Apabila kita menonton satu-satu filem, biasanya dalam kepala kita sudah tergambar apa genre filem tersebut, sama ada sebuah filem romantik, aksi, seram, drama dan sebagainya. 

Pengarah filem juga biasanya mengekalkan genre itu sepanjang durasi filem arahannya berjalan, mengekalkan tema filemnya konsisten. Walau bagaimanapun, ada beberapa filem yang mampu mengubah genre pada titik penting filem tersebut - sehinggakan penonton merasa seperti telah menonton dua filem berbeza awalan dan penamatnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima filem terbaik yang penulis rasakan duduk dalam kedudukan unik, mampu mengubah genre dan tema penceritaan sama ada secara mendadak mahupun tanpa disedari penonton disebabkan oleh pertukaran rentak yang sengaja diperlahankan.

1. Hereditary

filem yang berubah genre pertengahan cerita

Kami pernah menulis tentang filem ini dalam artikel berkisar kepada watak ibu yang menakutkan, tetapi tahukah anda filem ini juga mempunyai pertukaran genre yang sangat-sangat efektif akibat daripada tragedi yang langsung tidak disangka-sangka menimpa salah satu watak kecil filem ini?

Jangan risau. Kami tidak akan bongkarkan apa yang berlaku dalam filem ini kerana anda perlu menonton filem yang unik, aneh dan agak istimewa ini. 'Hereditary' menceritakan berkenaan seorang wanita yang kematian ibu serta tekanan psikologi yang menimpa keseluruhan keluarganya akibat kehilangan itu. 

Permulaan filem ini bermula sebagai sebuah drama biasa di mana semua watak dipaparkan cuba mencari jalan menangani tekanan yang dirasai.

Bagaimanapun selepas satu lagi insiden tragedi menimpa keluarga tersebut - filem ini mula membuka lapisan demi lapisan ceritanya,  berubah menjadi sebuah filem seram yang menakutkan berkait rapat dengan semua watak yang ada.

2. Audition

audition filem ubah genre

Bagi mereka yang belum menonton filem klasik Jepun ini - persiapkan diri anda untuk mengharungi filem ini. Adalah lebih baik untuk anda tidak mengetahui apa-apa tentang 'Audition' sebelum menontonnya, walaupun filem ini sudah berusia lebih dua dekad.

Filem ini memaparkan watak seorang lelaki pertengahan umur yang berdepan kesukaran menemui calon isteri, bagi mengisi kekosongan dalam jiwanya. Hidupnya banyak dihabiskan untuk kerja dan waktu lapangnya pula digunakan sebaik mungkin bersama anak tunggalnya.

Walaupun demikian menyedari anak lelakinya itu bakal memulakan hidup sendiri serta telah mula mencari cinta sejati, lelaki pertengahan umur itu pun menjalankan satu ujibakat untuk filem terbitan rakannya yang sebenarnya bertujuan untuk mencari jodoh.

Dari situ dia berkenalan dengan seorang wanita bernama Asami yang berjaya menambat hatinya sebelum kedua-duanya saling berkenalan, mengenal hati budi masing-masing.

Selepas kedua-duanya bersetuju untuk berkahwin, wanita itu menghilangkan diri  menukarkan tema cinta filem ini kepada satu tema cinta yang jauh berbeza daripada sangkaan kita.

3. Click

adam sandler click filem ubah genre

Nama Adam Sandler lebih terkenal dengan watak-watak komedi dan ikatan itu terus dibawa beliau, sebagai pelakon utama dalam filem 'Click.' Apatah lagi taktik pemasaran filem ini menjual 'Click' sebagai sebuah filem komedi standard Adam Sandler yang biasa kita lihat. 

Bagaimanapun bagi mereka yang menonton filem ini, anda pasti akan terkejut apabila filem yang bermula sebagai kisah komedi ringan akhirnya bertukar menjadi sebuah drama keluarga yang sarat dengan mesej serta penuh tragedi di pertengahan filem. 

Dialog filem ini juga yang pada awalnya ringan serta cuba mengundang gelak tawa penonton, akhirnya bertukar nada. Hilai tawa yang sebelum itu boleh kedengaran, digantikan dengan rasa sebak ekoran perubahan nasib yang dialami watak utamanya serta kesemua ahli keluarganya yang meningkat dewasa.

Premis filem ini memang mengarut. Seorang lelaki mempunyai alat kawalan jauh yang berkebolehan untuk mengawal masa dan datang dengan beberapa syarat tertentu. Ini fantasi yang biasa kedengaran dalam kisah-kisah fiksyen popular dunia.

Tetapi pada penamat filem ini, mungkin ramai yang akan mula menyedari fantasi untuk menguasai masa hanya akan memberikan kita lebih banyak kepayahan berbanding hidup seperti biasa.

4. Full Metal Jacket

full metal jacket ubah genre

Kini diklasifikasikan sebagai salah sebuah filem klasik, bagi mereka yang kosong dan kali pertama menonton 'Full Metal Jacket' pasti akan menyangkakan keseluruhan filem ini berkisarkan kepada kisah jatuh bangun pelatih tentera yang baru menjalani latihan.

Apatah lagi setiap setiap adegan dalam babak awal filem ini walaupun digambarkan secara serius, masih jelas tema lucu yang ada. Lakonannya juga bersahaja dan filemnya juga ringan untuk ditonton, membolehkan kita sama-sama bergelak ketawa melihat mereka yang masih mentah - didenda dan dibuli walaupun sudah dewasa.

Walau bagaimanapun filem ini mula berubah menjadi berat selepas salah seorang daripada pelatih melakukan satu tindakan yang luar biasa.

Kemudian sekali lagi 'Full Metal Jacket' selepas lokasinya berubah, bertukar menjadi sebuah filem yang berani membicarakan isu berkaitan moraliti kemanusiaan, membawa kita menelusuri minda setiap rekrut tentera tatkala mereka menerima tugasan masing-masing - yang akhirnya membawa derita kepada mereka.

5. From Dusk Till Dawn

from dusk till dawn filem berubah genre

Pengalaman menonton 'From Dusk Till Dawn' penulis kali pertama, merupakan satu pengalaman yang agak sukar dilupakan. Ini kerana itulah kali pertama penulis tertanya-tanya bagaimana sebuah filem boleh bertukar genrenya pada pertengahan filem. 

'From Dusk Till Dawn' bermula sebagai sebuah filem aksi/jenayah menampilkan dua pasangan adik beradik yang merompak sebuah kedai membunuh petugas serta pegawai polis yang cuba memberkas mereka berdua, semasa cuba melarikan diri ke Mexico.

Bagi membolehkan mereka melepasi sempadan , kedua-duanya menculik dan mengugut sebuah keluarga diketuai seorang lelaki yang baru kematian isteri, dipaksa untuk melindungi dan menyembunyikan mereka dalam van keluarga tersebut supaya dipandu merentasi sempadan Mexico.

Apa berlaku selepas itu perlu anda tonton sendiri sekiranya anda belum menontonnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)