Filem dalam era moden mempunyai kebebasan rakaman lebih luas berbanding zaman dahulu disebabkan oleh saiz peranti kamera yang bersaiz kecil, memudahkan rakaman dibuat dari sudut dan kedudukan.

Salah satu genre filem unik yang muncul ekoran kemudahan ini serta masih layak dikatakan baru adalah genre 'screenlife' atau 'filem berasaskan skrin', di mana keseluruhan penceritaan filem itu dibuat dengan hanya rakaman video dalam skrin melibatkan peranti komunikasi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kekangan pergerakan yang boleh dibuat kamera atau sudut pandangan yang lebih luas, memaksa pengarah filem 'screenlife' mencari kaedah lebih kreatif membina jalan cerita dan memastikan adegan mudah difahami penonton.

Berikut adalah lima filem terbaik genre screenlife yang ada setakat ini yang dimonopoli filem bertemakan misteri atau penyiasatan.

1. Megan Is Missing

filem berdasarkan tangkap layar paparan komputer

Sebuah filem screenlife yang tidak takut untuk menampakkan visual seram, 'Megan Is Missing' menjadi antara filem popular genre ini lama selepas diterbitkan selepas tahun 2011, dibuat hanya dengan bajet sekitar RM148,500.

Tidak ramai menyedari kewujudan filem ini awalnya walaupun Megan Is Missing menimbulkan kontroversi selepas diharamkan kerajaan New Zealand, ekoran paparan yang sangat-sangat grafik.

Populariti filem ini kembali memuncak pada tahun 2020 memperkenalkan ramai penonton baru kepada judul ini, selepas pengguna aplikasi Tik-Tok berkongsikan reaksi mereka menonton filem tersebut.

Kenapa filem ini diharamkan?

Megan Is Missing memaparkan watak dua orang sahabat baik berusia 14 tahun iaitu Megan dan Amy yang berkenalan dengan seorang remaja dalam talian bernama Josh. Hubungan Megan dan Amy mula retak selepas Megan memilih untuk menghabiskan masa berbual secara maya dengan Josh.

Sehinggalah pada satu hari Megan yang sepatutnya bertemu Josh buat kali pertama hilang tanpa jejak dan Amy mula menemui jejak Megan sebelum...tak mahu kami ceritakan.

Penamat filem ini merupakan antara ending paling sick pernah kami tonton. Memang patut filem ini diharamkan!

2. Unfriended

unfriended internet horror movie

Selepas satu insiden memalukan melibatkan seorang remaja bernama Laura dimuatnaik ke internet tanpa diketahui siapa yang memuatnaiknya, Laura bertindak membunuh diri.

Rakan-rakan Laura meneruskan hidup walaupun berdepan tragedi, kerap menggunakan aplikasi Skype untuk berhubung dan berbual sesama mereka.

Dalam satu sesi sidang video mereka, seorang pengguna yang tidak mereka kenali telah masuk menceroboh tanpa mendedahkan identiti asal. Apa yang menakutkan mereka, pengguna tanpa izin itu seakan tahu latar belakang semua yang ada dalam ruangan bual itu secara intim.

'Unfriended' merupakan antara filem yang mempopularkan genre screenlife kepada masyarakat umum, mendapat ulasan baik dari penonton serta menjadi antara filem yang untung besar dari segi kutipan; kosnya hanya RM4.25 juta dengan pulangan RM267.5 juta.

Dirancang sebagai sebuah francais, filem pertama ini disusuli oleh filem kedua 'Unfriended : Dark Web' terbitan tahun 2018 yang memaparkan satu kisah berbeza berbanding filem asalnya menggunakan genre serupa. Filem ketiga siri ini bakal menyusul sedang dalam pembikinan.

3. The Collingswood Story

the collingswood story filem screenlife

Tidak adil untuk kami menyenaraikan lima filem screenlife dalam senarai ini, tanpa menyebut tentang The Collingswood Story. Ini kerana filem ini adalah antara filem terawal menggunakan format genre ini.

The Collingswood Story memaparkan dua pasangan kekasih bersahabat akrab yang sering menggunakan aplikasi perbualan video untuk berkomunikasi dengan perkakasan kamera web.

Selepas salah seorang daripada mereka berjaya menghubungi mendiang ayahnya dengan bantuan seorang individu wanita yang mendakwa dirinya seorang psikik secara dalam talian, mereka dijemput untuk sama-sama turut serta dalam sesi mistik itu.

