Di kalangan pengguna media sosial, wujud beberapa istilah popular yang digunakan berulang kali oleh ramai penggunannya - sehingga sudah menjadi satu kebiasaan.

Istilah-istilah ringkas popular ini walaupun tampak moden dan segar penggunaannya kerana menjadi kelaziman anak-anak muda, sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru. Sebaliknya ada istilah yang sudah wujud lama, tetapi berjaya dipopularkan semula.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima istilah media sosial yang kelihatan macam baru, hip dan trending - tetapi sebenarnya jauh lebih tua berbanding majoriti pengguna media sosial dunia.

1. "LOL"

lol istilah popular netizen

Digunakan oleh ramai individu untuk menggambarkan tindakan ketawa berdekah-dekah atau 'laughing out loud,' pasti ramai menyangkakan akronim ini baru wujud sekitar dua dekad sebelum ini bukan? Pandangan ini jampir tepat. 

'LOL' mula digunakan sebagai singkatan untuk merujuk kepada 'laughing out loud' sejak cadangan pengenalannya pada tahun 1989, melalui rangkaian Fidonet yang menghubungkan papan-papan buletin internet dekad tersebut.

Dalam siaran artikel yang ditulis pada 8 Mei 1989, kumpulan penyelia Fidonet mencadangkan agar penggunaan simbol teks digunakan bagi menggantikan askara ikon yang sering digunakan - untuk menyeragamkan sistem tulisan pengguna papan buletin mereka.

'LOL' merupakan salah satu cadangan yang dicadangkan sebagai singkatan dalam buletin tersebut.

Walaupun demikian singkatan 'LOL' lebih awal sebenarnya membawa makna 'lots of love', masih kekal diamalkan sehingga ke hari ini oleh segelintir penggunanya. Jangan terkejut pula jika teman istimewa anda hantarkan LOL kepada anda.

2. "Dude"

dude big lebowski

"Dude' merupakan antara istilah wajib ada bagi mana-mana individu yang gemar menggunakan gabungan bahasa Melayu dan Inggeris secara rojak di negara kita.

Biasanya diguna bagi merujuk kepada kenalan kita yang rapat, perkataan ini sebenarnya telah wujud sejak abad ke 19 lagi. Asalnya, 'dude' merupakan sejenis istilah menghina atau sinis, digunakan bagi merujuk kepada individu lelaki yang terlalu mementingkan gaya dan penampilan sendiri.

'Dude' dipinjam daripada istilah 'yankie doodle' yang terkandung dalam lirik sebuah lagu, mengisahkan tentang rasa benci masyarakat Amerika Syarikat terhadap anak muda British yang takut untuk melakukan kerja-kerja kotor ketika Amerika Syarikat masih lagi merupakan salah satu koloni British.

Untuk menyampaikan sentimen dengan mudah, mereka menamakan anak-anak muda yang terlalu bimbang dengan rupa paras ini sebagai 'doods' sebelum ejaannya diubah kepada 'dudes.'

3. "NSFW"

nsfw tidak selamat kanak kanak

Zaman sekarang sekiranya anda nampak penggunaan istilah ini dalam mana-mana perkongsian internet, kandungannya lebih merujuk kepada visual atau video yang menjurus ke arah sesuatu yang kelucahan bukan? Mungkin juga mewakili visual yang memaparkan adegan ganas atau menyeramkan.

Asal-usul singkatan 'NSFW' sebenarnya bermula daripada satu kisah tahun 1998 melibatkan papan mesej internet laman Snopes.com.

Snopes merupakan antara laman web popular era tersebut (dan juga kini) membolehkan pengguna internet memeriksa kesahihan sesuatu berita, menjadi antara tempat pengguna internet berkumpul membincangkan isu-isu tular.

Berikutan perbincangan hangat yang berlaku di kalangan pengguna, beberapa orang pengguna dalam Snopes mula menulis perkataan yang kurang sopan selepas diserang emosi.

Tindakan ini mendapat reaksi seorang ibu dari Britain, yang mengkritik tindakan tersebut kerana menurut wanita tersebut ayat yang mereka gunakan - tidak sesuai untuk kanak-kanak British atau 'not safe for British Kids.'

