Oleh pada 20 May 2020 kategori

Sebuah filem biasanya akan membawa jalan cerita yang mempunyai naik turun babak, memerlukan sokongan ramai watak di dalamnya bagi menjayakan jalan cerita.

Keperluan pelbagai jenis watak sama ada sebagai pelakon utama, pembantu mahupun sebagai pelakon tambahan yang ditugaskan mencipta situasi yang diperlukan, ditagih untuk menghidupkan filem.

Namun ada juga sesetengah filem yang jalan ceritanya cukup kuat untuk didokong hanya seorang pelakon, yang akan menentukan sepenuhnya kejayaan atau kegagalan filem tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tidak banyak produser berani mengambil risiko sebegini, tetapi mana yang berani mencuba; berjaya mendapat hasil unik yang membuatkan penonton teruja.

1. Philip Baker Hall 'Secret Honor' (1984)

secret honor nixon

Sebuah filem yang sudah hampir 40 tahun diterbitkan, 'Secret Honor' memaparkan pelakon veteran (ketika ini) Philip Baker Hall sebagai bekas Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon yang berhadapan dengan tekanan hidup selepas kejatuhan beliau akibat skandal Watergate yang melanda negara itu.

Skandal itu menjadi fokus utama perubahan tahap psikologi watak Nixon menerusi lakonan Baker Hall, gemar bermonolog sendirian membincangkan tentang kejadian yang telah menimpanya serta cuba mencari jalan keluar daripada pelbagai dakwaan yang melanda dirinya.

Lakonan Baker Hall dalam filem ini yang dilakukan secara sendirian dalam satu lokasi, dipuji pengkritik era tersebut. Filem ini kekal unggul mengekalkan penilaian 7.3 bintang di IMDB serta kerap disebut apabila isu berkaitan Nixon ditimbulkan.

2. David Oyelowo 'Nightingale' (2014)

nightingale david oyewele

Selepas membunuh ibunya sendiri, Peter Snowden (David Oyelowo) mula berhadapan dengan realiti tindakan yang telah dilakukan dirinya.

Dia cuba memulakan kehidupan seperti biasa namun gagal, sebelum mengambil keputusan merakamkan apa saja yang difikirkan ketika itu ke dalam bentuk video untuk tontonan pengikut laman beliau.

Snowden turut perlu menyelesaikan bagaimana mahu menguruskan mayat ibunya yang masih ada di dalam rumah.

Dengan menjadikan fokus kepada hubungan teknologi serta interaksi antara Snowden dengan pengikutnya  setiap kali bersiaran sebagai tunjang utama, filem ini diterima baik pengkritik dengan lakonan solo Oyelowo dipuji; berkesan memaparkan naik turun psiki wataknya.

Ketika ini, laman web agregator Rotten Tomatoes meletakkan skor Nightingale pada kadar 82%, menandakan penerimaan positif penonton terhadap filem ini.

3. Robert Redford 'All Is Lost' (2013)

all is lost robert redford

Filem sunyi memaparkan aktor legenda Robert Redford, 'All Is Lost' memaparkan watak lelaki tidak bernama lakonan Redford yang terdampar di lautan atas sebuah perahu sendirian, selepas sebuah kemalangan melibatkan kapal yang dinaikinya.

Sepanjang filem ini, lelaki itu cuba untuk menyesuaikan diri dengan norma baru beliau (haha) untuk terus kekal hidup, belajar menangani bencana yang hadir serta mengerti kepayahan hidup.

Lakonan Redford dalam filem ini mendapat tepukan bergemuruh semasa hari tayangan pertamanya, dipuji kerana berjaya membuatkan penonton merasai pahit manis dan jatuh bangun yang ditempuhi watak sepanjang filem.

'All Is Lost' mendapat reaksi positif majoriti pengkritik filem dengan 94% skor di Rotten Tomatoes serta 7.98 di IMDB. Kiranya, filem ini layak dikatakan sebuah klasik moden.

4. Ryan Reynolds 'Buried' (2010)

buried ryan reynolds

Penulis harus jelaskan, penulis gagal menghabiskan filem ini kerana rasa takut yang melanda akibat tekanan tempat sempit. Jadi penulis hanya mengetahui penamat filem ini melalui tulisan di laman Wikipedia serta perbincangan pihak lain di internet.

Begitulah berjayanya filem ini memaparkan rasa gementar yang akan dihadapi seseorang yang terperangkap dalam ruangan sempit.

Selepas ditangkap kumpulan pengganas di Iraq, Paul Conroy (Ryan Reynolds) dijadikan tebusan, dikurung dalam sebuah keranda yang ditanam dalam tanah bertemankan sebuah pemetik api dan telefon.

Sepanjang filem tersebut, Conroy terus berkomunikasi dengan banyak pihak termasuklah kumpulan pengganas yang menanam dirinya dalam usaha memastikan wang tebusan berjaya dibayar. Akibat insiden yang berlaku berhampiran, keranda yang menempatkan Conroy pecah; menyebabkan pasir mula perlahan-lahan memenuhi ruangan, memendekkan lagi masa yang dia ada untuk cuba menyelamatkan diri.

Berbeza dengan watak komedi yang selalu dibawanya, lakonan Reynolds dalam filem ini dipuji ramai. Filem 'Buried' juga mendapat ulasan baik, diberikan skor 86% di Rotten Tomatoes serta 7.3 di IMDB.

5. Tom Hardy 'Locke' (2013)

locke tom hardy

Tom Hardy (Warrior, Mad Max Fury Road) memang seorang pelakon yang sangat versatil dan filem 'Locke' menjadi bukti dia mampu membawa sebuah filem cereka seorang diri.

Sepanjang durasi filem ini, Ivan Locke (Hardy) hanya duduk memandu sebuah kereta BMW X5 berkomunikasi dengan watak-watak lain melalui telefon ketika sedang dalam perjalanan dari Birmingham ke London; selepas hubungan sulitnya dengan seorang wanita mengakibatkan wanita tersebut mengandung, walaupun Locke sudah berumah tangga.

Dalam perjalanan ke London bagi menemani wanita tersebut melahirkan anak luar nikah mereka, Locke perlu berhadapan dengan bermacam situasi melibatkan karier, isu peribadi serta masa depan keluarganya yang kini bertambah menjadi dua.

'Locke' diterima baik majoriti peminat filem, mendapat 91% skor di laman web Rotten Tomatoes serta 7.7 di IMDB.

Lakonan solo Hardy sepanjang filem serta reaksinya terhadap semua kejadian yang menimpanya dipuji banyak pihak, menaikkan reputasi Hardy sebagai salah seorang pelakon British paling berjaya di Hollywood.




Hakcipta iluminasi.com (2017)