Dengan kebijaksanaan yang dimiliki manusia digabungkan dengan teknologi yang tak tercapai dek akal, pasti anda beranggapan bahawa para saintis sudah mengetahui segala perkara berkenaan dengan tubuh badan manusia.

Walaupun kita menghabiskan sepanjang hidup "tinggal" di dalam tubuh badan sendiri, namun masih terdapat perkara yang menjadi tanda tanya.

iluminasi.com kongsikan 7 misteri tubuh badan manusia yang masih belum dirungkai sains.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Kenapa kita ada cap jari?

kenapa kita ada cap jari

Kita semua tahu bahawa cap jari manusia adalah sangat unik sehingga tidak ada dua orang yang mempunyai corak yang sama di dunia ini.

Tetapi kenapa manusia mempunyai corak ini pada jari-jari? Selama bertahun-tahun, para saintis menyangka bahawa cap jari wujud untuk membantu tangan jari manusia mencengkam objek.

Tetapi ternyata bahawa cap-cap jari hanya mengurangkan jumlah permukaan kulit yang bersentuhan dengan objek. Maka, ia tiada kena mengena dengan cengkaman.

Walaupun terdapat beberapa teori mengenai tujuan evolusi corak-corak ini, termasuklah ia melindungi jari atau memberikan sensitiviti sentuhan, saintis tidak dapat mempunyai penjelasan yang tepat.

2. Kenapa kita ada apendiks?

mengapa kita ada apendiks

Sebagai organ yang menyebabkan banyak orang jatuh sakit dan penyingkirannya tidak mempunyai sebarang kesan pada tubuh kita, apendiks kelihatan lebih memberikan banyak masalah berbanding kebaikan.

Selama bertahun-tahun, para saintis, daripada zaman Charles Darwin, bersetuju bahawa walaupun nenek moyang manusia yang memakan tumbuhan memerlukan apendiks untuk pencernaan, namun ia tidak mempunyai fungsi sebenar bagi manusia moden.

Walau bagaimanapun, teori lain telah menjadi semakin popular di kalangan masyarakat saintifik sejak kebelakangan ini, menyimpulkan bahawa organ seperti tiub ini sebenarnya menempatkan dan melindungi pelbagai bakteria yang baik.

Kita perlu menunggu dan melihat adakah teori ini dapat dibuktikan secara saintifk.

3. Kenapa kita ada tangan dominan?

kenapa kita ada tangan dominan

Setiap daripada kita sudah sangat terbiasa dengan mempunyai tangan dominan membuatkan kadang-kala kita tidak menghargainya.

Namun jika anda berfikir sejenak tentang hakikat kita mempunyai sebelah tangan yang mana lebih dominan berbanding tangan lagi satu, adalah sesuatu perkara yang agak pelik.

Memandangkan segala yang kita ketahui tentang evolusi, mengapa manusia masih tidak berevolusi untuk mempunyai dua belah tangan yang sama mahir?

Ia merupakan antara misteri terbesar tentang tubuh badan kita ketika ini. Dan sudah tentu terdapat sesetengah daripada kita yang boleh menggunakan kedua-dua belah tangan dengan kemahiran yang sama.

4. Kenapa kita menguap?

kenapa kita menguap

Tahu atau tidak, kita mula menguap sejak dalam rahim dan sehingga kini para saintis masih belum menemui penjelasan tentang mengapa perkara ini berlaku.

Walaupun terdapat pelbagai teori, namun sebab sebenar menguap masih menjadi misteri.

Satu teori mencadangkan bahawa kita menguap untuk mengawal suhu otak kita, kerana kekurangan tidur atau kebosanan boleh menyebabkan suhu otak kita jatuh.

Satu lagi menyatakan bahawa kita menguap untuk memberi tubuh kita "renjatan", kerana kadar jantung kita cenderung untuk meningkat dan otot mata kita tegang selepas kita menguap. Mungkin kedua-duanya adalah benar.

5. Kenapa darah ada pelbagai jenis?

kenapa kita ada jenis darah berbeza

Seperti apendiks, jenis darah manusia yang berbeza memberikan petunjuk kepada sejarah evolusi kita.

Jenis darah yang berlainan mempunyai kebolehan yang berbeza untuk melawan jangkitan yang berlainan dan saintis percaya bahawa ia mula berkembang sekitar 20 juta tahun yang lalu dalam nenek moyang kita dan primata yang lain.

Dr. Mohammad Mobayed dari ProMedica Hematology menjelaskan bahawa, digabungkan dengan pemilihan semulajadi bagi jenis darah tertentu terhadap jangkitan tertentu, evolusi menghasilkan kepelbagaian jenis darah manusia yang wujud pada hari ini.

Tetapi apa yang tidak diketahui ahli sains adalah mengapa. Dr. Mobayed menyatakan bahawa tiada teori tepat yang mampu menjelaskan mengapa jenis darah berbeza di kalangan manusia.

6. Kenapa kita bermimpi?

kenapa kita bermimpi

"Manusia menghabiskan hampir sepertiga daripada hidup dalam keadaan tidak sedar iaitu tidur namun sains masih kurang memahami bagaimana dan mengapa kita bermimpi," kata Kaleb Backe, Pakar Kesihatan dan Kesejahteraan di Maple Holistics.

Kita  tahu bahawa bermimpi berlaku semasa fasa tidur REM (Rapid Eye Movement) dan kadar denyut jantung kita meningkat apabila kita bermimpi, tetapi tidak dapat dipastikan apa tujuan bermimpi yang sebenarnya.

Teori popular mencadangkan bahawa bermimpi adalah bagaimana otak anda menyusun kenangan dalam seharian, menentukan mana yang berharga dan yang tidak relevan.

Walau bagaimanapun, saintis lain percaya bahawa mimpi sebenarnya tidak mempunyai fungsi sebenar dan ia hanya apa yang dilakukan oleh minda separa sedar apabila bebas daripada minda yang sedar. 

7. Kenapa primata lain lebih kuat daripada manusia?

kenapa primata lain lebih kuat daripada manusia

Dalam banyak segi, tubuh badan manusia sangat mirip dengan primata lain seperti cimpanzi di mana struktur otot kedua-duanya tersangat serupa.

Walau bagaimanapun, "saudara" kepada kita ini dianggarkan mempunyai kekuatan 1.35 kali ganda berbanding manusia.

Kita mempunyai lebih serat otot slow-twitch, yang merupakan serat otot kurang kuat, berbanding primata yang lain.

Walau bagaimanapun, serat otot ini membolehkan manusia mempunyai ketahanan yang lebih tinggi berbanding primata lain di mana ia membolehkan manusia zaman dahulu untuk melakukan aktiviti seperti memburu dan mencari makan.

Hari ini, serat otot ini adalah sebab kepada manusia mampu melakukan aktiviti seperti maraton yang tak mampu dilakukan oleh monyet.

Dan walaupun manusia mempunyai kelebihan ini, perbezaan ketara pada kekuatan di antara manusia dan primata lain masih membingungkan saintis.

Jika anda merasakan kelemahan manusia anda, jangan risau: tubuh manusia masih banyak perkara yang luar biasa setiap minit.




Hakcipta iluminasi.com (2017)