Oleh pada 12 Oct 2020 kategori

Kemunculan sejenak atau 'cameo' seringkali dijadikan salah satu cara yang menarik, untuk menyerikan sesuatu filem.

Apatah lagi apabila aktor besar bersetuju melakukan penampilan bersahaja sehinggakan kemunculan mereka itu, langsung tidak disedari penonton yang hanya mengetahui tentang kemunculan-kemunculan ini lama selepas tayangan tamat.

Berikut adalah lima kemunculan berbentuk 'cameo' yang telah pun ditayangkan dalam filem Hollywood. Cuba kira berapa yang anda perasan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Brad Pitt dalam 'Deadpool 2'

brad pitt deadpool 2

Membawakan watak 'Vanisher' dalam filem adiwira ini, watak yang dimainkan oleh Brad Pitt tidak kelihatan dalam filem - sama seperti namanya.

Menjadi salah seorang wira yang dipilih untuk turut sama membantu watak Deadpool, malangnya Vanisher meninggal dunia semasa terjun menggunakan bantuan payung tersangkut pada kabel elektrik.

Akibat renjatan yang berlaku, kuasa halimunan Vanisher hilang - menampakkan wajah sebenar beliau kepada penonton tak sampai 2 saat.

Sebagai bayaran untuk kemunculan dalam filem tersebut, Brad Pitt dibayar dengan secawan kopi.

2. Jason Statham dalam filem 'Collateral'

collateral jason statham

Sebelum namanya dijulang sebagai generasi baru pelakon filem aksi yang sudah terpahat sekarang, Jason Statham mula dikenali sebagai bintang utama kepada siri filem 'The Transporter.'

Mungkin kerana inspirasi dari filem tersebutlah, Statham diminta untuk membuat kemunculan ringkas dalam filem 'Collateral', lakonan unggul Tom Cruise dan Jamie Foxx - sebagai seorang penghantar barangan.

Kemunculan Statham dalam filem itu hanyalah untuk menyerahkan sebuah beg kepada watak Tom Cruise, dipaparkan dalam beberapa saat sebelum hilang dari pandangan penonton.

3. Daniel Craig dalam 'Star Wars The Force Awakens'

daniel craig star wars

Berbeza dengan pelakon-pelakon lain dalam senarai ini, watak yang dimainkan oleh Daniel Craig - pelakon utama watak James Bond (setakat ini) memerlukan wajah sebenar pelakon itu dilindungi.

Craig memainkan watak seorang askar Stormtrooper yang dipukau oleh watak utama filem tersebut, dengan menggunakan kuasa kawalan minda.

Namun Craig bukanlah satu-satunya pelakon berprofil tinggi yang turut sama melakukan penampilan ringkas. Tom Hardy juga pernah muncul memegang watak sama namun adegannya dipotong, selain penyanyi Ed Sheeran.

4. Tom Morello dalam 'Iron Man'

tom morello iron man

Jika anda tidak kenal siapa Tom Morello, beliau adalah pemain gitar antara yang paling disegani di dunia bersama kumpulan Rage Against the Machine dan Audioslave.

Selain itu, beliau juga adalah seorang aktivis sosial yang lantang bersuara serta dikagumi dek latar belakang pendidikannya yang agak tinggi.

Memainkan watak tambahan sebagai pengawal yang ditugaskan memenjarakan watak Tony Stark - usia watak Morello tidak panjang. Dalam dunia sinematik Marvel, dia adalah mangsa pertama yang merasai penumbuk Iron Man.

5. Matt Damon dalam pelbagai filem

deadpool2 matt damon redneck

Nama Matt Damon terkenal dalam siri filem penyiasatan Bourne Identity, Good Will Hunting dan Saving Private Ryan serta pelbagai lagi.

Ini membuatkan beliau sering dipanggil untuk melakukan penampilan ringkas dalam filem, ada kalanya diberikan kredit; kebiasaannya tidak.

Damon muncul dalam filem 'Thor : Ragnarok' memainkan watak samaran Loki dalam pementasan yang diadakan secara bersahaja. Beliau juga muncul dalam filem Deadpool 2 memegang watak 'Redneck#2' untuk penampilan beberapa saat.

Masih ramai juga yang tidak menyedari kemunculan beliau dalam filem remaja klasik 'Eurotrip' namun adegan filem tersebut, kurang sesuai untuk ditayangkan kepada umum.




Hakcipta iluminasi.com (2017)