Filem merupakan salah satu medium paling popular yang menjadi kanvas penerbit dan pengarah merealisasikan imaginasi mereka. Filem yang bagus kerap kali dijadikan rujukan serta ikutan, mempelopori teknik-teknik penceritaan yang segar serta tidak pernah difikirkan sebelum ini.
Walau bagaimanapun, berikutan industri filem di seluruh dunia yang sangat besar - agak kerap jugalah kita dapat melihat adegan-adegan sama diulang serta dikitar semula, berikutan penerimaan penonton pada adegan tersebut. Apa yang membingungkan, adegan tersebut pula kebiasaannya tak masuk akal.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun ekoran dipaparkan dalam filem dan kerap kali disajikan, minda kita sebagai penonton pun mula menerima adegan tersebut sebagai sesuatu norma. Berikut adalah lima adegan filem yang popular tetapi seandainya berlaku dalam realiti, langsung tidak akan berlangsung sama dengan apa yang boleh dilihat dalam skrin atau kaca TV.
1. Berjalan ke arah kamera dengan letupan di belakang
Adegan ini sangat tipikal bukan? Hero atau heroin berjalan ke arah kamera dengan letupan yang besar berlaku di belakang mereka dan hero seakan-akan langsung tidak terkesan dengan apa yang berlaku.
Realitinya, sekiranya letupan benar-benar berlaku dalam jarak yang dipaparkan, gegendang telinga manusia amat sukar sekali menahan kesan letupan yang kedengaran. Belum lagi gelombang impak yang terhasil yang sudah pasti mampu sekurang-kurangnya menjatuhkan mana-mana individu yang berdiri di sekitarnya.
Kebiasaannya, adegan dalam filem kerap kali tertinggal satu perkara penting iaitu partikel-partikel atau serpihan yang terpelanting disebabkan oleh letupan tersebut. Sekiranya adegan filem dilakonkan dengan realistik, besar kemungkinan bahagian badan hero atau heroin penuh dengan kaca, besi atau bahan-bahan tajam yang diterbangkan daripada impak letupan itu.
2. Hero dengan satu pistol melawan sekumpulan penjahat dengan senjata lengkap
Teknik ini kerap kali digunakan dalam majoriti filem aksi dan menjadi salah satu 'trademark' genre filem tersebut. Meletakkan hero atau heroin dalam keadaan tertekan dan sendirian, seterusnya memberikan dia cabaran yang besar mampu membuatkan penonton teruja.
Selain itu, sekiranya anda cermati betul-betul adegan ini, hanya hero atau heroin saja akan berdepan risiko kehabisan peluru atau perlu mengisi semula peluru - dengan penjahat seakan-akan tidak payah mengisi peluru langsung dan hanya perlu menembak. Bagaimanapun, sebiji peluru pun langsung tak mengenai hero dan heroin.
Sekiranya adegan itu diterjemahkan dalam bentuk realiti, penulis pasti filem itu akan tamat lebih awal dan penjahat pula tidak perlu membazirkan peluru serta tenaga mereka kerana perlawanan itu langsung tidak adil.
3. Hero jauh lebih cekap daripada pasukan keselamatan
Salah satu cliche yang sangat digemari pengusaha filem Hollywood dan juga penerbit drama/filem kita, seorang hero atau heroin yang langsung tidak mempunyai latihan atau hanya belajar menembak dua hari lepas bukan sahaja jauh lebih cekap berbanding seorang anggota polis, malahan dia jugalah yang menyelamatkan sekumpulan anggota polis daripada dibunuh.
Hero bukan saja lebih cekap menembak, malahan dia juga lebih cekap memandu kereta dalam keadaan laju berbanding anggota polis yang mengikuti kursus pemanduan. Kereta polislah yang akan terbabas lebih awal atau dirempuh kereta lain, sementara hero akan terus memandu dengan tenang.
Selain daripada skil menembak dan juga memandu, hero jugalah yang akan berjaya menyelesaikan sesebuah kes walaupun pihak penyiasat sudah meluangkan masa bertahun-tahun memerah otak, cuba menyelesaikan kes tersebut.
4. Kuasa cermin mata
Jika anda meminati genre filem komedi romantik atau rom-com yang sangat popular satu masa dulu, anda pasti sedar cermin mata kerap kali digunakan bagi melindungi kecantikan sebenar pelakon wanita.
Filem seperti 'She's All That' yang sangat popular pada era awal millenium memperkuatkan lagi stereotaip ini yang besar kemungkinan mendapat inspirasi daripada watak Superman.
Hanya dengan membuang cermin mata, seorang gadis dapat bertukar daripada individu yang langsung tak dipedulikan watak-watak lain menjadi seorang yang mahu dikenali semua orang. Samalah seperti Superman - sampai bilalah mereka nak teruskan naratif 'Clark Kent' dapat menyembunyikan identiti dia hanya dengan memakai cermin mata dan menyikat rambut ke tepi? Semua orang tahu itu Supermanlah, sebab wajahnya sama.
5. Berita lapor hero dikehendaki polis
Filem dan juga juga kerap kali menggunakan satu teknik yang sebenarnya langsung tidak realistik serta berkemungkinan besar mustahil untuk berlaku - apabila hero atau heroin diperangkap penjahat dan menjadi buruan pihak penguatkuasa, mereka akan mengetahui mereka sedang diburu daripada laporan berita yang sedang disiarkan di televisyen.
Apa yang lebih tidak realistik? Laporan itu pula disiarkan cantik-cantik semasa hero atau heroin membuka televisyen. Fikir balik, pernahkah anda lihat laporan dalam berita yang melaporkan perkara serupa dalam format sama? Mana ada.
Selain itu, dalam laporan tersebut - wajah hero/heroin yang sangat jelas akan ditayangkan bagi memudahkan orang ramai mengenalpasti individu itu. Kehadiran hero/heroin pula akan disedari orang di sekeliling sebelum wira kita sempat melarikan diri senyap-senyap.
Mungkin dia patut terus ke kedai cermin mata untuk membeli sepasang cermin mata baru, bagi melindungi identiti beliau.