Oleh pada 16 Aug 2022 kategori

Apabila seseorang menceritakan berkenaan ikon filem aksi, nama yang menjadi sebutan adalah nama-nama pelakon lelaki. 

Jarang nama pelakon wanita meniti dibibir walaupun hakikatnya, sudah ramai pelakon wanita yang menjadikan genre aksi sebagai bidang karya utama serta telah diangkat menjadi tonggak utama cerita - khususnya pelakon dari Asia.

Kurang dikenali kecuali bagi individu yang telah bergelar artis antarabangsa, berikut adalah lima pelakon aksi wanita Asia cukup ditakuti dalam filem kerana mampu membawakan aksi lasak; yang golongan jantan pun mungkin tak mahu melakonkannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Jeeja Yanin (Thailand)

jeeja yanin aksi lakonan thailand

Tony Jaa dan filem 'Ong Bak' bertanggungjawab memulakan kembali fenomena filem aksi Thailand, melakonkan adegan aksi realistik dan praktikal, yang membolehkan setiap pertarungan tampak benar impaknya.

Diarahkan oleh Prachya Pinkaew, sentuhan tangan beliau selepas itu terus menjadi bualan. Antara filem yang paling mengejutkan ramai adalah 'Chocolate' terbitan tahun 2008, yang memperkenalkan masyarakat antarabangsa dengan seorang gadis genit bernama Yanin 'Jeeja' Vismitananda.

Memainkan watak seorang gadis autistik yang mempunyai kebolehan luar biasa bertarung, filem itu walaupun dikritik akibat jalan ceritanya yang kurang kemas menyaksikan Yanin buat kali pertama mempersembahkan bakat bertarungnya kepada umum.

Seorang pemegang tali pinggang hitam seni pertahanan diri taekwondo serta terlatih dalam seni muay thai, aksi Yanin dalam filem itu memang memukau.

Kemampuan Yanin membawakan aksi-aksi lasak membolehkan dia terpanggil untuk menyertai projek bersama nama-nama besar lain seperti Michael Jai White, Scott Adkins dan sudah tentulah Tony Jaa sendiri.

2. Veronica Ngo (Vietnam)

veronica ngo pelakon aksi vietnam 2

Nama beliau mungkin kurang dikenali di Malaysia, tetapi bagi peminat filem aksi -pelakon wanita Vietnam ini kini merupakan antara nama besar di kalangan pelakon wanita tahan lasak.

Dikenali sebagai Veronica Ngo atau Ngô Thanh Vân, wanita kelahiran tahun 1979 ini memulakan karier sebagai model sambilan sebelum mencipta nama sebagai penyanyi dengan penerbitan 6 buah album.

Selepas mendapat peluang berlakon dalam drama tempatan, langkah Ngo semakin panjang selepas diberikan tawaran melakonkan filem. Dia mula terkenal sebagai pelakon genre aksi, sering bergandingan dengan bintang Vietnam, Johnny Tri Nguyen.

Profil yang semakin meningkat membolehkan Ngo membawakan watak Paige Tico dalam filem Star Wars : The Last Jedi yang membuka jalan lebih luas untuk beliau di Hollywood.

Ngo memegang watak kecil dalam filem 'Bright' bersama Will Smith sebelum filem lakonannya di tanahair dalam filem 'Furie' memahatkan namanya sebagai pelakon aksi yang tidak boleh lagi dinafikan kemampuannya.

Selepas itu Ngo menyertai projek bersama pengarah terkenal Spike Lee dan bergandingan dengan Charlize Theron dalam filem 'The Old Guard' yang mendapat sambutan cukup baik, kini sedang dalam proses produksi filem sambungannya.

3. Juju Chan (Hong Kong)

juju chan wanita pelakon aksi 2

Digelarkan sebagai 'Bruce Lee versi wanita' merupakan satu perbandingan yang menggembiran namun kurang disenangi Juju Chan. Ini kerana bagi beliau, beban itu bukanlah sesuatu yang mudah ditanggung.

Latar belakangnya tidak lari dari seni pertahanan diri. Juju adalah atlet sukan taekwondo yang pernah mewakili negara Hong Kong dalam pertandingan bertaraf antarabangsa serta berkemahiran tinggi dalam seni pertarungan muay thai.

