Seni silat adalah sejenis ilmu bela diri yang diakui umum sebagai hak asli kepunyaan bangsa Melayu sebagai pertahanan diri. Berdasarkan bukti penemuan tinggalan sejarah, seni mempertahankan diri ini telah wujud di kawasan kepulauan Melayu pada abad ke-8 Masihi lagi.

sejarah silat gayong dato meor abdul rahman

Secara umumnya asas seni silat terbahagi kepada dua iaitu 'bunga' dan 'buah'. Seni bunga adalah gerak tari yang lembut dan gemalai untuk mengelirukan pihak lawan. Manakala seni buah pula adalah gerak langkah yang keras, padu dan padat untuk menumpaskan lawan.

Salah satu seni silat yang paling terkenal di negara kita ialah Silat Seni Gayong Malaysia. Sesiapa yang berada dalam dunia persilatan mesti cukup kenal dengan nama Dato Meor Abdul Rahman Bin Uda Mohd Hashim. Beliau adalah pengasas Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM). 

Insan hebat dan dihormati ini dilahirkan pada 17 Ogos 1915 di sebuah kampung bernama Kampung Lake Garden yang terletak di bandar Taiping, Perak. Arwah Dato Meor Abdul Rahman adalah berketurunan Bugis yang mempunyai kaitan dengan Panglima Hitam dalam sejarah negeri Perak.

dato meor abdul rahman

Dato Meor Abdul Rahman semasa muda

Panglima Hitam bukanlah nama individu, tetapi ianya adalah gelaran kepada jawatan yang dipegang oleh individu yang diamanahkan tugas tersebut. Mereka dikatakan hebat dalam ilmu persilatan dan ditugaskan khas untuk menjadi pengawal peribadi Sultan.

Setiap Sultan mempunyai Panglima Hitamnya yang tersendiri bermula sejak dari abad ke-18 lagi. Antara Panglima Hitam paling terkenal ialah Tengku Daeng Kuning dari Perak. Beliau adalah anak kepada Raja Bugis dari Makassar, Sulawesi dan sampai ke Tanah Melayu pada tahun 1813. Dato Meor Abdul Rahman merupakan cucu kepada Tengku Daeng Kuning.

Ibu kepada Dato Meor Abdul Rahman ialah Syarifah Aluyah Binti Syed Zainal al-Attas manakala bapanya pula bernama Uda Mohd Hashim bin Daeng Che Ngah. Daeng Che Ngah adalah nama sebenar kepada Panglima Hitam Tengku Daeng Kuning.

panglima hitam tengku daeng kuning

baju kemeja bersilat

Dato Meor Abdul Rahman mempunyai dua orang lagi adik-beradik seibu dan sebapa iaitu Meor Abdul Aziz dan Siti Saadiah. Selain itu, arwah Dato Meor Abdul Rahman juga mempunyai tiga saudara perempuan seibu dari perkahwinan ibunya yang terdahulu.

Apabila meningkat remaja, keluarga arwah Dato Meor Abdul Rahman telah berpindah ke Kampung Pokok Asam yang terletak di Taiping. Beliau mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Taiping dan peringkat menengah di Sekolah Inggeris Kamunting, Ipoh Trade School dan seterusnya di Technical School di Ipoh sehingga tahun 1936.

Pada asalnya, Dato Meor Abdul Rahman mula menuntut ilmu persilatan dengan datuknya di sebelah ibu iaitu Syed Zainal Bin Syed Idris al-Attas ketika berusia 12 tahun. Datuknya itu yang juga dikenali dengan nama Tuk Jenai, seorang hulubalang negeri Pahang yang tersohor.

mat kilau

Mat Kilau

Tuk Jenai pernah berjuang menentang penjajahan Inggeris bersama-sama Allahyarham Mat Kilau, Dato' Bahaman, Tok Gajah dan beberapa lagi panglima yang terkenal dalam sejarah. Beliau kemudian telah berpindah ke Taiping dan menghabiskan sisa hidupnya bersama keluarga di sana.

