Oleh pada 26 Apr 2018 kategori

artis lelaki yang multi talented di malaysia 353

Di negara kita, memang ramai artis digelarkan artis serba boleh atau multi-talented yang memiliki lebih dari satu kemahiran luar biasa.

Gelaran serba boleh diberikan kepada ramai artis, dengan mengambil kira pengalaman serta kebolehan bakat yang ada. Bagaimanapun ada masanya harus diakui, bukan semua artis mempunyai banyak kebolehan untuk berkarya dalam pelbagai bidang kerana masyarakat sebenarnya mampu membezakan bakat tulen atau sekadar cuba-cuba.

Oleh kerana tidak ada klasifikasi khas apa itu takrifan sebenar artis serba boleh, memang semua orang boleh meletakkan mana-mana saja artis yang mereka rasakan sesuai sebagai artis serba boleh. Jadi kami kongsikan kepada anda 5 artis lelaki terbaik yang kami rasakan serba boleh. Adakah anda bersetuju dengan pilihan kami atau anda ada calon lain?

1. Imuda

imuda depan lukisan

Abdul Rahim bin Muda atau Imuda satu masa dulu adalah antara nama yang cukup terkenal sebagai seorang artis serba boleh. Terkenal sebagai pelakon komedi dalam siri ikonik Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan juga 2+1, Imuda juga popular sebagai pelakon filem dengan watak dalam filem lejen Kembara Seniman Jalanan serta beberapa watak utama dalam filem Mat Gelap dan Mat Som.

Kerjaya sebagai seorang kartunis juga membolehkan hasil karyanya disiarkan setiap bulan di dalam majalah Gila-Gila, banyak berkisar kepada sejarah negara kita, menggunakan watak tentera Jepun seperti Yushimura yang amat menggelikan hati.

Sebagai seorang kartunis, sudah pastilah Imuda mempunyai asas lukisan yang kukuh. Beliau sudah beberapa kali mengadakan persembahan lukisan dengan fokus kepada penghasilan lukisan potret selain turut mengadakan bengkel lukisan, bagi mengasah bakat-bakat baru.

Pada 2017, Imuda selamat menjadi seorang ayah kepada anak ke empat beliau pada usia 57 tahun, selepas mengharungi hidup yang cukup mencabar ekoran kerosakan buah pinggang yang dihadapinya.

2. M.Nasir

m nasir sebagai hang tuah dalam pgl

Sekiranya ditanya siapakah mahaguru industri seni hiburan negara kita, nama Datuk Mohamad Nasir bin Mohamad atau M. Nasir merupakan antara nama yang akan disebut-sebut. Anak kelahiran Singapura ketika Singapura masih lagi berada di bawah Persekutuan Tanah Melayu, pendidikan awalnya di Akademi Seni Halus Nanyang di Singapura, menjadikan impiannya menjadi pelukis.

Kerjaya sebagai pelukis bertukar menjadi penulis selepas beliau diberikan ruang untuk menulis lirik bagi kumpulan Alleycats, yang menjadi permulaan awal karier panjang beliau. Namanya mula terkenal sebagai penulis dan pencipta lagu serta bertanggungjawab memperkenalkan Malaysia kepada banyak artis baru seperti kumpulan gergasi Search.

Kerjaya sebagai pelakon juga memberi ruang kepada M. Nasir memperkembangkan bakatnya dengan watak paling besar dipegangnya adalah dalam filem Puteri Gunung Ledang sebagai Hang Tuah dan juga yang terbaru, dalam filem Tombiruo.

Walaupun sibuk dengan kerjayanya, impian beliau menjadi pelukis professional tetap terlaksana dengan pameran lukisan yang diberikan judul 'Tanda' pada 2014. Kesemua lukisannya habis dijual pada hari pertama pameran.

3. Syamsul Yusof

syamsul yusof dan mawi

Syamsul Yusof menjadi pengarah paling muda memenangi anugerah pengarah terbaik di negara kita, pada usia 26 tahun. Sekiranya diukur, berkemungkinan besar pencapaiannya mampu menandingi dan melebihi sumbangan ayahnya sendiri pada industri hiburan negara kita iaitu pengarah mahsyur Dato' Yusof Haslam.

