Satu masa dulu penerimaan rakyat Malaysia terhadap filem berdasarkan kepada karya komik dari Hong Kong mendapat sambutan yang sangat meluas - malahan melebihi sambutan terhadap filem berasaskan komik dari Hollywood.

Walau bagaimanapun masa yang berlalu membuatkan trend penonton sudah berubah, dengan filem-filem adiwira Marvel dan DC kini menjuarai citarasa peminat. Sementara permintaan terhadap filem kung-fu adiwira Hong Kong menjunam teruk. Besar kemungkinan turut sama dipengaruhi penurunan populariti komik-komik adiwira Hong Kong yang satu masa dahulu menjadi peneman generasi muda kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Industri filem Hong Kong harus dipuji kerana berani mencuba sesuatu yang baru dan lima filem berasaskan komik ini tidak dapat dinafikan tetap segar untuk ditonton sehingga kini kerana agak berani melangkaui zaman.

1. A Man Called Hero

a man called hero

Berasaskan kepada siri komik karya pelukis terkenal Ma Wing Shing berjudul 'Chinese Hero', 'A Man Called Hero' merupakan salah sebuah filem yang sangat dinantikan semasa pembikinannya, kerana siri komik asalnya merupakan sebuah komik yang mempunyai status legenda dalam industri komik.

Pada zaman penerbitan siri komiknya yang bermula pada tahun 1980, 'Chinese Hero' layak dikatakan bertanggungjawab mengubah lanskap komik Hong Kong melalui corak lukisannya yang unik, memperkenalkan kepada dunia wajah baru komik Hong Kong yang lebih realistik dan berbeza. Disebabkan itu, kita juga mendapat versi terjemahan Bahasa Melayu sendiri yang diberikan judul 'Wira Sakti'.

a man called hero komik wira sakti

Filem 'A Man Called Hero' diterbitkan pada tahun 1999 berjaya memuatkan hampir keseluruhan siri pertama komik ini ke dalam durasi hampir 2 jam, memaparkan pelakon kacak Ekin Cheng sebagai 'Hero Hua'. Filemnya agak menghiburkan namun ada ketikanya babak bertukar terlalu pantas. 'A Man Called Hero' dinobatkan sebagai pemenang anugerah kesan khas terbaik industri filem Hong Kong pada era tersebut.

2. Black Mask

blackmask jet li filem hk

Menampilkan pelakon aksi terkenal Jet Li sebagai watak utama Tsui Chik atau pesonanya 'Black Mask', filem ini memaparkan seorang askar bionik yang telah dijadikan bahan eksperimen pihak tentera. Beliau dilucutkan tugas, selepas kerajaan Hong Kong memilih untuk menghentikan program latihan mereka.

panel komik black mask

Memilih untuk hidup aman sebagai seorang penjaga perpustakaan, siri-siri jenayah yang wujud serta dilakukan bekas rakan sepasukannya sendiri memaksa Tsui Chik bangkit menentang rakan-rakannya dengan identiti adiwira 'Black Mask' bagi melindungi dirinya.

Diasaskan daripada karya seorang pelukis Hong Kong bernama Li Chi-Tak berjudul 'Hei Xia', komik ini diterbitkan dalam enam isu pada tahun 1993. Penerbitan komik ini dipuji kerana menjadi antara judul terawal menggabungkan tema aksi dan elemen-elemen sains fiksyen dalam kisahnya.

3. Young and Dangerous

young and dangerous ar639

Siri Young and Dangerous berjaya mewujudkan fenomena dalam industri filem Hong Kong, seterusnya menjadi batu loncatan kepada ramai aktor memulakan karier dalam industri hiburan Hong Kong. Dikritik kerana dilihat cuba mempopularkan budaya dan cara hidup kumpulan kongsi gelap Hong Kong, siri filem ini memang tidak dinafikan sangat berpengaruh bukan saja di Hong Kong - malahan di serata dunia.

