Sebuah filem perlu mempunyai babak permulaan, pertengahan dan pengakhiran yang meyakinkan untuk membolehkan penontonnya faham keseluruhan jalan cerita; dengan pengakhiran menjadi babak terpenting dalam menutup kisah itu.

Penamat yang baik mampu membuatkan penonton terus berfikir tentang apa yang baru saja ditonton, sementara penamat yang gagal digarap sempurna hanya akan membuatkan kita rasa kurang puas setelah semuanya selesai.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pengarah seperti M. Night Shyamalan menjadikan kaedah menjadikan penamat sebagai helah utama tunjang filem sebagai identiti utama filem keluaran beliau, jadi kita mulakan senarai ini dengan sebuah filem arahan dia yang cukup terkenal kerana penamatnya.

1. The Sixth Sense

the sixth sense penamat twist ending

M. Night Shyamalan sudah terlalu sinonim dengan penamat luar jangkaan, selepas filem 'The Sixth Sense' diterbitkan dan menggemparkan kita semua dengan penamatnya.

Apa yang jelas, penamat filem itu berkesan kerana filem itu keluar pada tahun 1999, ketika era sebelum meledaknya penggunaan internet sebagai medium komunikasi - di mana orang ramai masih belum mampu menyebarkan penamatnya secara tular.

Kejayaan penamat filem ini akhirnya melekat kepada karier Shyamalan sebagai pengarah, di mana semua filem arahan beliau mempunyai jangkaan akan mempunyai penamat serupa; sesuatu yang agak membelenggu karier beliau.

Dia cuba mengulangi kaedah hampir sama dalam filem 'Signs', 'Unbreakable' dan 'The Village' dengan impak kurang berkesan (malah mampu membuatkan penonton menyumpah) tetapi impak 'The Sixth Sense' kepada industri filem memang dirasai.

Filem itu terus dirujuk sebagai filem komersial paling berjaya menipu penonton sepanjang filem, sehinggalah semua rahsia berkenaan filem itu perlu diperjelaskan bagi memperjelaskan semua keganjilan yang berlaku.

Kami boleh penuhi artikel ini hanya dengan filem arahan beliau namun kami perlu memberi ruang kepada filem dan pengarah lain. Jadi 'The Sixth Sense' saja sudah memadai.

Pada tahun 2021, walaupun ramai sudah tahu apa penamat filem ini - filem ini pada penulis masih segar untuk ditonton berulang kali, menunjukkan berkesannya kisah ini sebagai sebuah filem.

2. The Others

the others twist ending

Filem terbitan tahun 2001 ini memaparkan lakonan berkesan pelakon Nicole Kidman sebagai seorang ibu yang perlu melindungi keluarganya sendirian, selepas kediaman mereka mula mengalami gangguan aneh.

Sama seperti 'The Sixth Sense,' kejutan filem ini hanya akan ditemui pada penamatnya yang digarap cantik untuk menyimpulkan keseluruhan filem ini.

Sepanjang filem 'The Others', terdapat banyak adegan dipaparkan sejak mula bertindak bertindak sebagai pembayang yang mampu membantu penonton meneka apa yang bakal berlaku - tetapi dek kesedapan jalan ceritanya yang mampu membuatkan kita tak senang duduk, penonton biasanya akan mengabaikan semua petunjuk ini.

Universal Pictures sedang dalam pembikinan mengolah semula filem The Others yang akan dipaparkan dalam versi zaman sekarang. Kami tidak tahu bagaimana filem ini akan mempunyai impak yang sama, sekiranya penamatnya tidak ditukarkan kepada penonton yang sudah menonton versi lebih awal.

3. Orphan

orphan filem mengejutkan

Menjemput seseorang yang asing ke dalam keluarga kita, seperti anak angkat - pasti akan memerlukan sesebuah keluarga untuk beradaptasi terhadap perubahan itu. Apatah lagi selepas sesebuah keluarga baru saja berdepan tragedi.

Itulah tunjang utama filem 'Orphan' apabila pasangan Kate dan John memilih untuk mengambil anak angkat, seorang kanak-kanak berusia 9 tahun bernama Esther yang pada awalnya nampak seperti kanak-kanak biasa.

Bagaimanapun lama-kelamaan Esther mula menunjukkan perangai-perangai aneh serta mula bertindak memecah belahkan keluarga angkatnya sendiri. Apa yang lebih menakutkan, filem ini digarap berdasarkan kepada sejenis penyakit sebenar yang benar-benar mampu berlaku.

Jangan klik pautan itu sekiranya anda mahu menonton 'Orphan' terlebih dahulu.

4. The Descent

the descent klaustrofobia

Sebuah filem yang membuatkan penulis sesak nafas, disebabkan oleh rasa fobia kepada ruangan sempit - 'The Descent' merupakan sebuah filem dari Britain yang memaparkan sekumpulan wanita menjalankan ekspedisi tidak dirancang melakukan pengembaraan sistem gua yang belum pernah diterokai.

Bermula sebagai sebuah filem biasa di mana situasi menakutkan berlaku disebabkan oleh keadaan gua yang gelap dan sempit, filem ini berubah sepenuhnya selepas kumpulan itu mula menemui bukti kewujudan makhluk-makhluk yang telah mendiami gua itu sekian lama.

Penamat filem ini mempunyai dua versi berbeza mengikut versi negara terbitannya.

Penamat bagi versi terbitan di Amerika Syarikat kurang impaknya disebabkan oleh keperluan untuk memberi penamat lebih gembira - sementara penamat bagi filem ini di United Kingdom pula lebih meninggalkan kesan kerana helah yang dimainkan kepada semua yang menontonnya.

5. The Platform

the platform el hoyo filem seram klasik mindblown

Jika dibandingkan dengan kesemua filem di atas, 'The Platform' atau nama asalnya 'El Hoyo' merupakan filem yang kurang dikenali.

Sebuah filem terbitan pengarah Sepanyol bernama Galder Urrutia, filem ini memaparkan situasi unik di mana manusia diasingkan secara berkumpulan dalam sebuah bangunan yang mempunyai beratus-ratus tingkat bawah tanah berbentuk platform, dengan setiap platform hanya mempunyai dua penghuni.

Setiap hari, makanan akan disediakan dan dihidangkan menggunakan lif yang akan turun ke setiap platform yang ada, untuk dinikmati penghuninya.

Bagi penulis, jelas sekali filem ini sebenarnya satu diskusi atau kritikan oleh penulisnya terhadap sistem sosial manusia, yang sering kali meletakkan kedudukan atau darjat sebagai keutamaan - mengakibatkan kita berlumba-lumba untuk memastikan 'hak' kita dipenuhi.

Penamat filem ini digarap bukan untuk menghasilkan impak sama seperti filem-filem lain dalam senarai ini, kerana apa yang berlaku selepas itu terpulang kepada intepretasi anda sendiri sebagai penonton, dalam menyimpulkan kisah ini.

Namun metafora dan simbol penamat cerita ini mampu memberikan anda sekurang-kurangnya harapan, bahawa untuk setiap satu situasi sulit yang kita hadapi - apa yang perlu kita buat adalah untuk tidak pernah berhenti berusaha.

Mungkin juga filem ini sebenarnya memberitahu kita sesiapa yang cuba berusaha melawan sistem sedia ada, akhirnya akan berdepan pengakhiran yang sia-sia?




Hakcipta iluminasi.com (2017)