Memulakan kerjaya sebagai pengarah kepada beberapa episod drama Gerak Khas, Syamsul diberikan tanggungjawab pertama untuk mengarahkan filem Evolusi KL Drift sebagai tapak permulaan. Dengan tekanan bajet yang mencecah RM1.3 juta, Evolusi KL Drift berjaya dipawagam dan mengumpul RM3.9 juta kutipan. Sambungan kepada filem tersebut yang terbit pada tahun 2010 menobatkan Syamsul sebagai pengarah terbaik negara tahun tersebut dan mencetuskan fenomena filem di Malaysia melalui filem 'KL Gangster.'

Selain kerjaya sebagai pengarah dan pelakon, Syamsul juga banyak melibatkan diri dalam bidang nyanyian. Terlibat dalam pembikinan EP yang The Love Legacy pada tahun 2012, nama Syamsul Yusof mula disebut-sebut selepas bergandingan dengan vokalis terkenal Mawi dalam lagu 'Kalah Dalam Menang' yang juga menjadi runut bunyi filem 'Munafik' arahannya.

Lirik lagu tersebut dihasilkan oleh Syamsul sendiri dengan kerjasama seorang lagi komposer iaitu penulis Dr. Anwar Fazal menjadi bualan ramai selepas dicalonkan dalam Anugerah Juara Lagu ke 31. Lagu itu sekali lagi tersenarai antara lagu nasyid terbaik dalam Anugerah Nasyid 2017.

4. Afdlin Shauki

afdlin shauki ajak orang ramai boikot untuk palestin

Afdlin Shauki merupakan antara individu paling selamba dalam industri hiburan negara kita pada pendapat penulis. Mula dikenali dalam televisyen sebagai pengacara rancangan 'Golden Dreams' yang meletakkan beliau sebagai penyampai terbaik dalam Anugerah Televisyen Asia tahun 1999.

Kerjaya filem Afdlin meletup selepas berlakon dan bertindak sebagai pengarah dalam filem 'Buli' yang meletakkan dia sebagai pengarah harapan negara. Afdlin kemudiannya mula mengarahkan beberapa buah filem seperti Baik Punya Cilok, Papadom dan sambungannya Papadom 2 serta banyak lagi filem.

Walaupun lebih dikenali sebagai pelakon dan pengarah, kerjaya seni Afdlin sebenarnya sudah bermula lebih awal sebagai seorang artis rakaman dengan Roslan Aziz Productions. Terlibat dalam album kompilasi RAP'96 bersama artis di bawah label RAP, Afdlin sendiri menyumbang dan menyanyikan beberapa buah lagu, album tersebut tersebut dalam Anugerah Industri Muzik 1997.

Banyak melibatkan diri dalam bidang komedi, siri Ah-Ha di mana Afdlin bergandingan dengan Harith Iskander menjadi ├žult hit peminat komedi negara kita. Afdlin juga terlibat dalam persembahan sketsa komedi secara langsung, yang bermula dengan pementasan Actorlympics bersama ramai pelakon komedi lain sebelum menyertai rancangan Raja Lawak di Astro.

5. Adik beradik KRU

kru depan bangunan milik mereka

Demam KRU satu waktu masa dulu pernah melanda Malaysia, sehinggakan KRU dilihat sebagai salah satu gergasi hiburan negara. Gambar Yusry Abdul Halim kerap digunting dan disimpan gadis-gadis yang tergilakan mereka. Apa saja yang dilakukan oleh kumpulan KRU mendapat tumpuan ramai kerana mereka dilihat sentiasa berani mencuba sesuatu yang baru.

Memulakan karier sebagai sebuah kumpulan rap yang dilihat 'pesaing' kepada kumpulan 4U2C, kumpulan KRU akhirnya berjaya bertahan lebih lama. Zaman kegemilangan mereka bermula pada tahun 1992 melalui pengenalan album Canggih sehinggalah ke hujung tahun 1999 melalui album Formula Luar Biasa. Dalam tempoh itu, KRU menerbitkan 7 album yang mencatatkan jualan cukup membanggakan.

Selain giat menerbitkan album sendiri, kumpulan KRU juga banyak membantu melahir dan mempopularkan artis dan penggiat seni lain, seperti kumpulan Feminin, Elite, Indigo, Juliana Banos, VIP dan kumpulan Forteen melalui penubuhan KRU Studios.

