Kredit foto : Nature

Jika kita tanya kepada warga negara kita yang berfikiran sinis "negara mana paling korup di Asia Tenggara?" besar kemungkinan Malaysia adalah jawapan yang diberikan.

Maklumlah ramai di antara kita gemar mencari sekecil-kecil keburukan yang kita ada sebagai masyarakat untuk diperbesarkan, dibandingkan sekecil-kecil kebaikan negara luar dijadikan hujah lawannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Persoalannya - benarkah kita Malaysia paling korup? Atau ada negara Asia Tenggara lain yang sebenarnya jauh lebih teruk mendahului kita dalam budaya duit kopinya?

Berikut adalah lima negara Asia Tenggara paling tinggi kadar korupsinya bagi tahun 2022. Adakah senarai ini jauh berbeza jika dibandingkan persepsi anda?

Memahami asas pemarkahan indeks persepsi korupsi

pemandangan malaysia

Dalam senarai yang dikeluarkan oleh Tranparency International (TI) dalam mengukur indeks persepsi korupsi di kalangan 180 negara terbabit, melibatkan korupsi di sektor awam - kesemua 180 negara yang diselidik diberikan skor akhir di antara 0 sehingga 100; 100 menandakan paling kurang persepsi korupsi.

Untuk 10 tahun kebelakangan ini, berdasarkan kesemua negara yang terbabit - purata yang diperolehi apabila diukur kesemua negara berada pada angka yang sama iaitu 43 markah daripada 100.

Ini menandakan sekiranya sesebuah negara mendapat lebih daripada 43 markah, negara itu sebenarnya berada pada tahap lebih baik berbanding majoriti negara yang diukur. Bagaimanapun TI juga menetapkan bahawa markah 50 dan ke atas melayakkan sesebuah negara itu dianggap tidak mempunyai masalah korupsi yang kritikal.

Dah faham tentang skala pemarkahannya, barulah boleh kita bincangkan tentang di mana kedudukan Malaysia jika dibandingkan dengan 180 buah negara dunia lain. Sedia?

Malaysia antara yang terbaik di Asia Tenggara!

korup duit indonesia

Kredit foto : Kompas

Percaya tak walaupun bermacam tohmahan yang dilakukan pelbagai pihak, baik dari dalam dan luar negara berkenaan tahap korupsi di kalangan petugas sektor awam negara kita - kita sebenarnya berada dalam kedudukan ke-2 di kalangan negara-negara Asia Tenggara.

Walaupun demikian harus diingatkan - kita JAUH SEKALI ketinggalan dengan Singapura yang menduduki tangga pertama kedudukan negara Asia Tenggara. Tapi benda positif perlu dilihat positif juga kan?

Singapura adalah negara paling cemerlang dalam kedudukan indeks persepsi korupsi, mendapat skor 85 melayakkan mereka duduk di kedudukan ke 4 dunia, duduk di bawah Denmark, Finland, New Zealand dan berkongsi kedudukan dengan Norway.

Kita pula bolehlah berbangga mendapat 48 markah menduduki tangga ke 62 dunia. Secara tak rasmi dengan pencapaian melebihi purata tetapi tidak melepasi markah lulus 50 itu, kita perlu berpuas hati menjadi negara kedua Asia Tenggara paling kurang persepsi korupsinya.

Di bawah kita adalah negara kecil Timur-Leste yang mendapat skor 41 menduduki tangga ke 82 dunia. Dua lagi negara Asia Tenggara memenuhi senarai lima terbaik ini adalah Vietnam (markah 39 kedudukan 87) dan Indonesia (markah 38 kedudukan 96).

Lima negara Asia Tenggara paling tinggi kadar korupsinya

negara asia paling korup 2022

Lima sudah kami senaraikan jadi tinggal lima negara lagi perlu menghuni lima kedudukan paling teruk dalam kadar persepsi rasuah mereka.

Duduk dikedudukan ke-6 adalah negara yang seakan sentiasa bergolak iaitu Thailand yang mendapat 35 markah, menduduki tempat ke 110. Filipina berada pada kedudukan tidak jauh daripada Thailand, diberikan pemarkahan 33 dengan kedudukan 117 daripada 180 negara.

3 negara paling teruk persepsi korupsi di kalangan sektor awam mereka pula merangkumi negara Laos (skor 30 kedudukan 128), Myanmar (skor 28 kedudukan 140) dan yang terakhir adalah Kemboja yang hanya mendapat skor 23 menghuni kedudukan ke 157 di antara 180 negara.

Brunei tidak disenaraikan dalam kedudukan negara yang diselidik.

Jadi adakah Malaysia seburuk yang kita sangkakan?

korupsi duit malaysia money myr

Kredit foto : iloveborneo

Tidak dapat dinafikan, masalah korupsi di kalangan sektor awam memang berlaku di negara kita.

Di kalangan masyarakat kita, istilah kroni, kabel dan duit kopi sudah menjadi perkara yang biasa dijadikan topik perbualan kita - tetapi untuk terus mendakwa kita ini buruk sehingga ke akarnya kurang tepat serta lebih kepada buruk sangka.

Kedudukan kita masih boleh diperbaiki khasnya jika kita membandingkan indeks kita dengan Singapura. Kita dengan Jepun misalnya, yang mempunyai reputasi tinggi di kalangan ahli masyarakat kita juga tidaklah terlalu jauh perbezaannya.

Jepun mendapat skor 77 menduduki kedudukan ke 18. Jika dibandingkan Malaysia dengan satu lagi negara berpengaruh Asia iaitu Korea Selatan (skor 62 kedudukan 32), kita juga dilihat boleh mengejar kedudukan mereka.

Lebih membanggakan kita mempunyai persepsi rasuah yang lebih baik berbanding dua buah negara besar dunia iaitu China (skor 45 kedudukan 66) dan India (skor 40 kedudukan 85).

Mudah untuk kita melihat Singapura sebagai petunjuk untuk mula menuding jari mengecam semuanya tentang negara kita sendiri sebagai rosak, jahanam dan negatif.

Namun sikap sedemikian sebenarnya tidak membawa apa-apa selain hanya terus menyebarkan persepsi-persepsi jahat yang mengakibatkan kita hanya tahu memandang diri kita sendiri dalam tona gelap.

Adakah Malaysia sempurna? Tidak. Masih banyak yang perlu diperbaiki tetapi untuk terus mengatakan kita ini benar-benar sayangkan korupsi, persepsi itu yang sepatutnya didahului untuk diperhalusi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)