Oleh pada 07 Aug 2022 kategori

Bagi peminat filem, genre filem seram bukanlah sesuatu yang mampu menarik minat kebanyakan orang untuk menonton. 

Ini kerana bukan semua orang mampu menghadap sebuah jalan cerita yang direka khusus untuk menakut-nakutkan anda. Ada yang tabah dan cekal, cuba menonton dalam bilik cerah dengan wajah ditutupi bantal setiap kali tiba adegan yang dijangka akan mengejutkan kita. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jika anda tergolong dalam kumpulan peminat filem yang takut filem seram tetapi ingin menonton genre seram, mungkin filem komedi seram mampu membantu meredakan penerimaan anda. Filem mana patut anda tonton?

Berikut adalah lima filem komedi seram yang kami rasakan sesuai untuk mereka yang baru nak bermula jadi berani.

1. Tucker and Dale vs Evil

tucker and dale vs evil filem seram komedi

Sebuah filem berprofil rendah yang kurang promosi mungkin disebabkan kekurangan bajet, Tucker and Dale vs Evil merupakan filem seram komedi yang banyak bergantung kepada salah faham masyarakat Amerika Syarikat terhadap golongan 'hillbilly'; mereka yang tinggal di kawasan pedalaman di sana.

Sekumpulan pelajar kolej mengembara ke kawasan hutan untuk melakukan perkhemahan di satu tapak, yang dikatakan pernah berlakunya siri-siri pembunuhan yang dijalankan oleh golongan hillbilly terhadap orang luar yang hadir ke situ. 

Selepas satu insiden berlaku memulakan persengketaan besar di antara dua pihak yang jauh berbeza perspektif hidup mereka, Tucker and Dale vs Evil bertukar menjadi sebuah filem yang sarat dengan komentar tentang perbezaan kelas, hak sama rata dan juga persepsi umum yang dibentuk oleh media yang berat sebelah. 

Filem ini mempunyai banyak adegan lucu yang memecahkan suasana serta dialog yang cukup kelakar, jika anda memahami stereotaip terhadap golongan pedalaman yang sering dipopularkan orang urban di sana.

2. Shaun of the Dead

shaun of the dead filem seram komedi

Walaupun sudah hampir dua dekad diterbitkan, filem Shaun of the Dead yang memaparkan dua sahabat karib cuba menyelamatkan diri ketika dunia berhadapan ancaman zombi - kekal sebagai antara filem klasik yang akan disebut apabila genre komedi seram disebut. 

Mengambil inspirasi daripada siri filem George A. Romero dalam versi parodi, filem komedi ini memaparkan bermacam jenis situasi yang perlu dihadapi oleh individu-individu terlibat serta kesan perubahan hidup yang berlaku, ke atas hubungan mereka dengan individu lain dalam hidup mereka.

Filem ini mendapat sambutan hangat peminat filem di Britain selepas dilancarkan, kekal disenaraikan di antara filem komedi terbaik pernah dikeluarkan karyawan di sana - serta sering dikatakan antara filem terbaik dalam genre yang sedang kita bincangkan.

3. Semua filem seram Sam Raimi

filem seram komedi sam raimi

Bagi peminat filem, majoriti daripada anda lebih mengenali nama Sam Raimi sebagai pengarah filem adiwira Spider-Man dan juga filem Dr. Strange yang terbaru. Bagaimanapun bagi peminat filem komedi seram - Sam Raimi adalah legenda!

Beliau adalah individu yang bertanggungjawab mempopularkan genre komedi seram melalui trilogi filem Evil Dead, yang memulakan sebuah francais gergasi yang kini cukup dikenali ramai. 

Terkenal sebagai pakar filem seram komedi, Raimi turut menggunapakai formula serupa dalam siri filem trilogi pertama Spider-Man lakonan Tobey Maguire, di mana wujud elemen seram yang berkesan diadunkan ke dalam filem tersebut khususnya apabila melibatkan watak penjahat seperti Green Goblin.

Tema sama juga diulangi dalam filem komedi seram 'Drag Me to Hell' yang membawakan watak seorang wanita cuba menyelamatkan diri daripada sumpahan seorang wanita Gipsi. 

Jika anda menonton filem Dr. Strange In The Multiverse of Madness, anda juga akan mendapati filem tersebut mempunyai tema yang lebih gelap dan menakutkan berbanding filem adiwira itu yang pertama - tanpa melupakan elemen-elemen komedi yang direka khusus untuk meringankan tona filem.  

4. Semua filem seram Mamat Khalid

hantu kak limah balik rumah zombie kampung pisang

Sekiranya Hollywood ada Sam Raimi, industri filem kita pula boleh berbangga dengan Allahyarham Mamat Khalid - seorang anak seni yang jelas menjadikan genre komedi seram sebagai identiti kerjanya. 

Apabila bercakap tentang filem Mamat Khalid, pasti semua peminat filem tempatan tahu tentang populariti filem komedi seram.

Bermula dengan filem Zombi Kampung Pisang, beliau mula memperkembangkan idea tersebut untuk memulakan siri trilogi Hantu Kak Limah yang mendapat sambutan cukup hangat. Watak-watak rekaan beliau dalam filem itu seperti Hantu Kak Limah dan Usop Wilcha mempunyai impak besar dalam genre filem komedi seram kita. 

Selain filem yang telah kami sebutkan, Mamat Khalid juga sempat mengeluarkan beberapa karya komedi seram lain, seperti Rumah Pusaka Di Simpang Jalan dan Werewolf Dari Bangladesh yang kurang impaknya terhadap sambutan penonton, tetapi tetap mampu mengeringkan gusi anda.

5. Malignant

malignant filem seram komedi james wan sarawak

Nama James Wan, anak kelahiran Sarawak yang kini menjadi seorang warga Australia sering disebut sebagai salah seorang pengarah filem seram yang berbakat.

Memulakan karier sebagai pencipta filem 'Saw' yang kini menjadi sebuah francais besar, Wan meneruskan karier dengan menjadi pengarah filem seram seperti The Conjuring, Annabelle, Insidious dan pelbagai lagi - memahatkan namanya sebagai nama besar dalam genre seram. 

Bagaimanapun menerusi filem Malignant, James Wan cuba melakukan pembaharuan terhadap demografi filem seramnya - dengan mengadunkan pelbagai genre ke dalam sebuah filem. 

'Malignant' bermula sebagai sebuah filem seram biasa tetapi selepas beberapa babak, penonton akan mula menyedari banyak elemen-elemen komedi yang diselitkan ke dalam filem ini tanpa kita sedar atau tidak. Sehinggalah pada pertengahan cerita, filem ini terus bertukar genrenya dan tidak lagi mahu menakutkan kita.

Mengisahkan tentang seorang wanita bernama Madison yang menjadi mangsa dera suami sendiri mengakibatkan dia sering mengalami halusinasi, sehinggalah pada satu hari apa yang disangkakan halusinasi bertukar menjadi realiti depan mata. 

Jika anda belum tahu apa-apa tentang filem ini, tonton dulu filem ini terlebih dahulu kerana keseronokan melayari jalan cerita 'Malignant', hanya dapat kita rasai apabila kita tidak tahu apa-apa tentang kisahnya.

Oh ya. Filem ini memang seram tetapi dalam seram, ada komedinya. Cuma anda kena pandai mencari kat mana kelakarnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)