Oleh pada 25 Jul 2018 kategori

Tidak lama dahulu, Perry Horton yang baru bergelar graduan sukar mendapatkan pekerjaan ekoran urusan penulisan menjadi pilihannya. Dia bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai menjual DVD di Portland, Amerika Syarikat bagi menyara hidup.

Tugasnya menyusun judul-judul DVD yang ada membuatkan dia perasan satu perkara; terdapat banyak filem-filem baru yang luarannya kelihatan seperti filem berstatus 'blockbuster' namun tidak pernah ditayangkan di pawagam.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Muka depan kotak DVD filem-filem itu selalu memaparkan tajuk-tajuk yang tak masuk akal, menggunakan pelakon yang jarang diperkatakan atau sudah tidak popular, serta banyak menggandingkan pelakon utama dengan pelakon wanita yang dulunya seksi, tetapi semakin dimamah usia. Horton melakukan carian di internet, mendapati semua filem-filem itu datang dari sebuah studio bernama The Asylum, yang bertempat di Burbank, California.

Menggunakan tanggungjawabnya sebagai pembantu jualan, Horton mendedikasikan satu bahagian di kedai seliaannya khas untuk filem terbitan The Asylum. Dia juga mula menulis tentang filem-filem baru yang diterbitkan studio tersebut. Menyedari mereka ada peminat yang berdedikasi serta sebenarnya berkebolehan, The Asylum menawarkan peluang untuk Horton menghantar sebuah filem ideanya sendiri sebagai ujian.

Horton menulis sebuah skrip berjudul 'A Haunting in Salem'. Bermula dari kerjasama itu, Horton kini berjaya merealisasikan impiannya untuk menulis dalam bermacam jenis filem , dengan semuanya diterbitkan The Asylum.

'The Asylum' memenuhi permintaan peminat filem ringan

the asylum penerbit filem mockbuster

Dalam era internet di mana filem sudah boleh disalurkan secara terus tanpa perlu memuat turun lagi, kita sebagai pengguna berdepan dengan pilihan yang tidak pernah putus-putus.

The Asylum cuba mengambil kesempatan ke atas permintaan pengguna ini dengan menawarkan filem-filem terbitan mereka yang berbajet rendah namun cuba membawa idea yang baru serta segar.

Sejarah filem gred rendah atau kita selalu labelkan gred-B sebenarnya sudah bermula lama di Amerika Syarikat melalui tayangan di pawagam yang membolehkan pembeli menonton dua filem, satu filem terbitan studio besar dan satu lagi filem gred B dengan harga satu tiket.

Perubahan zaman menukar pawagam kepada set televisyen atau skrin di rumah, dengan Netflix menjadi pilihan penerbit filem berkualiti rendah melambakkan filem mereka dalam format digital. The Asylum memang mensasarkan pemasaran mereka melalui filem-filem atas talian.

thor marvel dan almighty thor

Modus operandi The Asylum amat mudah dalam penghasilan filem dengan kos yang rendah. Mengambil contoh yang pernah berlaku - sekiranya sebuah penerbit mahu menerbitkan filem yang bertemakan kapal selam dan pada masa yang sama, ada penerbit lain meminta penghasilan sebuah filem bertemakan raksasa, The Asylum akan menggabungkan kedua-dua elemen itu dalam sebuah filem yang memaparkan kru kapal selam bertemu dengan seekor raksasa di lautan.

Mewarisi legasi idea yang dibawa oleh studio legenda American International Pictures yang popular pada era 1950-an serta pengarah Roger Corman yang popular pada era 1970-an, The Asylum menempatkan diri mereka dalam kategori berbeza, menawarkan sesuatu yang lain berbanding filem-filem yang biasa kita lihat.

Filem The Asylum dibuat mengikut citarasa sendiri tanpa mempedulikan syarat-syarat, permintaan atau peraturan yang ada.