Namanya sebagai pelakon aksi mula dikenali elepas terpilih membawakan salah satu watak dalam sambungan kepada filem legenda 'Crouching Tiger Hidden Dragon' iaitu 'Sword of Destiny', bersama Donnie Yen dan Michelle Yeoh.

Penampilan itu membawa beliau untuk terpanggil dalam beberapa projek bergenre aksi. Dia memainkan salah satu watak utama dalam siri TV Netflix 'Wu Assasins' bersama aktor aksi Indonesia, Iko Uwais serta terlibat dalam beberapa judul genre aksi berbeza.

4. Liu Yifei (China)

liu yifei mulan pelakon drama wuxia

Melihat wajahnya yang ayu dan lembut membuatkan kita tidak menyangka latar belakang Liu Yifei mirip dengan filem aksi. 

Nama Yifei mula dikenali peminat antarabangsa selepas memainkan watak utama Hua Mulan dalam filem 'Mulan' terbitan Disney, namun karier beliau sebagai pelakon aksi sudah bermula lebih awal sebelum itu. 

Yifei yang berhijrah mengikut keluarga, memilih untuk kembali ke negara asalnya China pada usia 15 tahun bagi menyambung pengajian dalam bidang lakonan. Dia mula mendapat tawaran melakonkan siri-siri drama TV berasaskan wuxia (seni pertahanan diri China) yang meletup di kalangan peminat siri TV.

Selepas membintang 6 siri TV wuxia, Yifei mula mendapat tawaran untuk menyertai dunia filem dalam filem 'The Fobidden Kingdom' yang membariskan Jackie Chan dan Jet Li sebagai dua watak utama. Filem ini bertanggungjawab memperkenalkan Yifei kepada masyarakat antarabangsa.

Seorang pengamal seni permainan pedang wushu sejak usia muda, Yifei memanfaatkan sepenuhnya kemahiran yang dimilikinya bagi memainkan watak-watak yang memerlukan kemahiran tinggi dalam setiap adegan yang ada.

5. Michelle Yeoh (Malaysia)

michelle yeoh kung fu seni bela diri

Berbeza dengan nama-nama lain dalam senarai ini, Tan Sri Michelle Yeoh anak kelahiran Ipoh, Perak tidak pernah mempelajari seni mempertahankan diri. Dia adalah seorang penari ballet yang telah mula berlatih sejak berusia 4 tahun.

Selepas mencapai usia 15 tahun, beliau mengikut keluarga berhijrah ke United Kingdom di mana dia menyertai Akademi Tarian Di-Raja UK dalam seni tari ballet. Selepas mengalami kecederaan, dia menukar haluan mula menjadikan jurusan seni penghasilan drama sebagai fokus pendidikan.

Nama beliau mula dikenali selepas memenangi pertandingan ratu cantik yang dianjurkan di London sebagai wakil negara kita. Dari situlah dia mula dipancing produser dari Hong Kong, yang membawa Dato' Michelle menyertai beberapa projek filem bersama bintang Hong Kong, Jackie Chan.

Kerjasama beliau dengan aktor Jet Li dalam dua filem iaitu Tai Chi Master dan Wing Chun membuahkan hasil besar, melonjakkan Yeoh terpilih membintangi filem James Bond 'Tomorrow Never Dies' bersama Pierce Brosnan.

Walau bagaimanapun, tidak dapat kita nafikan lakonan beliau dalam filem klasik Crouching Tiger, Hidden Dragon mematerikan nama beliau sebagai legenda industri filem antarabangsa.

Kini sudah berusia 60 tahun, karier panjang Yeoh dalam genre aksi masih dapat kita lihat dalam filem terbaru beliau 'Everything Everywhere All At Once' di mana Yeoh masih mempamerkan aksi-aksi keras bertarung walaupun hanya memainkan watak seorang suri rumah.

Untuk seorang penari ballet, pencapaian Michelle Yeoh sebagai bintang genre aksi dunia tidak boleh disangkal lagi. Karier beliau sering dirujuk sebagai model yang harus diikuti, kepada mereka yang mahu mencipta nama sebagai anak seni bertaraf antarabangsa yang berjaya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)