Netizen zaman tersebut sama saja perangainya dengan zaman sekarang. Disebabkan ayat yang digunakan itu kedengaran lucu walaupun ikhlas, istilah 'NFSBK' mula digunakan secara sinis bagi merujuk mana-mana isi kandungan dalam papan mesej yang dirasakan kurang sesuai untuk 'kanak-kanak British.' 

Berikutan penggunaan internet yang semakin berkembang, 'kanak-kanak British' mula digantikan dengan 'kerja' yang lebih am sifatnya mempopularkan singkatan NSFW di kalangan netizen dunia.

4. "FYI"

individu fyi tahu semua perkara

Penggunaan istilah FYI atau 'for your information' bukan saja popular di kalangan netizen bahkan sudah menjadi satu istilah bualan yang digunakan secara meluas - walaupun biasanya dikaitkan dengan tona agak angkuh serta jelas niatnya untuk memperbetulkan orang lain dengan cara sinis.

Tahukah anda FYI sebagai sebuah akronim sebenarnya telah wujud SEBELUM internet wujud?

Digunakan pada awalnya di kalangan jurnalis dan wartawan yang berhubung melalui sistem telegram sekitar dekad 1930-an, mana-mana mesej atau berita yang tidak perlu dihebahkan akan ditandakan dengan istilah 'FYI' bagi memastikan kandungannya tidak diterbitkan.

Populariti istilah ini mula meningkat ketika ancaman perang mula melanda Amerika Syarikat. Berikutan kebimbangan berlakunya kebocoran maklumat, 'FYI' mula digunakan secara lebih meluas bagi menandakan dokumen atau informasi yang penting.

Bagi membantu menyebarkan lagi kesedaran orang ramai khasnya mereka yang terlibat dalam urusan kerajaan, sebuah rancangan radio yang diberi judul 'FYI' diterbitkan pada 27 April 1941.

Rancangan itu membolehkan masyarakat awam tahu kemaskini berita terhadap tindakan dan langkah yang sedang diambil Amerika Syarikat, bagi mengatasi masalah pengintipan dan sabotaj yang dikhuatiri sedang dihadapi.

5. "Unfriend"

unfriend tindakan keji di facebook

Kena unfriend zaman sekarang, dah jadi satu tamparan hebat kepada seseorang.

Kadangkala lepas tersedar diri dah kena unfriend, ada juga yang membalas panjang-panjang mengutuk, memaki dan mengkritik orang yang unfriend dia. Daripada benda tak melibatkan orang luar, terus jadi perbalahan netizen yang cukup suka drama media sosial sambil makan pop-corn.

Pasti ramai menyangkakan 'unfriend' sebagai terma, hanya popular melalui penggunaan media sosial bukan? Salah tu. Untuk membincangkannya, kita perlu melihat sejarah istilah 'friend' terlebih dahulu.

'Friend' datang daripada istilah Inggeris Lama 'freond' yang membawa makna seseorang yang ada hubungan dengan kita, dalam aspek peribadi, mula digunakan sekitar abad ke 12. Jika ada 'friend' mesti ada 'unfriend' juga kan? Ya, memang ada. 

Masyarakat Scotland pada abad ke 13 mula mempopularkan istilah 'un' (bukan) +'friend' bagi mewakili mana-mana musuh mereka. 

Istilah itu mula digunakan sebagai satu kata kerja sekitar abad ke 17, apabila seorang paderi menggunakan istilah 'un-friended' bagi menggambarkan usaha mengekalkan hubungan dalam situasi konflik yang timbul.

'Unfriended' mula popular sebagai satu perbuatan sehinggakan penulis terkenal William Shakespeare pun turut sama menggunakannya dalam sebuah sajak, bagi mewakili seseorang yang tidak mempunyai kawan.

Kini 'unfriend' menjadi antara istilah popular, digunakan sebagai senjata sesetengah individu dalam menunjukkan perasaannya sehinggakan 'kena unfriend' menjadi perkara paling pedih perlu dilalui bagi seorang pengguna media sosial tegar.

Nasihat kami kalau nak unfriend orang, buat sajalah diam-diam tak perlu kecoh. Jika anda kena unfriend, tak perlu bimbang. Dunia belum berakhir. Teruskan hidup anda. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)