Sekiranya ingin dilihat pencapaian peribadi setiap adik beradik KRU, Norman, Yusry dan Edry - memang agak panjang penulisan ini. Namun sebagai KRU, impak mereka bukan sahaja mampu dirasa dalam industri hiburan, malahan pada peringkat negara. Selain penubuhan KRU Studios, KRU juga menubuhkan KRU Academy yang diberikan tanggungjawab melatih pelapis masa depan negara dalam bidang penghasilan karya seni.

kru semasa muda

Kejayaan mereka dalam bidang perniagaan tidak menghalang kumpulan KRU terus mencipta lagu untuk artis-artis lain, dengan barisan panjang artis telah menyanyikan lagu mereka seperti Zainal Abidin dengan lagu "Ceritera", Ella dengan lagu "Permata Pemotong Permata", kumpulan Caliph Buskers dengan lagu "Hanya NamaMu dan banyak lagi.

Andai kami ingin cuba senaraikan apakah bidang yang dilakukan kumpulan KRU senarainya mungkin begini; penulis lagu, pencipta lagu, penerbit, pelakon filem, ahli perniagaan, pembikin filem, artis visual dan ada beberapa lagi rasanya yang kami tertinggal, dikongsi antara mereka bertiga.

Pada 18 April 2018, kumpulan KRU mengumumkan mereka akan membubarkan kumpulan itu selepas tamatnya persembahan akhir mereka di Istana Budaya pada 6 Mei 2018, meninggalkan banyak kenangan dan memori yang menjadi runut bunyi generasi 80-an dan 90-an satu masa.

6. Fattah Amin

kl special force fattah amin

Siapa tidak mengenali pelakon tampan ini? Kami pun pernah menerbitkan satu artikel yang diakui sendiri oleh peminat-peminat Fattah Amin sebagai biodata Fattah Amin paling lengkap dalam internet ketika ini.

Memulakan kerjaya sebagai seorang model bersama Hero Remaja, bakat Fattah Amin semakin lama semakin berkembang dengan Fattah mula berani menceburi pelbagai bidang lain. Memulakan kerjaya sebagai sebagai salah seorang kru penggambaran dalam siri drama Gerak Khas, Fattah menjadi gilaan gadis di negara kita selepas memegang watak utama dalam siri drama Suri Hati Mr. Pilot.

Fattah juga cuba berkecimpung dalam beberapa bidang lain dengan buku tulisannya "99 Kata-Kata Qalif Moden Fattah Amin" berjaya menggondol anugerah buku paling popular dalam Anugerah Buku Negara 2017. Selain menulis buku, Fattah juga mencuba bakat dalam bidang nyanyian lagu dengan lagu 'Wanita Terakhir' menjadi siulan ramai lelaki dan wanita. Walaupun berdepan kritikan ekoran suaranya yang dikatakan biasa-biasa saja, tak dapat dinafikan suara Fattah sebenarnya tidaklah seteruk yang digambarkan.

Dalam bidang sukan pula, Fattah Amin mempunyai kemahiran bermain bola keranjang, dengan ketepatan balingan yang mengagumkan. Fattah juga kerap bermain bola sepak futsal dalam posisi penyerang serta diakui cukup sukar untuk dikekang oleh mereka yang pernah berhadapan dengan beliau.

Selain bola sepak dan bola keranjang, Fattah juga sebenarnya mempunyai satu lagi kemahiran yang tidak ramai orang tahu. Fattah adalah seorang pesilat bagi pasukan Kuala Lumpur serta pernah bertanding dalam kejohanan silat peringkat kebangsaan. Walaupun sekadar menduduki tempat ketiga, pengalaman itu dipergunakan sepenuhnya untuk beliau menghayati watak yang bakal dibawakan dalam filem sejarah Mat Kilau arahan Syamsul Yusof.


Jika anda menggemari Iluminasi, kami memerlukan undian anda. Kami telah terpilih untuk bertanding dalam kategori laman web komersial Malaysia Website Awards 2018 dan kami nak menang. Kami amat menghargai sokongan anda jadi undilah Iluminasi melalui pautan MWA 2018 Iluminasi.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)