Sewaktu zaman Perang Dunia kedua, pelbagai inovasi dan ciptaan senjata api baru telah terhasil. Walau bagaimanapun, pengemboman 2 bandar besar di Jepun, Hiroshima dan Nagasaki dengan senjata nuklear benar-benar memberikan panik dan ancaman besar kepada pihak Soviet Union.

Menyedari mereka mungkin menerima nasib yang sama sekira tidak mampu menandingi kekuatan senjata pasukan Parti Perikatan, maka pihak pemerintah segera menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji dan menghasilkan senjata nuklear untuk kegunaan pihak tentera Soviet Union sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Maka, pada bulan April 1946, sebuah jawatankuasa yang diberi nama KB–11 telah ditubuhkan untuk tujuan ini. Beberapa pusat kajian telah dibina untuk tujuan ini dan banyak tenaga kerja telah dibawa masuk. Malangnya, ramai yang mati akibat pendedahan kepada bahan radioaktif di makmal-makmal ini.

Khuatir bahawa rancangan membina senjata nuklear ini diketahui pihak musuh, maka kawasan-kawasan yang dijadikan pusat kajian ini telah ditutup daripada orang luar. Kerana begitu ramai rakyat yang bekerja di pusat-pusat kajian ini, kerajaan perlu mengawal pergerakan keluar masuk pekerja agar rahsia mereka tidak bocor kepada musuh.

Maka, kerajaan telah menisytiharkan pusat-pusat kajian nuklear ini sebagai kawasan tertutup. Kawasan-kawasan ini dikelilingi dengan pagar besi dan dikawal rapat oleh pasukan keselamatan. Walaupun perang sudah lama tamat, bandar-bandar rahsia dan tertutup ini masih lagi wujud di Russia sehingga ke hari ini. Berikut merupakan beberapa bandar rahsia yang masih wujud.

1. Zelenogorsk

bandar zelenogorsk

Zelenogorsk merupakan sebuah bandar kecil yang terletak di tepi Sungai Kan dan kini mempunyai populasi sekitar 66,000 orang penduduk. Bandar ini telah diwujudkan pada akhir tahun 1950-an sebagai pusat penghasilan senjata nuklear pasukan Soviet Union.

Bandar ini menjadi pusat penghasilan uranium dan dahulunya dikenali dengan nama kod Krasnoyarsk-45. Hanya pada 1992 bandar ini telah dimasukkan dalam peta Rusia dan dibenarkan menggunakan nama sebenarnya, iaitu Zelenogorsk.

Pada masa kini, bandar ini masih lagi aktif membekalkan uranium kepada reaktor nuklear di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain untuk penghasilan produk elektrik. Pada tahun 1997, perjanjian United States-Russia Highly Enriched Uranium Purchase Agreement telah ditandatangani membolehkan bandar ini membekalkan uranium kepada Amerika Syarikat dalam tempoh jangka masa panjang.

2. Tsiolkovsky

bandar rahsia rusia tsiolkovsky

Tsiolkovsky merupakan sebuah bandar yang terletak berhampiran Sungai Bolyshaya Pyora. Nama bandar ini, Tsiolkovsky diberikan oleh Presiden Russia, Vladimir Putin sempena nama saintis roket Russia Konstantin Tsiolkovsky. Konstantin Tsiolkovsky merupakan saintis yang mempunyai 400 buah karya mengenai eksplorasi angkasa lepas dan mempunyai jasa besar dalam kejayaan program angkasa lepas Soviet Union.

Bandar ini dibina pada tahun 1961 dan tujuan asalnya adalah sebagai pangkalan untuk menghasilkan peluru berpandu untuk tentera Soviet Union. Dahulunya bandar ini dikenali dengan nama kod Svobodny-18 dan terdapat kira-kira 6000 orang penduduk di bandar ini pada masa kini.

Kini, di bandar ini sedang dibina Vostochny Cosmodrome, iaitu fasiliti untuk pelancaran kapal angkasa lepas bagi kegunaan Russia. Pembinaan ini adalah bagi mengurangkan kebergantungan Russia kepada pusat pelancaran kapal angkasa Baikonur Cosmodrome yang terletak di Kazakhstan.

3. Mirny

mirny

Mirny merupakan sebuah kawasan kecil yang terletak berhampiran Sungai Mekhrenga dan Sungai Yemsta. Dibina pada tahun 1960, bandar ini awalnya diwujudkan sebagai kawasan kajian untuk pelancaran peluru berpandu Soviet Union. 6 tahun kemudian, sebuah pusat pelancaran satelit Plesetsk Cosmodrome telah dibina di kawasan ini.

Walaupun sudah wujud sejak 1960, media hanya mengetahui mengenai kewujudan bandar kecil ini 23 tahun kemudian. Kini, kawasan ini dihuni oleh 30,000 orang penduduk dan boleh diakses dengan kereta api dan lapangan terbang.

Baru-baru ini, Presiden Russia telah ke sini untuk melancarkan satelit ke angkasa lepas. Satelit berteknologi tinggi yang dilancarkan ini mempunyai kebolehan untuk mengesan kedudukan peluru berpandu. Ianya sebagai langkah berjaga-jaga Russia akibat ketegangan yang tercetus kerana beberapa siri ujian peluru berpandu oleh Korea Utara.

4. Snezhinsk

snezhinsk

Bandar ini diwujudkan pada tahun 1957 menggunakan nama kod Chelyabinsk-70. Kawasan ini telah diberikan status sebagai sebuah bandar pada tahun 1953. Terletak berhampiran Tasik Sinara, bandar ini menjadi pusat bagi 2 program nuklear Russia.

Kajian alat thermonuclear pernah dilakukan disini hanya selepas beberapa buln bandar ini diwujudkan. Di kawasan ini terdapat juga banyak artifak misteri seperti terowong, paip dan binaan lama yang masih terpelihara. Sama seperti bandar-bandar rahsia yang lain, bandar ini juga dikawal ketat pasukan keselamatan.

Kewujudan artifak-artifak unik serta kisah-kisah menarik mengenai bandar ini sememangnya menarik perhatian orang ramai termasuklah pelancong daripada Barat. Kawasan ini dijangka menjadi tumpuan pelancong sekiranya dibuka kepada orang ramai pada masa hadapan.

5. Krasnoznamensk

krasnoznamensk

Kebanyakan bandar rahsia di Russia ini diwujudkan berhampiran sungai atau tasik besar. Perkara ini membolehkan kerajaan membuang sisa toksik radioaktif ke dalam sungai atau tasik berhampiran. Terdapat pengecualian bagi bandar Krasnoznamensk dimana hanya terdapat beberapa batang sungai kecil di kawasan ini.

Bandar kecil ini terletak berhampiran dengan ibu negara Russia, iaitu Moscow. Kawasan ini menjadi pangkalan bagi pusat kawalan ruangan angkasa dan pusat utama bagi program aeroangkasa. Pada awal kewujudannya, bandar ini dikenali dengan nama kod Golitsyno-2 sehinggalah pada tahun 1994.

Pada masa kini, dikatakan terdapat kira-kira 39,000 orang penduduk di kawasan ini. Terdapat ura-ura mengatakan bahawa beberapa satelit pengintip telah dilancarkan daripada bandar ini sebagai satu usaha Russia meningkatkan sistem keselamatan mereka.

Kredit:

  1. Reuters
  2. The Telegraph



Hakcipta iluminasi.com (2017)