Satu ketika dulu, budaya keterbukaan masyarakat kita amat berbeza berbanding sekarang. Nak tengok adegan cium dalam filem dan drama punyalah susah. Sekarang? Selamba saja ditayangkan di saluran televisyen kita.

Berikutan stigma masyarakat dahulu (yang sepatutnya kita kekalkan) usaha segelintir rakyat Malaysia bagi mendapatkan bahan-bahan media bersifat tidak senonoh; memerlukan kerja keras berbanding sekarang, di mana kita boleh tulis saja kata kunci tidak elok - akan terpaparlah apa saja yang kita mahu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Satu istilah yang sangat popular di kalangan rakyat Malaysia berkaitan media tidak sihat ini adalah 'blue film.' Anak-anak jika ditangkap menonton 'blue film' mesti sakit badan kena rotan, sakit telinga kena ceramah. Golongan lelaki pula seringkali malu-malu ke kedai pita/VCD/DVD sambil berbisik "boss, blue film ada?"

Pernahkah anda terfikir - kenapa kita labelkan filem pornografi sebagai 'blue film' satu masa dahulu?

Asal-usul penggunaan warna biru bagi mewakili aktiviti tidak bermoral

filem biru sejarah istilah

Wujud pelbagai teori yang cuba menjelaskan kenapa filem pornografi dinamakan sebagai 'blue film' tetapi sehingga kini, belum ada penjelasan muktamad bagaimana istilah ini terhasil.

Perkataan Inggeris 'blue' diambil daripada perkataan Proto-Jerman 'blaewaz' yang membawa makna 'warna langit' atau 'warna pucat kebiru-biruan.'

Berikutan simbolik warna tersebut, masyarakat barat memperkenalkan pada apa yang dinamakan sebagai 'Blue Laws' (undang-undang biru) bagi memastikan setiap hari Ahad mereka, dikhususkan untuk masyarakat menjalankan amalan-amalan kepercayaan mereka.

Pengenalan 'blue laws' ini mewajibkan penutupan semua kedai pada hari tersebut serta melarang aktiviti komersial, mewajibkan orang ramai berehat bersama keluarga di rumah mensyukuri apa yang mereka nikmati dalam hidup.

Untuk beberapa abad lamanya, 'blue laws' ini dihormati khasnya di Amerika Syarikat sehinggalah pada awal abad ke 20 apabila teknologi panggung wayang mula membolehkan orang ramai menonton filem.

Peraturan yang merugikan pengusaha panggung komersial

blue laws amerika syarikat

Pengusaha-pengusaha panggung yang kecewa mereka tidak dibenarkan membuka premis pada hari paling berpotensi untuk keluarga menonton wayang, mula memberontak dengan menjalankan perniagaan mereka setiap Ahad seolah hari biasa.

Kemasukan kumpulan migran yang mencari hiburan selepas penat bekerja 6 hari seminggu dan mahu berehat pada hari Ahad, mula menyebabkan kepatuhan masyarakat kepada 'Blue Laws' terhakis.

Berlaku perang dingin antara komuniti kuat agama di Amerika Syarikat melawan pengusaha panggung yang disokong oleh peminat filem, sehinggakan ada pengusaha panggung yang sengaja memberikan tiket percuma kepada penonton setiap kali polis menunggu di hadapan premis mereka.

Dengan memberi tiket percuma, pengusaha tidak boleh didakwa menjalankan perniagaan serta tidak boleh ditangkap.

Pada ketika itu juga, filem-filem keluaran Hollywood dikritik masyarakat kerana sering memaparkan adegan-adegan tidak bermoral serta keterlaluan dalam aspek keganasan dan seksualiti, berbanding kod moral masyarakat zaman tersebut.

Lama-kelamaan disebabkan oleh desakan peminat filem yang semakin lantang, 'Blue Laws' mula dilonggarkan bagi membenarkan penjualan tiket wayang untuk tontonan filem.

Istilah 'blue laws' yang pada awalnya digunakan untuk merujuk kepada peraturan hari cuti wajib, mula digunakan oleh peminat filem untuk menamakan aktiviti baru mereka - menonton filem pada hari Ahad, di mana undang-undang biru sepatutnya dilaksanakan.

Jadi amalan itu mula popular sebagai menonton 'blue film.'

Ini adalah teori pertama.

Hubung kait dengan masyarakat Scotland

scottish gallovidian encyclopedia

Teori kedua pula berkait dengan masyarakat Scotland.

Dalam sebuah ensiklopedia Scotland berjudul 'Scottish Gallovidian Encyclopedia' hasil tulisan John Mactaggart yang diterbitkan pada tahun 1824, Mactaggart memperkenalkan penggunaan istilah 'blue' untuk mewakili sesuatu elemen yang 'kotor' dan 'jijik' dari segi kelucahan, dalam karya lagu, cerpen dan juga dialog.

