Salah satu misteri yang selalu penulis tertanya-tanya sendirian, khasnya ketika sakit - adalah soalan 'bagaimana selepas makan ubat, ubat itu seakan-akan tahu di mana ia perlu bertindak?'
Bayangkan sebagai contoh, anda mengalami sakit kepala. Anda pun ambil sebiji ubat yang membantu meredakan rasa sakit tersebut. Selepas beberapa minit, rasa sakit yang anda alami surut demi sedikit tanpa anda perlu melakukan apa-apa pun.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagaimana ubat tahu di mana ia perlu bertindak?
Kemampuan sebenar ubat-ubatan yang terhad
Sekiranya anda mengandaikan selama ini ubat seolah-olah tahu di mana perlu bertindak - buang persepsi anda itu jauh-jauh. Ubat yang anda telan sebenarnya tidak tahu di mana ia perlu berfungsi.
Bagaimanapun, yang membantu proses 'pemulihan' itu datang daripada sistem sokongan badan kita sendiri yang memberikan isyarat kepada ubat itu. Ubat adalah satu bentuk dadah atau antibodi yang bodoh, tidak mampu mengawal di mana ia diperlukan.
Setiap kali kita menelan apa saja jenis ubatan yang perlu diambil secara oral (melalui mulut) ubat itu sebenarnya melalui perjalanan panjang yang menyebabkan kesan positif ubat itu menurun. Ubat yang ditelan akan melalui sistem pencernaan kita, yang akan melalui proses pencernaan mengurai kandungan ubat-ubatan tadi supaya diserap ke dalam darah.
Apabila darah dipamkan ke seluruh anggota badan, bahan yang terkandung dalam ubat tadi akan menumpang sebelum sampai ke destinasinya.
Berhenti di destinasi sepatutnya
Untuk ubat dapat bertindak di tempat yang betul, bahan ubat-ubatan tadi akan berjalan selagi mana darah yang menyimpannya tidak sampai ke bahagian yang mengandungi molekul protein yang digelarkan 'receptors' atau penerima.
'Receptors' ini pula akan menjadi aktif apabila badan kita mengalami perubahan abnormal. Sebagai contoh, ada luka pada badan kita yang menyebabkan kesakitan. Ini bermakna penerima yang spesifik untuk abnormaliti untuk akan dijana, membentuk molekul protein yang seterusnya menjadi pengawal pintu masuk kepada bahan dalam ubat tersebut.
Selagi mana isyarat daripada 'receptors' ini tidak ditemui - bahan ubat tadi akan mengikut saja saluran darah menjadikan penyebarannya tidak sekata serta tidak efisien.
Apa yang lebih penting, bahan dalam ubat-ubatan sama sekali tidak akan bertindak selagi mana ia masih terapung dalam saluran darah. Hanya selepas menemui 'receptors' yang betul, barulah bahan tadi akan bertindak melekatkan 'dirinya' pada sasaran. Apabila proses ini selesai berlaku, barulah khasiat ubat tadi akan mula dirasai kesan positifnya oleh tubuh.
Kesan sampingan negatif yang ada akibat ubat-ubatan
Walaupun dalam majoriti kes pengambilan ubat tidak memberikan kesan sampingan yang buruk, sudah dibuktikan ada ketikanya bahan dalam ubat gagal mengenalpasti dengan baik 'receptor' yang sepatutnya menjadi destinasinya.
Kes-kes seperti inilah yang menyebabkan kesan-kesan sampingan yang selalu diperkatakan, kerap berlaku sekiranya wujud dua simptom yang hampir serupa berlaku serentak pada seorang pesakit.
Sebagai contoh, ubat-ubatan untuk rawatan kemoterapi memang membawa kesan sampingan yang besar disebabkan perubahan pada kondisi tubuh badan seseorang.
Ubat sakit kanser yang diberikan pada pesakit mempunyai kesan sampingan terhadap sel-sel baru yang terhasil untuk menggantikan semula rambut yang hilang. Oleh kerana itulah kebanyakan pesakit kanser yang menjalani rawatan menghadapi masalah keguguran rambut kerana ubat yang mereka ambil, turut sama 'merawat' rambut mereka.
Ubat yang bodoh untuk semua
Teknologi ubat-ubatan yang ada sekarang belum menemui sebarang solusi yang benar-benar selamat, dalam menangangi masalah 'ubat bodoh' ini. Penyelidik sedang mengkaji solusi yang lebih selamat untuk memastikan setiap pesakit mendapat dos ubat yang sepatutnya di bahagian atau organ yang betul dengan lebih efisien serta tidak mendatangkan kesan sampingan.
Ubat-ubatan yang dikategorikan sebagai 'ubat pintar' ini masih lagi dalam peringkat ujikaji serta masih diteliti keberkesanannya. Beberapa kaedah baru seperti pengaktifan ubat dengan menggunakan isyarat bahan kimia di dalam badan menjadi pilihan saintis.
Selain itu penggunaan mikrocip yang diimplankan di dalam badan pesakit juga dalam fasa percubaan. Mikrocip tadi menjadi pengawal kepada rembesan ubat yang diperlukan pesakit yang sudah sedia ditanam dalam badan. Dengan sedikit caj elektrik serendah 1 voltan, mikrocip tadi akan menghantar isyarat supaya ubat dilepaskan mengikut keperluan pesakit.
Walau bagaimanapun, kita mungkin perlu menunggu lama lagi sebelum ubat-ubatan pintar seperti itu sedia untuk digunakan. Buat masa sekarang, kita makan sajalah ubat kita yang bodoh serta tidak tahu di mana sepatutnya ia bekerja.