Oleh pada 18 Jun 2022 kategori

Kredit foto sepenuhnya kepada Instagram bahasa_hanief

Satu ketika dulu, produser tempatan giat menerbitkan siri drama berorientasikan ilmu persilatan. Siri drama silat seperti Pendekar Kundur dan Keris Hitam Bersepuh Emas berjaya menggamit hati penonton - seterusnya membuka mata generasi baru kepada ilmu persilatan.

Kini ilmu persilatan sudah mula popular di tayangan filem, diperkuatkan kebangkitan pengaruh pesilat/pelakon Indonesia di Hollywood.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kita di Malaysia juga sudah merasa bahangnya dengan penerbitan banyak filem bertema silat seperti Syahadan, Geran dan yang terbaru Mat Kilau; diharap membuka mata masyarakat terhadap seni bela diri warisan masyarakat kita. 

Ada lima aktor pilihan kami yang mempunyai kemahiran seni bela diri gabungan dua buah negara, yang sebenarnya mempunyai latar belakang seni bela diri yang hebat. Kalau bertanding, siapa yang anda rasa akan menang di antara kelima-limanya?

1. Cecep Arif Rahman

cecep arif rahman silat

Melihat aksi beliau sebagai watak tidak bernama dalam filem 'The Raid 2' merupakan satu pengalaman menakutkan. Riak wajah beliau dalam filem tersebut digambarkan cukup tenang dan bersahaja ketika bertarung.

Lahir pada tahun 1972 di Garut, Jawa Barat - Cecep Arif Rahman mempunyai latar belakang persilatan yang panjang. Dia mendapat galakan untuk menceburi ilmu bela diri silat dari datuknya, seorang guru silat - menyertai sekolah silat Panglipur pada tahun 1986.

Semasa pendidikan tertiari, Cecep berhijrah ke Bandung bagi mempelajari silat dari guru silat wanita terkenal Indonesia, Eni Rukmini Sekar Ningrat yang mempunyai reputasi cukup hebat sebagai mahaguru silat Panglipur.

Selepas membina reputasi sendiri sebagai guru silat sejak awal dekad 2000, pada tahun 2013 beliau mula terlibat dalam pembikinan filem di belakang tabir sebelum diberikan watak dalam filem 'The Raid 2' yang mengubah kerjayanya.

Dari filem tersebut, dia mula menjelajah ke Hollywood berlakon dalam filem Star Wars dan John Wick serta diberikan peluang memperkembangkan latihan silatnya ke serata dunia.  

2. Fattah Amin

pelakon fattah amin pesilat seni bela diri

Kami tahu di kalangan pembenci aktor Fattah Amin, pasti ramai melihat beliau sebagai seorang yang kerjayanya hanya kepada jual muka kacak sahaja.

Atas sebab itulah ramai terkejut melihat Fattah mempamerkan aksi tangkas dalam filem KL Special Force, yang menunjukkan beliau lari dari stereotaip biasa lakonannya.

Di sebalik wajah kacak dan lakonan romantik, Fattah Amin sebenarnya memang seorang pesilat sebenar dari sekolah silat aliran Gayung Fatani. Beliau juga atlet silat yang pernah mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam pertandingan peringkat kebangsaan.

Pengambilan Fattah sebagai salah seorang teraju filem 'Mat Kilau' kembali menimbulkan kontroversi ekoran keengganan penonton melihat beliau dalam watak sedemikian rupa.

Ramai mempersoalkan kredibiliti beliau. Sudah kami tulis sejak tahun 2018 lagi, Fattah Amin adalah seorang pesilat tetapi malangnya wajah kacaknya membuatkan ramai sangsi akan kemampuan dirinya.

Begitulah nasib individu wajah kacak ni. Selalu sangat disalah anggap lembik walaupun kita ada kemampuan.

3. Iko Uwais

iko uwais merantau filem silat

Nama besar genre filem aksi moden, Iko Uwais merupakan seorang pelakon unik kerana wajahnya tampak lembut dan keanak-anakan tetapi aksinya pula keras dan cukup menakutkan.

