Oleh pada 09 Dec 2022 kategori

Bahasa Jepun mempunyai sistem pembentukan kata yang unik, sehinggakan kita mampu membezakan secara jelas bahasa itu berbanding bahasa lain yang digunakan negara-negara berjiran mereka.

Pengaruh bahasa Jepun ke atas masyarakat dunia sudah tidak boleh disangkal, ekoran daripada kejayaan eksport produk mereka baik yang bersifat fizikal seperti kenderaan atau alat elektronik, mahupun eksport budaya yang memperkenalkan kita kepada buku manga, siri anime, pengaruh tradisi lama seperti ninja, samurai dan pelbagai lagi yang ada.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jadi tidak menghairankan seandainya ada istilah-istilah bahasa mereka, dicedok dan dipinjam untuk diadunkan ke dalam bahasa-bahasa berbeza. Termasuklah kita.

1. Emoji

emoji ciptaan jepun

Kami yakin tak ramai sedar istilah 'emoji' datangnya daripada istilah bahasa Jepun kan?

Ini kerana ikon-ikon yang merujuk kepada emosi dalam aplikasi perbualan secara digital, diperkenalkan seorang jurutera syarikat telekomunikasi Jepun NTT Docomo bernama Shigetaka Kurita. 

Kurita dan pasukannya sekitar lewat dekad 1990-an, membangunkan kaedah bagaimana hendak menyampaikan mesej dalam cara ringkas akibat had maksima askara yang boleh dihantar melalui peranti, yang agak membataskan perbualan.

Dia merekabentuk kumpulan ikon emosi pertama bagi menggantikan teks dengan imej, dilabelkan dengan gabungan istilah Jepun 'eh' (visual) dan 'moji' (watak) membentuk perkataan 'emoji.'

Bagaimanapun harus kami perjelaskan dalam bahasa Melayu, istilah yang betul untuk kegunaan adalah 'emotikon'.

2. Origami

origami kaedah jepun

Kita mungkin lebih mengenali istilah 'origami', tetapi dalam bahasa Jepun istilah asalnya disebut sebagai 'orikami.'

'Ori' merujuk kepada perbuatan melipat sesuatu sementara 'kami' pula merujuk kepada kertas.

Walaupun demikian istilah 'origami' yang ditulis menggunakan huruf G lebih diterima sebagai istilah universal seni lipatan ini.

Dalam bahasa Melayu, tidak ada terma yang boleh menggantikan istilah ini dengan mudah. Sekiranya benar-benar ingin di bahasa Melayukan istilah ini, 'origami' boleh diganti dengan istilah 'seni lipatan kertas'.

3. Kimono

kimono pakaian jepun

Dalam zaman moden, sebut kimono kita pasti akan membayangkan pakaian wanita Jepun yang kompleks serta kemas cara pemakaiannya.

Sebenarnya daripada aspek bahasa, kimono bukanlah merujuk kepada sejenis pakaian untuk wanita sahaja, sebaliknya adalah kata nama yang bersifat am. 

'Kimono' dalam bahasa Jepun membawa makna 'pakaian' atau 'sesuatu yang dipakai', jadi apa saja bentuk pakaian masyarakat mereka sebenarnya akan digelarkan sebagai kimono, baik wanita atau lelaki yang memakainya. 

Bagaimanapun ekoran salah tanggapan kita, kita sering menganggap pakaian tradisional wanita Jepun adalah kimono walhal jika kita cerakinkan istilahnya, 'ki' membawa makna pakai dan 'mono' pula bermaksud benda.

4. Futon

futon istilah pinjaman jepun

Seperti kimono, ramai orang juga tersalah anggap tentang istilah 'futon' sehinggakan dalam aspek jualan kelengkapan rumah, 'futon' digunapakai sebagai label hamparan atau tilam yang direka mengikut rekaan masyarakat Jepun.

Futon sebenarnya dalam bahasa Jepun adalah istilah am dengan bunyi sama, merujuk kepada apa saja bentuk pelapik, tilam atau hamparan yang digunakan sebagai alas untuk tidur atau duduk. 

Dalam bahasa Melayu, penggunaan futon tidak diiktiraf secara rasmi kerana istilah ini tidak didaftarkan ke dalam perbendaharaan kita.

Lagipun kita pun dah banyak istilah yang membawa makna serupa seperti tilam, alas, hampar, gebar pelapik atau yang paling popular....toto. Siapa sini guna toto?

5. Tsunami

tsunami istilah jepun pinjaman

Sehingga kini masih terngiang-ngiang insiden tsunami yang melanda kita satu masa dulu. Menakutkan bukan?

Tsunami adalah antara istilah unik yang dipinjam terus masyarakat dunia dari bahasa Jepun dengan pengekalan sebutan dan makna sama.

'Tsu' dalam istilah Jepun membawa makna pelabuhan sementara 'nami' pula merujuk kepada ombak. Apabila digabungkan kedua-duanya, ia membawa makna ombak yang menghampiri pelabuhan.

Istilah ini mula diamalkan masyarakat dunia bagi merujuk kepada ombak besar, selepas peristiwa gempa bumi berkekuatan 8.5 dalam skala magnitud di Sanriku, Jepun pada bulan Jun tahun 1896.

Dua gegaran yang kuat menghasilkan dua ombak gergasi setinggi 38.2 meter, menghapuskan lebih 9,000 kediaman serta mengorbankan 22,000 nyawa. Peristiwa itu mempopularkan istilah tsunami dan kekal diguna sehingga sekarang.




Hakcipta iluminasi.com (2017)