teotihuacan piramid matahari dan bulan

Sehingga kini, rahsia alam sebenarnya masih banyak yang belum mampu diterokai oleh manusia apatah lagi apabila melibatkan tamadun-tamadun lama.

Walaupun zaman sekarang manusia mempunyai kebolehan dari segi teknologi yang gah, ada ketikanya memang ada situasi di mana kita belum cukup mahir atau cukup maju untuk faham setiap perkara yang kita kaji. Apatah lagi apabila kita yang merasakan zaman sekarang cukup moden, hanya mampu menganga melihat depan mata bukti-bukti jauhnya kemampuan kita dengan kebolehan tamadun-tamadun lama.

Berikut adalah lima lokasi di seluruh dunia, yang masih lagi menyimpan misteri dan sehingga kini - gagal untuk dibongkarkan apa rahsia disebalik kehebatan tamadun-tamadun lama ini.

1. Pumapunku

puma punku binaan mengagumkan

Pumapunku atau Puma Punku merupakan sebuah binaan kompleks kuil atau monumen yang terletak di Tiwanaku, bahagian barat negara Bolivia. Binaan ini dianggap antara lokasi paling misteri pernah ditemui kerana cara binaan ini dibuat, mempunyai tahap ketepatan yang sangat-sangat mengagumkan.

puma punku binaan sempurna

Berada pada ketinggian 12,800 kaki dari aras laut, Pumapunku menempatkan banyak binaan yang sukar untuk digambarkan kerana mempunyai bentuk geometri yang sangat-sangat halus hasilnya. Pendapat paling popular mengatakan Pumapunku dibina sekitar tahun 536, namun ada juga pendapat mengatakan lokasi tersebut berusia jauh lebih tua daripada dapatan kajian.

Kajian moden mendapati binaan Pumapunku dibina bertujuan untuk menjadi penanda masa dengan menggunakan cahaya matahari. Bagaimanapun sehingga kini persoalan bagaimana masyarakat Tiwanaku zaman dahulu mempunyai kemampuan membina binaan yang secara matematiknya, tidak ada cacat cela belum dapat dijawab. Hasil kerja mereka - sama seperti hasil pertukangan yang dapat kita hasilkan dengan peralatan yang ada sekarang.

2. Plain of Jars

plain of jars phonsavanh laos

'Plain of Jars' merupakan sebuah tapak megalitik yang terletak di pekan Phonsavanh, Laos; terletak betul-betul di kawasan pergunungan rendah Xiangkhoang. Di sini tidak terdapat binaan-binaan yang mengagumkan seperti di Pumapunku, tetapi lapangan ini menempatkan beberapa lokasi artifak, dengan setiap satunya menempatkan di antara satu hingga 400 balang besar setinggi 1 ke 3 meter.

plains of jar gergasi

Tidak dapat dipastikan siapakah pembina balang-balang ini dan apa kegunaannya. Bagaimanapun, hasil kajian yang dijalan mendapati terdapat kesan tulang dan gigi manusia yang dibakar, dijumpai dalam balang-balang yang ada.

Penyelidik berpendapat balang-balang yang dianggarkan berusia lebih 2000 tahun ini digunakan dalam upacara kematian masyarakat di situ, menjadi 'peti' kepada mereka yang telah meninggal dunia. Ada yang percaya balang-balang itu dibina untuk dijadikan tempat memeram arak beras bagi kegunaan sambutan perayaan. Ada juga pendapat mengatakan, balang itu digunakan sebagai takungan air. Sehingga kini, perkara ini masih menjadi misteri. (rujukan)

3. Lembah Teotihuacan

teotihuacan mexico piramid

Lembah Teotihuacan merupakan sebuah tapak kuil lama era Meso-Amerika yang terletak tidak jauh daripada Mexico City, Mexico. Teotihuacan dikatakan dibuka pada abad pertama lagi dan pernah menjadi antara bandar terbesar dunia, dengan populasi lebih 125,000 orang penduduk.

teotihuacan bandar besar

Teotihuacan membawa makna 'lokasi di mana Tuhan dicipta' berdasarkan kepercayaan masyarakat di situ, mempunyai rekaan bandar yang sangat terancang dengan menjadikan beberapa buah kuil sebagai pusat bandar mereka. Terdapat dua buah piramid besar yang menjadi pusat masyarakat mereka serta sebuah piramid lebih kecil yang menjadi kuil menyembah Dewa Quetzalcoatl.

Bagaimanapun, berikutan ketiadaan rekod serta sebarang petunjuk, tidak diketahui siapa pengasas bandar ini dan apa yang menyebabkan bandar besar ini dibiarkan begitu saja. Kajian untuk mengenalpasti siapakah pemerintah Tiotihuacan tetap diteruskan dan penyelidik berpendapat, misterinya dapat dirungkaikan sekiranya setiap pelusuk piramid yang ada berjaya diterokai. (rujukan)

4. Monumen Yonaguni

yonaguni monument japan

Monumen Yonaguni berkemungkinan besar tidak dapat dilawati majoriti kita. Ini kerana monumen misteri ini berada di dalam lautan, berada di lokasi selatan Pulau Ryukyu, Jepun. Sehingga ke hari ini, belum diketahui adakah corak-corak binaan yang wujud di dasar lautan ini ciptaan manusia atau sebenarnya terbentuk disebabkan fenomena alam semulajadi.

monumen yogunan

Monumen Yonaguni ditemui pertama kali pada tahun 1986 oleh penyelam-penyelam yang mahu mengkaji jerung kepala tukul, yang banyak berkeliaran di sana. Setelah mendapati wujud 'binaan-binaan' ini, satu pasukan penyelidik diberikan tanggungjawab untuk mengkaji formasi yang terbentuk.

Formasi binaan ini dibuat daripada pasir dan lumpur yang keras, dipercayai menggunakan elemen yang telah ada di sana sejak 20 juta tahun lalu dan setiap satu formasi bercantum dengan dasar lantai laut. Formasi yang terbentuk mempunyai saiz yang besar serta rupa geometrik tertentu, seperti bentuk tiang, dinding, bintang, bentuk huruf L dan beberapa bentuk lain, termasuklah sebuah yang menyerupai bentuk kura-kura.

5. Bandar Baalbek

bandar baalbek kuil lama

Baalbek adalah sebuah bandar purba yang kini terletak di utara Beirut, Lebanon. Lokasinya berada dalam kawasan yang dikenali sebagai Lembah Beqaa dan dianggarkan sudah wujud sejak tahun 9000BCE. Ini bermakna binaan yang ada di sini dianggarkan sudah berusia lebih 10 ribu tahun lamanya.

bandar baalbek di lebanon

Apa yang mengagumkan berkenaan binaan-binaan di sini terutamanya kuil gergasi yang ada adalah misteri bagaimana masyarakat zaman dahulu membinanya. Tiang-tiang yang menyokong binaan monolith gergasi itu dianggarkan mempunyai lebih 100 tan dengan dindingnya saja mencecah 300 tan. Belum diketahui bagaimana batu-batu besar ini dibawa ke sini dan apa pula proses mendirikannya.

Selain itu, kewujudan dua buah bongkah batu besar yang dinamakan sebagai Batu Baalbek, menimbulkan tanda tanya bagaimana batu tersebut diangkut masyarakat dahulu ke lokasi pembinaan. Setiap satu bongkah batu dianggarkan mempunyai berat 900 tan yang mustahil untuk manusia mampu mengangkatnya. (rujukan)



Hakcipta iluminasi.com (2017)