penyakit misteri kekal muda bayi kanak kanak

Ramai antara kita khasnya wanita, tercari-cari kaedah untuk menjadikan kita lebih muda agar keremajaan dapat dikekalkan.

Daripada satu perspektif yang jauh berbeza, wujud juga satu kumpulan manusia lain yang sedaya-upaya mahu menjadi dewasa tetapi gagal disebabkan oleh abnormaliti tubuh sendiri.

Kisah-kisah tentang penyakit unik ini yang sehingga kini belum dapat dikenalpasti punca penyebabnya, membingungkan penyelidik perubatan. Disebabkan itulah, penyakit ganjil ini dinamakan sebagai Sindrom X.

Gejala Sindrom X

keluarga brooke greenberg

Apabila sesuatu penyakit gagal dikenalpasti punca sehingga mengakibatkan kegagalan untuk penyelidik menamakannnya dengan betul, penyelidik akan melabelkan sindrom tersebut sebagai 'Sindrom X'.

Oleh sebab itulah jika anda mencari tentang sindrom X, akan wujud beberapa jenis sindrom penyakit yang berbeza-beza, namun antara sindrom X yang sangat unik; adalah sejenis abnormaliti yang menghalang seseorang individu daripada mengalami proses penuaan secara semulajadi.

Penyakit ini sangat jarang untuk ditemui dan hanya dalam beberapa tahun lepas pengkaji berjaya memahami dengan lebih baik apa sebenarnya yang telah menimpa mereka.

Ditemui kali pertama pada seorang wanita bernama Brooke Greenberg yang disahkan menghidap sindrom X, penemuan pertama ini membuka kepada lebih banyak penemuan kes-kes serupa; membantu kita lebih memahami mutasi yang telah berlaku kepada gene-gene dalam tubuh penghidapnya.

Hasil daripada semua kajian inilah, pada tahun 2017 penyakit ganjil ini diberikan nama 'neotenic complex syndrome' atau NCS.

Kisah Brooke Greenberg

brooke greenberg

Cuba anda lihat gambar di atas dan teka, yang mana kakak dan yang mana adiknya? Percayakah anda, kanak-kanak kecil yang sedang didukung itu merupakan kakak kepada remaja tersebut?

'Kanak-kanak' yang sedang anda lihat itu adalah seorang wanita berusia 20 tahun ketika gambar itu diambil bernama Brooke Greenberg, didukung oleh adiknya Carly Greenberg yang berusia 17 tahun.

Dilahirkan pada tahun 1993, Brooke lahir dalam keadaan tidak sempurna akibat berat badan yang kurang serta masalah pada pinggangnya. Bagaimanapun, Brooke membesar seperti biasa selepas itu dan dia selamat menjalani pembedahan bagi membetulkan pinggangnya.

Tumbesarannya mula terhenti semasa Brooke berusia lebih 4 tahun dan beratnya tidak pernah bertambah, kekal pada tahap 7.7 kg.

Usaha kedua ibu bapanya bagi mengenalpasti apa sebenarnya yang menyebabkan anak mereka seolah-olah dibekukan oleh masa, gagal membawa sebarang petunjuk. Pelbagai kaedah cuba diperkenalkan seperti suntikan hormon, diet, terapi dan bermacam lagi ikhtiar namun Brooke kekal sebesar itu.

Semua ujian yang dijalankan ke atas beliau mendapati dia normal. Hanya selepas ujian genetik dijalankan ke atas beliau, didapati Brooke mempunyai abnormaliti ke atas tiga gene yang telah mengalami mutasi.

Ketiga-tiga gene ini belum pernah ditemui dalam populasi dunia dan dua daripadanya berkait dengan proses penuaan seseorang.

Pesakit lain yang mengalami kondisi serupa

gabby williams bayi dewasa

Penemuan Greenberg pada tahun 2001 menemukan lebih ramai pesakit yang mengalami masalah hampir serupa dengan beliau.

Apa yang aneh, walaupun mereka mengalami simptom-simptom yang sama dengan Brooke, punca mereka kekal muda pula berbeza-beza.

Salah seorang daripadanya adalah Gabrielle Williams atau 'Gabby' yang lahir pada tahun 2004. Lahir dengan kecacatan otak serta hati, usia Gabby pada awalnya diramalkan singkat kerana kecacatan yang ada. Bagaimanapun usia Gabby nyata lebih panjang. Dia terus hidup walaupun mempunyai tubuh yang lebih mirip seorang bayi berusia satu tahun.

nick freeman 40 tahun

Bagi Nicky Freeman, nasibnya lebih baik. Kelihatan seperti seorang budak berusia 10 tahun, Nicky yang sudah berusia lebih 40 tahun dapat menjalani hidup yang panjang walaupun pada awalnya diramalkan tidak dapat hidup lama.

Bagaimanapun Nicky tidak mempunyai kebolehan untuk bertutur, sebaliknya hanya bergantung dengan bahasa isyarat.

Apa yang membezakan kes Nicky dengan penyakit yang menimpa Brooke dan Gabby, Nicky dilaporkan masih lagi membesar - tetapi dalam kadar yang sangat perlahan.

Nicky mempunyai saiz sebesar budak 10 tahun pada usia 40 tahun, mengalami pertambahan ketara berbanding saiznya pada usia 16 tahun yang sama dengan kanak-kanak 4 tahun.

Disebabkan tubuh Nicky mengambil masa 4 tahun untuk dia membesar 1 tahun, apa yang dibimbangi ibunya adalah kemungkinan jangka hayat Nicky menjadi lebih panjang berbanding manusia lain.

Kajian yang masih terus dijalankan

brooke greenberg dan adiknya

Brooke Greenberg meninggal dunia pada 24 Oktober 2013, tidak lama selepas gambarnya yang kami kongsikan di atas diambil.

Disebabkan oleh kondisinya sebelum meninggal dilaporkan bertambah uzur sedikit demi sedikit, penyelidik dan pakar perubatan bergegas cuba mendapatkan apa saja sampel yang boleh diperolehi bagi membantu kita lebih memahami apa yang dihadapinya.

Setakat ini, kes-kes serupa dilaporkan lebih banyak berlaku melibatkan individu wanita namun turut sama melibatkan individu lelaki.

Belum jelas apa sebenarnya punca kenapa penuaan seseorang boleh terbantut atau diperlahankan secara ekstrim, kerana setiap kes pesakit menemui faktor yang berlainan dan jarang kekal konsisten.

Nasib Gabby dan Nicky kurang jelas, sama ada masih hidup atau telahpun meninggal dunia.

Apa yang nyata, kajian-kajian yang masih dijalankan ke atas pesakit Sindrom X serupa didakwa bakal membantu kita untuk lebih memahami perkara-perkara yang menentukan faktor penuaan seseorang.

Secara tak langsung pemahaman terhadap faktor tersebut, turut sama akan membantu kita untuk lebih memahami bagaimana untuk mengekalkan keremajaan seseorang. Bagaimanapun, topik itu kita simpan untuk artikel lain lah.

Rujukan

Ageing: The girls who never grow older



Hakcipta iluminasi.com (2017)