Oleh pada 21 Oct 2022 kategori

Ejen risikan dalam filem digambarkan sebagai seorang bergaya, tangkas dan cekap melakukan apa saja. 

Antara watak perisik yang popular dalam filem aksi adalah watak seperti James Bond dalam siri filem 'James Bond 007', Ethan Hunt hero siri filem 'Mission Impossible', Jason Bourne dalam siri filem aksi 'The Bourne Trilogy' dan Sydney Bristow dalam siri drama TV 'Alias.' 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berbeza dengan watak fiksyen, ejen risikan sebenar dalam dunia nyata biasanya bukanlah bombastik kehidupan mereka. Mereka orang biasa, lebih kepada ejen kerajaan atau agensi risikan yang cuba hidup di kalangan masyarakat, tanpa mewujudkan sebarang kontroversi atau syak wasangka. 

Ada beberapa buah filem berjaya memaparkan watak ejen risikan yang berpijak di bumi nyata. Ini lima filem yang paling dekat cubaannya.

1. Tinker, Tailor, Soldier, Spy (2011)

tinker tailor soldier spy

Sekiranya anda ingin mendapatkan gambaran sebenar kerenah birokrasi yang dilalui ejen risikan dalam menjalankan tugas, anda boleh menonton filem Tinker, Tailor, Soldier, Spy yang ditunjangi aktor handalan Gary Oldman. 

Oldman memainkan watak seorang ejen risikan bernama George Smiley yang keluar daripada persaraan, selepas kerajaan Britain merasakan ada di kalangan pegawai tertinggi agensi risikan British yang berpaling tadah, bekerja untuk Kesatuan Soviet. 

Digarap berdasarkan novel dengan judul sama tulisan novelis genre perisik terkenal John le Carré, teka-teki yang dipersembahkan sepanjang filem ini berjalan memang mengasyikkan.

Bagi mereka yang gemar aksi - maaflah, filem ini rentaknya cukup perlahan tetapi tidak membosankan. Durasi filem ini lebih banyak memaparkan mesyuarat, perbincangan, diskusi dan penyiasatan di kalangan pegawai-pegawai agensi kerajaan, dalam usaha untuk mendedahkan siapakah dalang Soviet sebenar yang dicari.

2. A Most Wanted Man (2014)

a most wanted man

Sebuah lagi filem adaptasi novel John le Carré, 'A Most Wanted Man' membariskan mendiang Philip Seymour Hoffman sebagai ejen kerajaan Jerman bernama Gunther Bachmann, bertanggungjawab memujuk seorang pelarian Chechnya untuk bekerjasama dengan Jerman bagi menyusup masuk ke dalam gerakan Al-Qaeda.

Ini kerana kerajaan Jerman perlu mendapatkan bukti kukuh membuktikan kewujudan ggerakan sindiket tertentu di Jerman menyeludup keluar dana bagi kegunaan Al-Qaeda, yang menjadi fokus utama Bachmann dalam misinya.

Untuk mencapai matlamat itu, Bachmann menggunakan pelbagai kaedah yang dirasakan sesuai; membentuk kepercayaan dengan pihak yang sepatutnya menjadi musuh, tetapi akhirnya berkongsi hala tujuan kerana matlamat mereka serupa. 

Kisah yang dipaparkan dalam filem ini digarap daripada insiden sebenar penculikan lelaki bernama Murat Kurnaz, seorang penduduk tetap Jerman berkerakyatan Turkiye yang berhadapan siasatan dan seksaan didalangi tentera Amerika Syarikat, lebih 5 tahun dalam penjara.

Dia ditahan tanpa sebab dan akhirnya dibebaskan selepas gagal dibuktikan terlibat dengan mana-mana gerakan yang disifatkan aktiviti keganasan.

3. Argo (2012)

argo filem risikan realistik

Filem 'Argo' yang dibintangi dan diarahkan Ben Affleck mempunyai premis jalan cerita yang kedengaran lucu.

Agensi risikan CIA Amerika Syarikat mahu menyelamatkan pegawai diplomatik mereka yang terkandas di Tehran, Iran semasa berlakunya krisis tebusan tahun 1979 yang didalangi kumpulan pelajar bersenjata di Tehran. 

Menggunakan kekerasan, kumpulan pelajar itu bertindak mengepung bangunan kedutaan Amerika Syarikat, menjadikan 52 orang pegawai dan pekerja yang ada dalam kompleks tersebut tebusan mereka selama 444 hari.

Antonio Mendez (Ben Affleck) adalah pegawai CIA yang ditugaskan mengetuai pasukan seramai 6 orang petugas, diberi tanggungjawab membawa keluar sekumpulan pegawai berprofil tinggi dari Tehran.

Bagi melindungi rancangan itu, Mendez dan pasukannya menyamar sebagai kru produksi filem ditugaskan melakukan penggambaran sebuah filem berjudul 'Argo' di sana, bagi membolehkan mereka menyusup masuk ke situ.

