brazil, satu operasi membanteras sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia yang beroperasi di Amazonas State University, terletak dalam bandar Manaus berjaya diberkas.

Polis Brazil merampas beberapa barangan dan peralatan di dalam makmal anatomi universiti tersebut, di mana organ-organ manusia dipelihara seorang profesor melalui sejenis teknik bernama 'plastinasi'.

Apa yang membingungkan pihak polis, rekod yang dapat dirampas mencatatkan satu bungkusan berisi tangan manusia dan tiga paket uri bayi selamat dihantar ke Singapura untuk seorang pereka fesyen yang dikatakan 'gemar menggunakan tubuh manusia dalam rekaannya.'d

Kenyataan itu menyebabkan banyak pihak percaya pereka yang dimaksudkan adalah Arnold. Kenapa namanya dikaitkan dan siapakah Arnold Putra?

Pereka fesyen bercitarasa aneh

arnold putra dan kekasih vip

Lahir pada tahun 1995 di Jakarta, nama Arnold Putra belum setanding nama-nama besar dalam industri fesyen lain, tetapi jika kontroversi diukur sebagai kuasa populariti - dia mungkin antara yang dikenali.

Anak  keluarga hartawan, sejak kecil Arnold dididik untuk memiliki citarasa tinggi dalam bidang fesyen. Dari kecil juga dia sudah menampakkan gaya  tersendiri dalam pemilihan pakaiannya, jadi tak menghairan fesyen menjadi pilihan kerjaya utama baginya.

Untuk memperkembangkan karier, Arnold berpindah ke Los Angeles, Amerika Syarikat. Duduk dalam kelompok yang berkongsi minat sama memudahkan Arnold meluaskan lagi bakatnya. Bagaimanapun namanya hanya mula dikenali ramai pada tahun 2020, selepas salah satu rekaannya yang aneh dalam tahun 2016, tular di kalangan netizen.

Rekaan beg tangan Arnold yang dibuat menggunakan lidah buaya dan tulang belakang kanak-kanak sebenar menimbulkan kontroversi. Tak perlulah kami perjelaskan lagi kenapa kan?

Beg itu telah cuba dijual melalui beberapa laman web jualan fesyen Amerika Syarikat pada harga USD5,000, namun kritikan terhadap hasil kerja Arnold yang jelas ganjil dikritik memaksa jualannya ditarik balik.

Ekoran kontroversi serta kritikan bertalu, Arnold memunculkan diri untuk mengakui memang bahan yang digunakan sebagai tali beg itu adalah tulang kanak-kanak sebenar, bukan sekadar replika.

Menurut Arnold, tulang kanak-kanak itu diperolehi dengan cara yang sah dari sebuah pusat pembekal barangan spesimen berlesen dari Kanada. Tambah beliau, seandainya ada lebihan spesimen yang diterima syarikat sebegitu, kebiasaannya syarikat akan membuka jualan kepada pembeli luar yang berminat.

Gemar menyelidik berkenaan rangka dan mayat

arnold putra masyarakat orang asal

Ekoran daripada kontroversi di Brazil yang baru timbul, orang ramai mula mengaitkan rekod penghantaran bungkusan itu dengan Arnold disebabkan identitinya sebagai pempengaruh dunia fesyen yang mempunyai minat ke arah itu. 

Spekulasi netizen turut mendakwa Arnold terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia, di mana dia menggunakan hubungan dengan kumpulan sindiket bagi mendapatkan bekalan bahan-bahan fesyen yang mahu digunakannya.

Sekali lagi Arnold perlu memunculkan diri selepas kenyataan polis Brazil itu keluar, menafikan dakwaan dia adalah individu yang dimaksudkan serta menafikan semua tuduhan bahawa dia bersekongkol dengan sindiket.

Arnold dikatakan berkecil hati terhadap kecaman yang diterima, kerana niatnya menggunakan tubuh manusia dalam fesyen bukanlah untuk tujuan komersial sebaliknya lebih kepada karya seni.

Setakat ini kes ini masih dalam siasatan di Brazil dan kita masih belum mendapat sebarang bentuk maklumat terbaru.

Kreatif namun kurang adab

pereka fesyen indonesia arnold putra

Persoalannya - kenapa netizen cepat menuduh Arnold?

Ini semua disebabkan oleh rekod Arnold sendiri yang diketahui secara terbuka tidak malu untuk berkongsikan banyak perkara tentang dirinya yang mampu menyakitkan hati sesiapa saja di media sosial.

Arnold melalui akaun Instagram miliknya diketahui ramai gemar berkongsikan pengembaraannya mencari inspirasi di kalangan orang asal benua Afrika di banyak negara.

Apa yang membuatkan orang jelik, Arnold turut menceritakan kejayaannya menipu orang-orang di sana, menghadiahkan barangan-barangan berjenama yang palsu kepada orang pribumi untuk ditukarkan dengan apa saja artifak milik etnik tersebut untuk digunakan dalam setiap 'karya seninya.'

Isunya, Arnold bangga dengan tindakannya.

Dalam satu perkongsian Instagram lain, Arnold mendakwa dia sudah membawa beberapa unit jam untuk dipakaikan ke mana-mana mayat yang disimpan di perkampungan orang asli - hanya sebagai gimik fesyen.

arnold putra bersama anak kecil budak sekolah

Bayangkan selepas menghasilkan beg tulang kanak-kanak, Arnold datang ke sekolah anak anda dengan pakaian dan gaya sebegini.

Selain beg tulang belakang kanak-kanak, ada beberapa lagi produk berasaskan tubuh manusia dihasilkan Arnold; antaranya jaket yang butangnya dibuat dari gigi, sarung tangan yang dihias dengan tulang jari dan juga sehelai jaket kulit yang dihiasi rangka tulang dada sebenar (gambar bawah).

jaket dengan rangka manusia

Sama ada warga Indonesia ini melakukannya hanya sebagai satu gimik publisiti atau memang benar-benar terinspirasi dengan penggabungan rangka manusia ke dalam rekaannya, sukar untuk kita dapat buktikan. 

Kami di Iluminasi sudah beberapa kali menulis tentang keanehan perangai segelintir individu dari Indonesia. Mungkin Arnold Putra belum layak bergelar yang paling aneh, tetapi minatnya itu sedikit sebanyak layak dikatakan jauh lari dari landasan pemikiran manusia biasa.

Rujukan

Human Organs Harvested in a Lab for Fashion Designer, Brazilian Police Say



Hakcipta iluminasi.com (2017)