adegan filem muhung kuat tak real

Filem merupakan media popular yang perlu mempermudahkan banyak perkara, agar tona filem dapat bergerak lancar dan aksi dapat diterus.

Sehinggakan kadangkala penonton sendiri tidak menyedari apa yang dipaparkan dalam filem, sebenarnya hampir mustahil untuk dilakukan dalam dunia nyata. Sesuatu aksi yang sepatutnya tidak boleh berlaku, dipaparkan terjadi dengan mudah tanpa memerlukan usaha yang banyak.

Berikut adalah lima aksi dalam filem yang sebenarnya agak mustahil untuk dilakukan, tetapi bagi kita yang menonton - kita sendiri merasakan apa yang dilakukan boleh berlaku jika kita cuba melakukannya.

1. Hukuman mati pancung kepala yang lancar

mary permaisuri scotland

Dalam filem, aksi pembunuhan mengakibatkan pemutusan kepala dari badan seringkali digambarkan berlaku dengan sangat lancar. 

Kepala digambarkan mampu terpisah dari badan dengan kesan potongan yang sangat rapi, dikatakan berpunca daripada ketajaman dan kualiti senjata yang digunakan watak-watak dalam cerita. Realitinya, untuk memutuskan kepala dari badan dengan hanya satu tetakan - sebuah bilah pisau yang berat diperlukan dan penggunanya perlulah sangat-sangat mahir..

Situasi kepala bercerai dari badan dalam satu tetakan hanya boleh berlaku sekiranya mangsa memberikan kerjasama, duduk diam melutut dengan leher diletakkan menanti senjata dihayunkan. Berat senjata serta kekuatan tukang bunuh pula perlulah sangat optimum. Dalam situasi sedemikian rupa pun, ada kalanya satu hayunan saja tidak memadai.

Hukuman mati yang dijalankan terhadap Permaisuri Mary, pemerintah Scotland pada 8 Februari 1587 memerlukan dua tetakan besar. Hayunan pertama mengenai kepala, hayunan kedua pula gagal memutuskan leher memerlukan tukang bunuh itu menghiris apa saja organ yang masih bersambung secara sendiri. 

Perlu kami ingatkan, Mary ketika itu melutut menunggu maut, bukannya melompat-lompat mengelak sambil melawan balik.

2. Mati dibunuh dawai yang melintang

adegan filem wayar besi

Dalam sesetengah filem, pengarah cukup gemar memaparkan aksi di mana watak utama berjaya menjerat lawan dengan menggunakan wayar yang dipasang melintang. Apabila wayar tersebut dilanggar pada kelajuan tinggi, badan penjahat akan terbelah dua dengan mudah.

Realitinya, kita belum ada wayar senipis yang sering dipaparkan dalam filem yang mampu mempunyai kekuatan memotong seseorang. Jika wayar yang digunakan terlalu nipis bagi mengelakkannya dikesan, kemungkinan yang lebih besar boleh berlaku adalah wayar tersebut akan putus apabila dilanggar.

Jika wayar lebih tebal digunakan, apa yang sepatutnya berlaku dalam dunia nyata adalah individu yang berlanggar dengannya akan terhumban ke belakang. Rujuk balik kepada bahagian 1 dalam artikel ini. 

Sekiranya kapak berat pun masih memerlukan dua hayunan untuk membunuh seorang perempuan yang statik, adakah wayar halus mampu melakukannya dengan lebih senang?

3. Mati dibekukan cecair nitrogen

terminator cecair beku

Penggunaan cecair nitrogen sebagai kaedah pembunuhan, merupakan salah satu adegan kematian yang cukup dramatik dalam sesetengah filem. 

Mangsa digambarkan berjaya dibekukan dengan sempurna, sebelum dibunuh dengan hentakan yang mengakibatkan mangsa berkecai dalam keadaan masih beku.

Tidak dapat dinafikan cecair nitrogen memang mempunyai sifat sejuk yang menakutkan. Mempunyai takat didih pada suhu −195.8°C dan takat beku −210 °C, memberikannya sifat sejuk yang sukar untuk dibayangkan jika manusia terkena dengannya. Seseorang yang direndamkan ke dalam cecair nitrogen memang akan boleh maut. 

Tetapi adegan dalam filem kerap menampakkan kerapuhan tubuh manusia yang telah dibekukan, digambarkan mudah pecah dan berkecai - sedangkan impak yang diperlukan untuk memecahkan tubuh yang telah beku adalah agak besar.

Daging yang telah disejukbekukan pun memerlukan hentaman tukul padu, baru boleh dikecaikan. Lihat dalam video di atas bagaimana sukarnya hendak mematahkan seekor ayam yang telah dibekukan.

4. Mati dicekik dengan tangan

inglorious basterd adegan filem

Berapa lama seseorang yang dicekik seorang lain boleh bertahan, sebelum ketiadaan oksigen mula berlaku menyebabkan dirinya pengsan atau meninggal dunia?

Seseorang yang dicekik dalam filem boleh kehilangan nyawa tak sampai seminit, ada kalanya hanya dalam beberapa saat. Realitinya seorang manusia boleh hilang kesedaran diri dalam tempoh beberapa saat ke seminit lebih selepas dicekik dan mampu pulih semula sepenuhnya sekitar 10 saat, selepas tekanan kepada saluran leher berkurangan.

Cekikan yang membunuh pula memerlukan penyerang menyekat salur pernafasan seseorang di antara 1 minit setengah ke 4 minit lebih, yang akan mula menyebabkan bekalan oksigen ke bahagian otak mula terjejas - asalkan tekanan yang dikenakan tidak berkurangan.

Walau bagaimanapun, tempoh yang dinyatakan di atas hanyalah anggaran. Tempoh yang diperlukan untuk seseorang benar-benar terjejas akibat cekikan bergantung kepada faktor jantina, saiz dan juga tahap kesedaran seseorang mangsa yang diserang.

5. Patahkan leher dengan pusingan oleh tangan

rambo stallone adegan filem

Adakah boleh mematahkan leher seseorang, hanya dengan memusingkan leher mangsa dengan tangan? Boleh, jika anda sangat-sangat kuat dan mangsa langsung tidak melawan. 

Apa yang dipaparkan dalam filem, di mana leher seseorang terlalu mudah dibengkokkan sehingga patah - adalah teknik yang cukup tak masuk akal disebabkan oleh mudahnya leher-leher mangsa menyerah kepada tekanan yang diberikan.

Untuk memahami kekuatan yang diperlukan, kita boleh merujuk kepada sistem yang diamalkan penguatkuasa dalam menjalankan hukuman gantung sampai mati.

Setiap individu yang dihukum akan dibezakan mengikut berat mereka, yang akan menentukan ketinggian jatuhan yang diperlukan serta panjang tali yang akan digunakan bagi memastikan hukuman berjalan lancar; membolehkan nyawa terputus dengan segera tanpa pesalah terseksa.

Berdasarkan kepada kiraan, daya sekuat 1260 ft⋅lbf (pound foot force) perlu terhasil bagi membolehkan leher seseorang 'selamat' dipatahkan,berlaku dengan bantuan graviti yang menarik mangsa jatuh disokong tali yang kukuh. 

Mampukah tangan seseorang mengulangi apa yang dilakukan semasa hukuman gantung berlaku? Boleh. Jika dia sangat-sangat kuat dan mangsanya pula bukanlah orang dewasa. 



Hakcipta iluminasi.com (2017)