Mendez banyak dibantu pegawai risikan dan pegawai kedutaan dari Kanada, yang sebenarnya adalah perancang sebenar operasi rahsia ini tetapi malangnya tidak ditrampilkan peranan sebenar mereka sepanjang durasi filem.

Walaupun kritikan dilontarkan berkait beberapa perubahan yang dilakukan ke atas skrip jika dibandingkan dengan sejarah sebenar operasi itu, 'Argo' berjaya menunjukkan bagaimana sebuah agensi risikan dunia nyata mampu melakukan perkara yang tak munasabahdemi menjayakan operasi mereka.

Sengaja kami letak filem ini dalam senarai ini kerana operasi mereka jika diceritakan memang bunyinya seakan sebuah karya fiksyen, tetapi kesemuanya adalah perancangan licik yang akhirnya benar-benar berjaya.

4. Bridge of Spies (2015) 

bridge of spies filem perisik kerajaan

Filem ini merupakan antara filem kegemaran penulis, kerap penulis ulangkali tontonannya. 'Bridge of Spies' membariskan Tom Hanks sebagai seorang peguam sebenar bernama James Donovan. 

Selain berkemahiran dalam undang-undang, Donovan juga mempunyai latar belakang ketenteraan hasil penglibatannya sebagai pegawai tentera laut Amerika Syarikat berpangkat Komander.

Dia diarah agensi CIA untuk menggunakan kepakarannya membantu usaha membawa pulang seorang juruterbang Amerika Syarikat yang ditangkap di Kesatuan Soviet bernama Francis Powers. Powers ketika sedang menjalankan operasi risikan  ditembak jatuh di Sverdlovsk ketika itu dalam jajahan Kesatuan Soviet.

Perang politik yang berlaku di antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet akibat insiden ini, memulakan krisis yang dibimbangi meledak di antara kedua-dua buah kuasa besar dunia.

Bagi mendapatkan jalan tengah, Donovan dipanggil membantu kerana pernah menjadi peguambela seorang perisik KGB Russia 5 tahun sebelum itu yang bernama Rudolf Abel. Atas bantuan Donovan, Abel berjaya mengelakkan diri daripada dikenakan hukuman mati.

Tidak banyak aksi dipaparkan dalam filem ini kerana filem ini gemar memaparkan ketegangan diplomatik yang terjadi akibat tarik tali yang berlaku di antara kedua-dua pihak, dalam usaha memastikan kelebihan berada di tangan mereka.

Penamat filem ini yang memaparkan kedua-dua tebusan ditukar semasa melintasi sebuah jambatan yang menghubungkan Jerman Barat dan Jerman Timur, adalah sesuatu peristiwa yang benar-benar berlaku dan menjadi antara detik paling ikonik peperangan risikan dan maklumat dunia.

5. The Lives of Others (2006)

the lives of others filem risikan ejen

Di antara kesemua filem yang dipaparkan dalam senarai ini, filem ini mungkin kurang dikenali.

'The Lives of Others' adalah sebuah filem Jerman yang memaparkan taktik polis rahsia Jerman Timur mengintip kehidupan orang ramai untuk mengumpulkan maklumat. Jika anda tidak tahu, filem ini pemenang anugerah filem asing terbaik Anugerah Academy tahun 2006. 

Seorang polis rahsia atau 'Stasi' bernama Hauptmann Gerd Wiesler (lakonan mendiang Ulrich Muhe) ditugaskan mengintip seorang penulis skrip bernama Georg Dreyman, kerana dikhuatiri Dreyman mempunyai niat tersirat di sebalik semua kegiatan aktivisnya.

Bagaimanapun selepas lama mendengar sendiri semua masalah peribadi yang dilalui Dreyman dan pasangannya, Wiesler akhirnya mula simpati, membantu Dreyman secara rahsia dengan melindungi maklumat yang dirasakan sensitif daripada dilaporkan serta membantu secara langsung menghilangkan bukti ketika serbuan, tanpa Dreyman sendiri faham kenapa semua rahsianya terpelihara.

Mengesyaki ada sesuatu yang mencurigakan berkenaan tindak tanduk Wiesler, pasukan polis rahsia Jerman mula menjalankan siasatan berbeza ke atas pegawai mereka sendiri - mendedahkan Wiesler kepada risiko besar sekiranya dia terus bertindak mengikut nalurinya.

Kisah di antara Wiesler dan Dreyman tidak terhenti sebegitu saja walaupun selepas Tembok Berlin runtuh dan kedua-dua buah negara berjaya disatukan.

Jika anda nak tahu apa penamat kisah ini, lebih baik anda tonton sendiri kerana kisah risikan yang mampu menyentuh hati ini adalah sesuatu yang bukan saja realistik paparan risikannya, bahkan cukup istimewa mesej kemanusiaanya. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)