Setiap hari kita akan dengar berita berkenaan mahkamah, melibatkan beberapa jenis mahkamah. Dengan istilah seperti mahkamah sesyen, tinggi, majistret, syariah dan pelbagai lagi - sudah pastilah agak sukar untuk kita memahami dengan lebih jelas peranan setiap jenis mahkamah yang ada.

Adakah anda faham jenis dan fungsi mahkamah yang ada di Malaysia? Jom kita belajar serba sedikit dan fahami kategori-kategori mahkamah sivil yang menjadi salah satu cabang perundangan paling penting dalam masyarakat kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kategori-kategori mahkamah

Walaupun mempunyai bermacam jenis, secara asasnya mahkamah di negara kita hanya dibahagikan kepada dua iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Untuk kedua-dua kategori itu pula, di dalamnya ada beberapa mahkamah yang memainkan peranan berbeza, berikutan bidang kuasa yang berbeza tertakluk kepada peruntukan yang dibenarkan.

Mahkamah sivil di letakkan di bawah bidang kuasa kerajaan pusat sementara mahkamah syariah pula diletakkan di bawah bidang kuasa negeri, bergantung kepada kuasa yang diberikan pada Sultan atau pemerintah tertinggi negeri tersebut. Untuk artikel ini, kami fokuskan terlebih dahulu pada mahkamah sivil.

Mahkamah Sivil

kehakiman istana putrajaya

Di dalam mahkamah sivil atau kadangkala digelarkan mahkamah persekutuan, terdapat dua pecahan besar yang digelarkan sebagai mahkamah atasan (superior court) dan mahkamah rendah (subordinate court).

Mahkamah atasan dibentuk daripada gabungan beberapa mahkamah iaitu mahkamah persekutuan (federal court), mahkamah rayuan (court of appeal) dan mahkamah tinggi (high court) dengan hirarki setiap mahkamah mengikut turutan yang disenaraikan.

Mahkamah sivil atasan (superior court)

malaysia bangunan sultan abdul samad mahkamah

Mahkamah persekutuan merupakan mahkamah tertinggi di negara kita dan mempunyai kuasa untuk menyelesaikan sebarang kes yang melibatkan kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan, selain daripada mengesahkan sebarang penggubalan undang-undang di peringkat Parlimen dan Dewan Negeri.

Mahkamah rayuan duduk di antara persekutuan dan tinggi, bertanggungjawab mengendalikan proses rayuan bagi mana-mana kes yang melibatkan keputusan mahkamah tinggi. Walaupun begitu, bidang kuasa mahkamah rayuan agak terhad serta tidak mengendalikan sebarang perbicaraan yang boleh membawa kepada sabitan kesalahan.

Mahkamah tinggi pula memainkan peranan terbesar mengelolakan majoriti kes melibatkan kumpulan sivil yang bersifat jenayah. Selain itu mahkamah tinggi juga bertanggungjawab membicarakan sebarang kes melibatkan orang ramai seperti kes tuntutan penjagaan anak dan pengisytiharan muflis.

Mahkamah sivil rendah (subordinate court)

mahkamah majistret

Mahkamah tertinggi dalam sistem sivil rendah adalah mahkamah sesyen. Mahkamah sesyen bertanggungjawab untuk membicarakan apa saja kes kesalahan dan jenayah namun tidak mempunyai kuasa menjatuhkan hukuman mati serta tidak boleh mengenakan denda melebihi RM250,000.

Mahkamah sesyen memainkan peranan untuk membuka perbicaraan dan siasatan awal terhadap tertuduh, sebelum kes itu dibawa ke mahkamah tinggi bagi perbicaraan seterusnya. Di negara kita, ada lebih kurang 60 mahkamah sesyen kesemuanya.

Di bawah mahkamah sesyen pula adalah mahkamah majistret, di mana terdapat 118 mahkamah majistret di seluruh negara. Mahkamah majistret mempunyai beberapa cabang berbeza dengan adanya mahkamah majistret sivil dan jenayah (kelas pertama) dan majistret sivil dan jenayah (kelas kedua).

Bidang kuasa kumpulan mahkamah itu juga berbeza dengan mahkamah majistret sivil boleh mendengar kes sivil yang tidak melibatkan jenayah, dengan majistret jenayah pula mendengar kes jenayah yang berlaku. Kelas pertama mempunyai bidang kuasa lebih besar dan mengenakan hukuman denda dan penjara melebihi kelas kedua.

Mahkamah Penghulu - sistem mahkamah paling rendah

pengerusi jkkk kampung

Selain daripada itu, wujud satu lagi kategori mahkamah majistret yang mempunyai bidang kuasa melibatkan tuntutan tidak melebihi RM5,000 yang dinamakan mahkamah tuntutan kecil.

Mahkamah tuntutan kecil bertanggungjawab mendengar kes tuntutan sivil dan pihak yang dituduh dan pendakwa tidak dibenarkan diwakili peguam. Contoh kes yang dibicarakan di mahkamah ini kebiasaannya kes-kes hutang yang tidak dibayar atau tuntutan akibat penipuan.

Sistem mahkamah paling rendah dalam sistem kehakiman negara kita pula adalah mahkamah penghulu yang dikendalikan sendiri oleh penghulu yang dilantik kerajaan. Mahkamah penghulu hanya diberi kuasa mengendalikan kes melibatkan tuntutan dibawah nilai RM50 dan sekiranya bersalah, hanya boleh didenda maksima RM25. Sekiranya keputusan atau perbicaraan yang diputuskan mahkamah penghulu tidak memuaskan hati mana-mana pihak, kes itu boleh didengarkan di peringkat mahkamah majistret.




Hakcipta iluminasi.com (2017)