Berikutan popularitinya, wujud rangkaian enam filem utama yang memaparkan jatuh bangun dua orang ahli kongsi gelap Hung Hing bernama Chan Ho-Nam dan rakannya Chicken, serta beberapa filem sampingan yang membawakan watak lain sebagai teraju utama kisah tersebut.

komik teddy boy

Diasaskan daripada sebuah siri komik keluaran tahun 1992 berjudul 'Teddy Boy' yang masih lagi diterbitkan, garapan seorang pelukis bernama Ngao Lo - wujud ura-ura bahawa Hollywood akan mengadaptasi siri komik ini ke dalam bentuk filem, selepas hak penerbitannya telah pun dijual kepada sebuah rumah penerbitan bernama Pulse Films pada awal 2019.

4. Dragon Tiger Gate

donnie yen dragon tiger gate

Bagi kita di Malaysia, pendedahan kita terhadap komik Hong Kong biasanya bermula dengan dua judul - sama ada satu siri komik yang dinamakan 'Singa Ganas' atau penerbitan rasmi yang diberi judul 'Jejak Wira' yang sangat panjang kisahnya. Kedua-dua komik itu pula adalah komik sama, terjemahan kepada sebuah siri komik legenda Hong Kong berjudul 'Oriental Heroes' - hasil karya 'tuan guru komik Hong Kong' Tony Wong.

Komik tersebut mula diterbitkan pada tahun 1970 pada asalnya, sebelum beberapa versi berbeza terpaksa dikeluarkan berikutan perubahan peraturan kerajaan Hong Kong. Populariti komik tersebut berjaya mengubah cara penghasilan komik di Hong Kong seterusnya mewujudkan perseteruan sihat di antara karya Tony Wong dan Ma Wing Shing, yang merancakkan populariti komik dari negara itu. 'Oriental Heroes' masih diterbitkan sehingga kini.

wong yuk long jejak wira

Filem 'Dragon Tiger Gate' pula dibintangi superstar aksi Donnie Yen dibantu oleh Nicholas Tse. Pada penulis filem ini agak terlalu memfokuskan pada aksi sehingga melupakan terus jalan ceritanya. Walaupun secara kasarnya inspirasi daripada komik sangat berjaya dipaparkan dalam filem ini, filem ini agak menghampakan walaupun visualnya mempunyai rekaan yang berjaya.

5. The Storm Riders

the storm riders nie feng penjejak awan angin

Siri komik 'Pedang Setiawan' pasti akan terus dikenang sebagai salah satu siri komik terbaik pernah dihasilkan, oleh mana-mana pengkarya sekalipun. Membawakan seni lukisan yang jarang sekali dapat dilihat dalam medium komik serta ketelitian penceritaan yang unik, penamat kepada komik ini dilukis dalam bentuk galeri persembahan di Hong Kong pada tahun 2015, sebelum dijilidkan untuk dijual melalui format cetakan.

Lebih dikenali dengan nama 'The Storm Riders', kisah komik ini menceritakan berkenaan dua orang anak muda bernama Nip Fung dan Bou Jing-yue yang pada awalnya dipergunakan demi kepentingan tok guru mereka, sebelum mereka bangkit sendiri - mencipta nama dalam arena pertarungan China.

fung wan pedang setiawan

Berikutan populariti siri komik ini, usaha untuk menterjemahkannya ke dalam filem berjaya dilakukan pada tahun 1998, menampilkan Ekin Cheng (banyak betul nama dia dalam artikel ini) dan Aaron Kwok.

'The Storm Riders' mengungguli anugerah filem Hong Kong tahun tersebut, memenangi 4 daripada 11 pencalonan. Sambungannya pula yang diberikan judul 'The Storm Warriors' (berikutan masalah hakcipta) diterbitkan pada tahun 2009, menampilkan pelakon yang sama tetapi membawa jalan cerita berdasarkan jalan cerita siri ketiga komiknya - apabila China mula berhadapan dengan penjajahan empayar Jepun.




Hakcipta iluminasi.com (2017)