orang aghori kanibal india

Salah satu igauan ngeri yang masih menghantui penulis adalah imej-imej yang penulis tengok dalam filem-filem berunsurkan kanibal, yang menjadi minat kami beramai-ramai semasa masih anak muda.

Filem seperti Cannibal Holocaust, Cannibal Ferox dan yang terbaru The Green Inferno menayangkan jalan cerita yang realistik, jarang sekali dipaparkan serta visual yang agak realistik untuk sebuah filem kanibal.

Kerap kali digambarkan duduk dalam kawasan hutan tebal yang jauh dari peradaban manusia, kumpulan kanibal ini dikatakan semakin pupus ditelan arus kemodenan. Namun persoalannya - betulkah dakwaan ini? Tidak. Berikut adalah lima lokasi di seluruh dunia, di mana amalan kanibalisme atau memakan daging manusia masih diamalkan.

1. Puak Korowai di Papua New Guinea

puak korowai indonesia

Puak Korowai atau Kolufo merupakan sebuah komuniti orang asal seramai 3,000 orang yang tinggal di bahagian barat kepulauan Papua, terletak di bawah jajahan kerajaan Indonesia. Tinggal di dalam rumah yang dibina pada ketinggian 140 kaki dari permukaan tanah, puak ini sehingga sekarang masih lagi mengamalkan amalan kanibalisme.

Ini kerana berdasarkan kepercayaan mereka, setiap hari semangat jahat yang dinamakan sebagai 'khakuas' akan mencari tubuh manusia yang mahu ditumpang, bagi membolehkan kegiatan jahat berlaku. Apabila ada ahli komuniti mereka yang dipercayai dirasuk 'khakuas', mangsa itu akan dibunuh bagi memastikan 'khakuas' tidak boleh bergerak.

Untuk menamatkan gangguan 'khakuas,' tubuh mangsa akan dilapah dan dijadikan makanan setiap ahli komuniti mereka sebagai perlindungan daripada gangguan.

2. Etnik Aghor di India

individu aghori ditakuti india

Ditakuti di India disebabkan oleh amalan mereka yang sangat menggerunkan, kumpulan pengamal pecahan Hindu yang dinamakan sebagai Aghori mendiami pekan Varanasi, di sepanjang Sungai Ganges. Berbeza dengan penganut Hindu yang lain - orang-orang Aghori mengamalkan cara hidup yang jauh berbeza dan salah satunya, melibatkan kanibalisme.

Orang Aghori mempunyai pegangan bahawa lebih dekat mereka dengan elemen dan unsur kematian, kehidupan mereka akan jadi lebih bermakna - jadi mereka akan melumurkan abu pada badan mereka, agar dapat mereka membezakan diri mereka dengan individu biasa. Abu itu pula datang daripada abu mayat yang telah dibakar.

Disebabkan oleh ketiadaan belanja yang cukup, ada keluarga si mati yang memilih untuk menghanyutkan mayat ahli keluarga mereka di Sungai Ganges dan orang Aghori akan menyelamatkan mayat itu, bagi digunakan semasa ritual pemujaan mereka. Tubuh itu akan dimakan, najisnya akan diminum dan tulang tubuh itu akan dijadikan perhiasan serta alat pemujaan.

3. Militia Lendu di Congo

orang orang konggo congo

Pada tahun 2003, semasa berlakunya pemberontakan di Ituri, Congo - salah satu desas-desus yang kurang enak tersebar menyebut bahawa kumpulan pemberontak itu yang dikenali sebagai militia Lendu, mengamalkan aktiviti kanibalisme kepada mana-mana mangsa yang berjaya mereka tawan.

Jumlah yang terkorban pula bukan sedikit - seramai 5,000 orang semuanya membolehkan 'bekalan makanan' pada mereka tidak henti-henti hadir. Ada mangsa yang ditangkap, turut sama dipaksa untuk menjamah sedikit hidangan yang ada sebagai syarat bagi dibebaskan.

Mereka percaya dengan memotong organ-organ manusia serta menjamah daging manusia yang telah dibunuh, amalan itu akan memberikan kekuatan kepada mereka serta mampu menakutkan penduduk setempat. Apa yang sangat menyedihkan - kebanyakan mangsa serangan berbentuk kanibal ini datang daripada kumpulan orang asli Congo yang tinggal di hutan, dipilih mangsa daripada kumpulan ini agar orang asli Congo takut dan hanya berpihak kepada mereka. (Ethnically Targeted Violence in Northern DRC)

4. Negara Liberia

orang liberia

Konflik di antara Liberia dan Sierra Leone menjadi salah satu detik hitam dalam sejarah kedua-dua negara, namun Liberia mengalami tekanan yang lebih dahsyat setelah beberapa pendedahan yang berlaku melibatkan amalan kanibalisme - didedahkan di mahkamah dilakukan tentera negara tersebut semasa perang.

Apa yang membuatkannya jadi bertambah buruk - arahan itu dikeluarkan sendiri oleh bekas Presiden negara tersebut Charles Taylor, yang mengarahkan agar mana-mana tawanan perang mereka yang tidak dirogol atau dijadikan hamba - dijadikan lauk-pauk sajian mereka beramai-ramai.

Perbicaraan yang berlangsung mendedahkan banyak arahan kurang siuman dikeluarkan Taylor dan pada tahun 2012, barulah perbicaraan berjaya diselesaikan. Taylor yang didakwa dalam terlalu banyak tuduhan, dikenakan hukuman penjara 50 tahun atas penglibatannya menjadi dalang utama pelbagai aktiviti bersifat kebinatangan. (Liberia's Taylor ordered cannibalism)

5. Kaum Wari di Hutan Amazon

orang puak wari

Kewujudan kaum yang unik ini hanya diketahui sekitar tahun 1960-an, tinggal di hutan Amazon, Brazil. Serentak dengan penemuan itu, usaha untuk menghentikan amalan kanibalisme yang diamalkan mereka dikatakan berjaya namun apa yang dirisaukan, amalan ini merupakan satu rutin tradisi mereka yang pada mereka - dianggap sebagai satu perkara biasa.

Orang Wari menganggap kematian seseorang memerlukan mereka menghapuskan segala bukti yang mengingatkan mereka dengan si mati. Ini menyebabkan mereka akan membakar kediaman milik si mati dan menghapuskan segala hartanya, bagi menghapuskan hubungan si mati dengan mereka yang masih hidup. Salah satu ritual yang akan mereka lakukan, adalah dengan memakan tubuh si mati kerana bagi mereka - hanya dengan perbuatan itu sajalah segala petanda dapat dihilangkan.

Kajian yang dilakukan selama berpuluh tahun melibatkan suku kaum tersebut dilaporkan pada tahun 1997, menerangkan pada kita berkenaan ritual unik masyarakat ini yang menganggap pengebumian jasad ke dalam bumi, merupakan satu bentuk penghinaan pada si mati dan hanya menyusahkan ahli keluarga yang masih hidup di dunia. (Will Overpopulation and Resource Scarcity Drive Cannibalism?)



Hakcipta iluminasi.com (2017)