Cucu kepada seorang mahaguru pengasas silat aliran Tiga Berantai bernama Haji Achmad Bunawar, tidak menghairankan bagaimana seni bela diri boleh menjadi satu lumrah  hidup Iko sejak umurnya 10 tahun. 

Iko mula mencipta nama selepas menjuarai pertandingan silat peringkat kebangsaan pada tahun 2005. Ketika masih bekerja sebagai seorang pemandu, dia bertemu dengan pengarah filem Gareth Evans dari Ireland yang ketika itu sedang menjelajah Indonesia bagi merekodkan dokumentari berkenaan dunia silat di sana. 

Hasil pertemuan kedua-duanya, Evans menawarkan Iko peluang untuk tampil dalam filem sebagai pelakon.

'Merantau' sebuah filem aksi menjadi penampilan sulung Iko memaparkan bagaimana wataknya terjebak dengan sindiket kongsi gelap secara tidak sengaja. Penampilan beliau dalam filem itu menjadi batu loncatan pertama, sebelum filem 'The Raid' hasil kerjasama beliau dengan Evans sekali lagi, memperkenalkan Iko Uwais kepada peminat filem aksi antarabangsa.

Kini sudah layak bergelar seorang bintang, Iko semakin giat melibatkan diri bukan saja dalam produksi di Indonesia bahkan menjadi antara nama yang popular di kalangan produksi Hollywood.

4. Yayan Ruhian

yayan ruhian

Kali pertama penulis menonton Yayan Ruhian berlakon dalam filem Merantau bersama Iko Uwais, menjadi antara detik yang sukar dilupakan. Wajah beliau yang garang serta gayanya yang seakan-akan seorang rockers kampung mudah diingati.

Lahir di Tasikmalaya pada tahun 1968, Yayan sejak usia remaja menyertai sekolah silat aliran Tenaga Dasar. Kemahiran beliau dalam jurus seni bela diri sekolah itu melayakkan beliau naik sebagai jurulatih, membawa beliau menjelajah ke banyak negara luar bagi memperkembangkan aliran tersebut.

Selepas mencuba nasib berlakon bersama Iko Uwais dalam filem 'Merantau' di mana Yayan turut bertindak sebagai juru koreografi, persembahan hebat Yayan dalam filem 'The Raid' sebagai watak jahat utama menggemparkan industri filem bergenre aksi. 

Bersama Iko dan Cecep Arif Rahman, mereka melakukan penampilan ringkas dalam filem Star Wars Episode VII sebelum bergandingan dengan Cecep, menentang Keanu Reeves dalam filem ketiga siri John Wick.

Yayan juga muncul dalam filem epik negara kita, 'Mat Kilau' memegang watak bernama Toga serta memainkan peranan penting sebagai juru koreografi filem ini.

5. Eman Manan

eman manan silat

Sebut pasal industri filem dan drama kita tanpa memperkatakan tentang pengaruh aktor Eman Manan memang tak sah. Sebut saja Eman Manan pula, terus terbayang wajah pendekar buka buah silat.

Tidak ramai tahu silat memang berakar umbi dalam hidup Eman, yang telah berlatih seni bela diri tersebut sejak tahun 1978 dalam aliran Seni Silat Jawa. Selain itu Eman juga mempelajari seni bela diri yang berasal dari Korea Selatan iaitu Tang Soo Do, seni pertarungan yang lebih mirip kepada seni Karate dari Jepun.

Walaupun lebih terkenal sebagai seorang pelakon filem serta pernah bergelar Pelakon Lelaki Terbaik Malaysia menerusi filem Buai Laju-Laju, legasi Eman ketika membintangi siri drama persilatan Pendekar Kundur dan Keris Hitam Bersepuh Emas banyak membentuk reputasi beliau. 

Pada tahun 2018 ekoran sumbangan dan jasa beliau dalam seni persilatan, Eman Manan dianugerahkan Sandang Kebesaran Pusaka Gayong dalam sebuah majlis di Terengganu.

Ketika ini sudah berusia 64 tahun, Eman Manan terus aktif dalam industri hiburan, menjadi antara watak penting dalam siri drama popular 'Pok Ya Cong Codei' yang mendapat sambutan baik peminat drama tempatan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)