Berbeza dari rakan-rakannya yang sama-sama berguru dengan datuknya, arwah Dato Meor Abdul Rahman menerima latihan intensif setiap hari, siang dan malam. Beliau hanya mengambil masa beberapa bulan sahaja untuk khatam ilmu persilatan dengan datuknya itu.

Arwah Dato Meor Abdul Rahman semakin dikenali ramai. Ketika berumur 19 tahun, beliau telah dipanggil untuk menunjukkan kebolehannya bersilat di hadapan Paduka Seri Sultan Perak ke-30, Almarhum Sultan Alang Iskandar di Istana Bukit Chandan.

almarhum sultan iskandar shah

Almarhum Sultan Iskandar Shah

Sultan Alang Iskandar berpuas hati dengan persembahan dan kegagahan Dato Meor Abdul Rahman dan kemudian menganugerahkannya gelaran Panglima Sendo Perak. Sultan juga menggelarkannya sebagai Rahman Sendo dan menjadikannya sebagai anak angkat. Arwah Dato Meor Abdul Rahman pernah tinggal di istana sehinggalah Sultan Perak ke-30 itu mangkat pada tahun 1938.

Selepas itu, Dato Meor Abdul Rahman berhijrah pula ke selatan dan merupakan anak Melayu pertama yang ditugaskan sebagai jurulatih seni mempertahankan diri Signal Corps di bawah pemerintahan Lt. Kol Pope di Gullman Barrack, Singapura.

Apabila tentera Jepun menyerang Singapura pada tahun 1941, beliau berundur ke Pulau Sudong. Di sinilah kali pertama Silat Seni Gayong mula diperkenalkan kepada sekumpulan tujuh orang belia pada 17 Februari 1942, jam 11 pagi.

dato meor abdul rahman 2

dato meor abdul rahman pengasas silat gayong

Di pulau itu dan pulau-pulau sekitarnya, beliau telah membuktikan kepintaran dan keberaniannya dalam memperdaya dan menewaskan tentera Jepun serta melindungi penduduk setempat.

Atas kegigihan beliau, pengaruh Silat Seni Gayongnya mula berkembang ke pulau-pulau Indonesia, Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu. Beliau juga telah dikurniakan pingat King George V oleh Ratu Elizabeth di atas jasa cemerlangnya ketika bertugas sebagai anggota polis di Jabatan Siasatan Jenayah Singapura menentang pendudukan Jepun di Singapura dan Malaya.

Beliau terus gigih mengembangkan Silat Seni Gayong ke seluruh Tanah Melayu dan Singapura sejak 1948. Setelah bersara dari pasukan polis, beliau telah menubuhkan Seni Gayong School di Woodland, Singapura pada 3 Disember 1960.

dato meor abdul rahman bersama dato onn jaafar

Dato Meor Abdul Rahman bersama Dato Onn Jaafar

Pada tahun 1959, pengasas UMNO dan penentang Malayan Union, Allahyarham Dato Onn bin Jaafar, telah menjadi ahli Silat Seni Gayong. Memandangkan sambutan terhadap seni silat ini begitu menggalakkan, beliau mencadangkan supaya ianya didaftarkan.

Hasil usaha beliau bersama Dato Meor Abdul Rahman sendiri, seni silat ini telah berjaya didaftarkan di Johor Bahru pada 22 Oktober 1963 (No. Pendaftaran 361) atas nama Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM). Ia merupakan pertubuhan silat yang pertama didaftarkan dan merupakan perguruan silat terbesar negara.

Silat Seni Gayong terus berkembang dengan pesat di Semenanjung Malaysia. Usaha dan pengorbanan Dato Meor Abdul Rahman telah diiktiraf oleh Paduka Seri Sultan Perak, Duli Maha Mulia Almarhum Sultan Idris dengan mengurniakan pingat Darjah Paduka Cula Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Dato.

Pada 23 Jun 1991, Dato Meor Abdul Rahman yang berusia 76 tahun ketika itu telah kembali ke rahmatullah apabila menghembuskan nafasnya yang terakhir sewaktu berada di pangkuan anak kesayangannya, Puan Siti Fadzilah di Hospital Pakar Ipah, Perak.

Rujukan:

1. PSSGM

2. Orang Perak

3. Gayong Blogspot



Hakcipta iluminasi.com (2017)