Sejarah 'The Asylum'

the asylum logo

The Asylum ditubuhkan pada tahun 1997 oleh David Rimawi, Sheeri Strain dan David Michael Latt. Kesemua mereka sebelum itu pernah bekerja dengan penerbit gergasi Village Roadshow Pictures.

Mereka berjaya menerbitkan filem pertama di bawah label The Asylum, sebuah drama komedi remaja bertajuk Bellyfruit pada tahun 1999 namun tidak mendapat sambutan. Filem kedua mereka bertajuk 'Fourplay' walaupun dibintangi pelakon terkenal Colin Firth juga tidak berjaya di pasaran.

Kegagalan-kegagalan itu membuatkan The Asylum tahu model perniagaan mereka sukar berjaya tanpa perubahan. Latt memberikan satu idea karut yang boleh memberikan studio mereka identiti mereka sendiri - The Asylum akan mengenalpasti filem-filem Hollywood yang sedang dalam pembikinan, cuba meniru filem itu sebaik mungkin dan lancarkan sebelum filem sebenar ditayangkan di pawagam.

Idea asal ini berjaya mencorakkan identiti The Asylum dan terus digunapakai sehingga ke hari ini. The Asylum mula menjadikan filem-filem yang dikenali dengan nama 'mockbusters' sebagai identiti filem-filem mereka.

Mockbusters pertama The Asylum - Vampires Vs. Zombies

dvd vampires vs zombies

Mengambil idea filem 'Freddy vs Jason', The Asylum menerbitkan filem pertama mereka menggunakan format mockbuster, sebuah filem berjudul 'Vampires vs Zombies' arahan Vince D'Amato pada tahun 2004. Dengan sengaja The Asylum menggunakan rekaan poster yang hampir serupa.

Walaupun peminat filem mengkritik kualiti filem itu, tetapi buat pertama kalinya filem terbitan The Asylum berjaya mendapat pulangan semula modal mereka. 'Vampires vs Zombies' menjadi filem pertama mereka yang boleh dikatakan berjaya.

Nama The Asylum mula dikenali khasnya di kalangan peminat filem selepas filem 'H. G. Wells War of the Worlds' terbitan mereka berjaya dilancarkan sehari lebih awal berbanding filem sebenar arahan Steven Spielberg iaitu 'War of the Worlds.'

Mengambil kesempatan ke atas hak karya cipta novel asal itu yang kini menjadi milik awam, The Asylum berjaya mengeluarkan filem itu dengan mengelirukan peminat filem yang sukar mengenalpasti mana satu filem yang sebenar, sehingga berjaya mencapai jualan 100,000 unit.

war of the worlds dan mockbuster

Latt bertindak sebagai pengarah, produser, penulis dan editor filem tersebut yang menjalani sesi pengambaran selama 12 hari sahaja dengan modal $500,000. Walaupun marah atas tindakan The Asylum, Steven Spielberg hanya mampu melihat saja sebuah filem lain berjaya mencuri tumpuan yang sepatutnya diberikan kepada filem beliau kerana secara undang-undang, The Asylum tidak melakukan sebarang kesalahan.

The Asylum terus mengeluarkan mockbuster-mockbuster serupa selepas kejayaan 'H. G. Wells War of the Worlds' dan promosi yang mereka dapati secara peruma.

Filem 'The Day the Earth Stopped', parodi kepada 'The Day the Earth Stood Still' lakonan Keanu Reeves, Snakes on a Train parodi filem 'Snakes on the Plane' lakonan Samuel L.Jackson, 'The Da Vinci Treasure' mockbuster kepada 'The Da Vinci Code', lakonan Tom Hanks dan banyak lagi filem berjaya diterbitkan memperkukuhkan lagi identiti The Asylum sebagai pengeluar filem berkualiti rendah yang menghiburkan.