Tidak jelas dari mana datangnya idea Mactaggart untuk memulakan penggunaan istilah 'blue' bagi merujuk kepada elemen lucah.

Ada pendapat menyatakan idea itu datang daripada warna pakaian yang dipakaikan kepada pesalah-pesalah seksual khasnya golongan pelacur di Eropah, yang akan dipakaikan pakaian berwarna biru semasa ditahan.

Kita tidak mengetahui secara jelas bagaimana istilah itu dipopularkan.

Namun dari segi dokumentasinya, itulah kali pertama 'blue' dikaitkan dengan media-media bersifat kelucahan atau tidak senonoh.

Filem pornografi dirakam menggunakan filem biru

blue film blue movie sejarah

Satu pendapat berbeza paling popular yang sering diceritakan berkenaan asal-usul istilah 'blue film' berkait dengan bagaimana pasukan produksi pornografi satu masa dahulu, menjimatkan bajet mereka dalam penghasilan filem.

Kekangan produksi yang lebih bersifat amatur serta biasanya didalangi kumpulan kongsi gelap menghalang kru daripada menggunakan teknologi terbaik yang ada ketika itu, menyebabkan penggambaran yang dijalankan menggunakan filem yang berkualiti rendah.

Teknik yang diamalkan kumpulan produksi ini yang beroperasi pada awal abad ke 20 memerlukan mereka memproses gulungan filem sendiri di dalam bilik air, di dalam tab mandi.

Ekoran daripada kaedah gerila yang diamalkan serta kualiti filem gred rendah, filem pornografi yang terhasil mempunyai kualiti gambar yang sedikit malap lebih kebiru-biruan berbanding filem untuk tontonan khalayak umum.

Disebabkan tona biru yang wujud, akhirnya filem-filem pornografi mula dilabelkan sebagai 'filem biru' dan istilah itu lekat digunakan oleh masyarakat barat secara meluas.

Pengaruh Andi Warhol mempopularkan istilah itu ke serata dunia

andy warhol pengarah terkenal

Satu lagi elemen yang mempunyai hubungkait dengan populariti penggunaan istilah 'blue film', adalah disebabkan penerbitan sebuah filem pornografi oleh pengkarya terkenal berpengaruh dunia, Andy Warhol.

Pada tahun 1957 selepas sebuah kes mahkamah, Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat memperkenalkan definisi baru bagi membendung masalah penularan karya-karya berunsur pornografi yang dilihat langsung tidak membawa sebarang nilai dalam mesejnya.

Perubahan ini menyebabkan banyak karya yang memaparkan adegan seksualiti secara terbuka diharamkan.

Warhol yang terkenal sebagai seorang yang gemar mencetuskan provokasi melalui karyanya, menerbitkan sebuah filem lucah yang mempunyai durasi selama 2 jam yang memaparkan satu pasangan melakukan pelbagai aktiviti harian mereka termasuklah hubungan kelamin, sambil berbicara secara spontan berkenaan pelbagai isu dunia sama ada isu semasa atau isu sosial.

Dialog yang dirakamkan secara spontan itu sengaja digarap Warhol untuk membolehkan filem itu mencabar penerimaan masyarakat serta undang-undang mahkamah, yang pada beliau bersifat terlalu konservatif serta mengekang kebebasan berkarya.

Filem itu pada awalnya diterbitkan dengan judul 'F*ck.'

Memecahkan stigma Amerika Syarikat terhadap elemen negatif

blue movie filem andy warhol

Selepas usaha untuk menayangkan filem itu di pawagam disekat, Warhol menerbitkan skrip dialog yang diutarakan dalam filem tersebut kepada bentuk buku serta meneruskan tayangannya di teater miliknya.

Bagi memudahkan pengedarannya, Warhol mengambil keputusan menyunting semula filem tersebut termasuklah judulnya yang kontroversi, walaupun penggunaannya seiring dengan identiti karyanya sebelum itu.

'F*ck' dinamakan semula sebagai 'Blue Movie' sempena kesilapan pencahayaan yang berlaku semasa rakaman dibuat, menyebabkan tona biru menyelubungi keseluruhan filem tersebut.

'Blue Movie' menjadi filem pencetus berpengaruh, membuka jalan kepada lebih ramai pelakon terkenal ketika itu untuk mula melakonkan watak erotik, serta dikatakan bertanggungjawab memulakan apa yang dinamakan sebagai 'Zaman Kegemilangan Pornografi' dalam sejarah perfileman Hollywood.

Selepas penerbitan filem itu, penerimaan orang ramai terhadap unsur dan elemen seksual nyata dalam filem mula berubah dan filem-filem yang memaparkan adegan ranjang keterlaluan, mula dibicarakan dalam konteks lebih serius.

Kami tidak tahu adakah keempat-empat teori yang kami senaraikan, berkait antara satu sama lain jadi kami biarkan anda simpulkan sendiri pandangan anda selepas membaca artikel ini.Apa pandangan anda?




Hakcipta iluminasi.com (2017)