Oleh pada 15 Oct 2022 kategori

Filem merupakan antara format karya yang popular di kalangan masyarakat dunia, sebagai bentuk hiburan, pengisian minda atau sekadar pengisi masa.

Walaupun demikian dek dekatnya filem dengan elemen-elemen berorientasikan fantasi, banyak adegan dalam filem yang dipapar biasanya jauh lari daripada realiti, walaupun filem itu tetap berpijak di bumi nyata, realistik dan sekadar mahu memaparkan sesuatu yang normal atau rutin dalam hidup kita.

Berikut adalah 8 adegan yang kelihatan normal dalam filem, nampak senang tetapi sebenarnya cukup susah nak diterjemahkan ke dalam dunia nyata.

1. Cuba bermacam jenis baju di kedai

cuba bermacam pakaian dalam satu masa

"Penat tau tukar-tukar baju ni!"

Filem berorientasikan kewanitaan gemar memaparkan adegan kawan baik sama-sama ke pusat beli-belah, mencari pakaian yang akan dipakai bagi menyambut satu acara yang istimewa. 

Adegannya akan menayangkan watak utama mencuba bermacam jenis baju sebelum menemui satu pasang yang dirasakan terbaik. Cuba anda buat perkara sama dengan kawan anda - cuba pakai dan buka berhelai-helai baju.

Besar kemungkinan  anda dan rakan anda bosan nak meneruskan proses cuba-cuba dan akhirnya pilih sajalah mana yang ada.

2. Melompat

filem tunjuk lompatan ekstrim

Dengar cerita polis masih mencari di mana lokasi lelaki ini jatuh.

Watak khususnya dalam filem aksi, apabila mereka melompat kalah atlet lompat jauh Olimpik.

Apatah lagi kalau mereka berlari dulu sebelum melompat. Dah macam burung pula terbangnya. Memang melanggar hukum fizik betul.

Watak filem bukan saja cekap melompat dari bumbung ke bumbung, bahkan mampu terjun dari bangunan tinggi jatuh ke dalam tong sampah - dengan hanya sedikit sampah melekat di baju. Cedera? Langsung tak ada walaupun tong sampah biasanya dipenuhi kaca, bahan fizikal terbuang selain sampah domestik yang biasa.

Realitinya diri sendiri tahulah. Nak melompat ke depan sikit pun, ada yang dah terseliuh buku lali. 

3. Menembak

atlet menembak dengan perlindungan telinga

Pernah tak anda tengok acara sukan menembak berlangsung sama ada di kaca TV ataupun secara langsung?

Perasan tak, kebanyakan penembak akan menggunakan pelindung telinga bagi melindungi pendengaran mereka daripada rosak seperti dalam gambar di atas.

filem tayang aksi menembak

Sekarang cuba kita bandingkan bagaimana watak dalam filem menembak senjata mereka tanpa sebarang perlindungan pendengaran. Tengok watak di atas. Dia mampu menembak berdas-das tembakan gattling gun tanpa ada sedikit pun masalah pendengaran terjadi kepada dia.

Apa yang lebih melucukan, sambil menembak ada juga watak yang mampu berbual-bual seolah tidak ada apa-apa masalah menafsirkan ucapan mereka. Semua mesej sampai dengan baik dan difahami setiap butirannya.

4. Bergaduh dengan seni pertahanan diri

adegan pertarungan dalam filem

"Dalam filem hanya pengecut pakai pisau."

Maaflah sekiranya anda penggiat seni pertahanan diri.

Namun kami jarang dapat melihat praktikaliti seni-seni pertahanan diri berjaya diamalkan sekiranya bertembung dengan orang yang menyerang secara membabi buta.

Mungkin kemahiran asasnya membantu ketangkasan dan kemampuan kita mentafsir pergerakan lawan, tapi bila ada seorang berbadan besar menyondol kita ke ke tanah - rasanya kekuda-kekuda yang diamalkan tak lagi sempat nak dipacak.

5. Mudah mencapai persetujuan sesama sendiri

watak utama filem mudah bekerjasama

"Semua keputusan kau, kami terima sebulat suara."

Ada satu situasi yang aneh sering berlaku dalam filem, yang jarang kita bincangkan.

Bagaimana majoriti watak dalam filem mampu setuju dengan sesuatu isu dengan mudah? Contohnya pemilihan ketua. Senang saja watak utama dilantik. Takkanlah watak lain tak ada cita-cita sama?

Jika ada yang membangkang, biasanya dialah yang akan berpaling tadah ketika penghujung jalan cerita.

Bagi mereka yang dah biasa bermesyuarat, kita dah tahu dah cukup sukar sebenarnya nak dapat kata sepakat yang benar-benar solid. Kadangkala keputusan yang nak diambil perlu ditangguh, sehingga banyak kerja atau arahan tak berjalan demi memastikan keseragaman dicapai.

6. Adegan kejar mengejar di jalan kosong

adegan kejar mengejar tiada kesesakan jalan raya

Jalan lengang. Sesuailah untuk kita mula kejar.

Setiap kali berlaku majoriti adegan kejar-mengejar di atas jalan raya yang berlaku di bandar-bandar besar, waktu itu jugalah trafik atas jalan lengang.

Perasan tak? Mudah saja hero dan penjahat menyelit sana-sini sesuka hati mereka tanpa perlu risau wujud kesesakan trafik.

Sudahlah jalan automatik lengang semasa kejar-mengejar, kebanyakan kenderaan yang dipandu juga tidak habis minyaknya dan juga tidak melalui plaza tol. Ada ke ditampal sticker RFID kat depan kereta mereka? 

Mana ada!

7. Jatuh cinta

watak filem mudah jatuh cinta

"Aku sebenarnya dah pangkat atuk nenek moyang kau. Tapi kalau dah cinta..."

Dalam filem mudah sungguh dua hati dapat disatukan.

Filem remaja misalnya kerap mengulang taktik sama di mana watak seorang remaja nakal akhirnya jatuh cinta dengan remaja nerd seolah situasi itu mudah belaka.

Adegan-adegan temujanji dalam filem juga tampak mudah. Semasa temujanji akan ada seorang yang pemalu bertemu dengan seorang yang lebih berani. Kedua-duanya berkenalan, saling bertukar-tukar maklumat antara satu sama lain dan akhirnya berjanji mahu sehidup semati bersama.

iklan

Bagaimana dating dalam dunia nyata?

Penuh dengan rasa janggal, malu, segan dan kadangkala menyampah. Nak jatuh cinta dengan seseorang pun mungkin akan memakan masa setahun dua.

8. Mengakui kita suka seseorang

ungkapkan rasa suka kepada orang lain

"Kau tak nak rosakkan persahabatan kita?"

Berapa lama anda tunggu sebelum anda berani mengaku anda suka seseorang?

Bagi penulis, secara puratanya adalah sekitar 4 ke 5 bulan. Itupun masih lagi menggeletar nak mengakuinya. Banyak kali kena reject.

Ada orang sampai ke sudah dia tak berani mengaku. Akhirnya dia terpaksa berputih mata melihat si dia yang dia suka bernikah dengan orang lain.

Dalam filem prosesnya cepat. Keluar ayat romantik sikit, mengaku suka si dia terus si dia pun tersenyum lebar mengakui dia berkongsi perasaan sama.

Realitinya, kita nak dapatkan keberanian tu punyalah lama. Bila dah berani suarakan isi hati kita, apa jawapan akan kita dengar?

'Kita kawan saja ya.' 




Hakcipta iluminasi.com (2017)