Dalam sesi yang diatur, psikik itu mendapati ada keganjilan wujud menyebabkan wanita tersebut mula berbicara tentang perkara yang tidak mereka jangkakan.

Diterbitkan pada tahun 2002, The Collingswood Story memaparkan teknologi komunikasi yang seiring dengan zamannya, jadi rekaan visualnya agak terkebelakang sedikit.

Bagaimanapun sehingga kini filem ini kekal mendapat pujian di kalangan pengkritik filem bebas, sehinggakan usaha untuk menerbitkan semula filem ini dengan bajet lebih besar terus mendapat sokongan.

4. Host

filem host screenlife

Host menjadi antara filem yang dianugerahkan skor 100% di laman web Rotten Tomatoes (daripada 95 ulasan profesional!). Hebat tak?

Dibuat berasaskan sistem aplikasi sidang mesyuarat maya Zoom sepenuhnya, 'Host' memaparkan sekumpulan sahabat yang cuba mengharungi era pandemik Covid-19 bersama-sama dari jarak jauh.

Mereka berhubung untuk berborak, sehinggalah salah seorang dari mereka menjemput seorang individu yang dikatakan mampu menghubungi alam ghaib untuk mereka cuba merasai pengalaman baru. Selepas berjaya menyeru satu semangat hadir, kesemua mereka mula mengalami fenomena-fenomena aneh yang menyeramkan.

'Host' unik kerana kisahnya bukan saja memaparkan sekumpulan anak muda ketika pandemik, bahkan dirakamkan semasa pandemik. Keseluruhan filem ini dibuat secara maya, di mana setiap pelakon terlibat perlu menyiapkan sendiri lokasi atas seliaan pengarah.

Aksi-aksi aneh yang berlaku juga direkodkan hasil kerja tangan pelakon itu sendiri, atas latihan dan tunjuk ajar kru produksi yang duduk di lokasi berbeza.

Kurang popular ekoran promosi yang agak terhad, 'Host' membuktikan sebuah filem yang berjaya dapat dilakukan secara maya tanpa kehadiran kru produksi bersifat tradisional seperti biasa.

5. Searching

filem searching john cho

Berbeza dengan filem-filem lain dalam senarai ini, 'Searching' adalah satu-satunya filem yang memaparkan pelakon nama besar iaitu John Cho, yang pernah memegang watak Sulu dalam siri filem terbaru Star Trek dan siri Harold and Kumar yang cukup popular.

'Searching' merupakan sebuah filem penyiasatan yang kuat unsur kekeluargaannya, mengisahkan tentang seorang duda kematian isteri bernama David, yang mengharungi dugaan membesarkan satu-satunya anak perempuan mereka bernama Margot.

Selepas gagal menghubungi anaknya untuk beberapa hari, David mula menjalankan penyiasatan mencari anaknya walaupun berdasarkan petunjuk yang ada, jelas sekali Margot sebenarnya melarikan diri - ingin bebas dari kongkongan ayahnya.

Lebih memburukkan situasi David, pihak polis enggan membantunya selepas David bertindak melulu menyerang beberapa individu yang diyakini beliau telah mengapa-apakan anak kesayangannya. Hasil daripada carian di internet serta cubaan menghubungi rakan-rakan Margot, David berjaya merungkai satu per satu misteri berkenaan kehilangan anaknya.

Kekuatan filem ini jelas terletak pada watak yang dimainkan Cho, mampu mencerminkan rasa bimbang dan takut yang dirasai setiap ibu dan bapa dalam berdepan dugaan membesarkan anak-anak mereka.

'Searching' meletup di pawagam, mendapat kutipan RM320 juta berbanding kos RM3.75 juta yang dikeluarkan.

Babak permulaan filem ini yang memaparkan hubungan di antara David dan mendiang isterinya Pamela diminati ramai, kerana berjaya menayangkan sebuah kisah romantik yang mengasyikkan - walaupun hanya dengan paparan menggunakan skrin, video rakaman dan tingkap perbualan di internet.

Jika anda takut kisah seram tetapi mahu mencuba genre screenlife, kami syorkan setinggi-tingginya filem ini. Pasti akan mengalir air mata anda menonton apa yang perlu dihadapi David dalam pencariannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)