Mega Shark vs Giant Octopus

mega shark the asylum

Modus operandi The Asylum mula bercambah, selepas sebuah pengedar filem di Jepun hadir ke The Asylum meminta mereka menerbitkan sebuah filem berkenaan pertarungan maut di antara seekor ikan jerung dan sotong gergasi. Idea itu yang unik walaupun mengarut sudah pastilah akan ditolak awal-awal penerbit-penerbit lain tetapi The Asylum berjaya merealisasikan idea itu.

'Mega Shark vs Giant Octopus' diterbitkan pada 2009 membawa kepada kejayaan besar dari segi jualannya di seluruh dunia. Proses pembikinan idea sehinggalah filem itu siap hanya memakan masa selama 2 bulan. Ini sedikit sebanyak mengubah visi The Asylum untuk mula mengeluarkan bukan sahaja sekadar filem berkonsep mockbuster, malahan filem yang mempunyai idea asli dengan konsep yang gila-gila.

Demam Sharknado mula melanda dunia

sharknado ina ziering dan tara reid

Kerap bekerjasama dengan saluran televisyen Syfy dalam membantu menayangkan filem mereka, The Asylum membentangkan idea berkenaan sebuah filem sains fiksyen yang tak pernah difikirkan orang.

Ideanya memang gila - bayangkan puting beliung dipenuhi dengan ikan jerung dan usaha orang ramai untuk menyelamatkan diri mereka daripada serangan puting beliung itu?

Konsep itu sekiranya dibawa kepada penerbitan biasa sudah pastilah akan ditolak serta merta kerana jelas mengarut serta tidak punya nilai artistik yang menarik. Syfy yang terkenal sebagai tuan rumah filem-filem The Asylum, tidak menolak idea itu malahan meluluskannya dan bersetuju untuk menyuntik dana menerbitkannya.

Bagaimanapun, bukan semua orang mampu menerima idea sedemikian rupa. Lebih 100 orang pelakon menolak tawaran untuk membintangi filem itu termasuklah pelakon Ian Ziering, yang akhirnya bersetuju untuk menerima tawaran itu atas faktor keperluan kewangan.

Ditayangkan kali pertama melalui saluran Syfy, 'Sharknado' berjaya mendapatkan 1.37 juta penonton, satu angka yang kurang memberangsangkan berbanding angka purata 1.5 juta penonton untuk keseluruhan saluran Syfy.

tornado shark sharnado

twitter memperkatakan tentang sharknado

Bagaimanapun, filem itu mula diperkatakan oleh artis-artis Hollywood melalui media sosial. Melihat populariti yang timbul tanpa sengaja, Syfy menayangkan semula filem itu untuk kali kedua dan ketiga. Pada tayangan ketiga, Sharknado berjaya mencapai jumlah penonton 2.1 juta orang, menjadi filem Syfy paling tinggi jumlah tontonannya ketika itu.

Demam Sharknado mula melanda Hollywood, menjadi bualan ramai orang yang memuji ideanya yang mengarut tetapi sangat asli serta kualiti filem yang baik tetapi mengarut. Di Twitter, rekod 5,000 twit seminit berkenaan #Sharknado dicapai membuktikan demam Sharknado mula menjadi realiti.

Meneruskan legasi Mockbuster dan filem asli The Asylum

mockbusters lead

Filem kedua Sharknado, 'Sharknado 2 : The Second One' diterbitkan pada tahun 2014 berjaya memecah rekod jumlah penonton filem pertama dengan seramai 2.77 juta orang menonton tayangan pertamanya di Syfy.

Ekoran sambutan yang sangat memberangsangkan serta kemampuan kewangan yang dipacu Sharknado - The Asylum terus mengeluarkan beberapa siri filem Sharknado dengan yang terbaru adalah filem ke enam dan terakhir, 'The Last Sharknado' yang bakal terbit bulan Ogos 2018.

Bagi Ian Ziering, pelakon utama siri Sharknado - dia adalah pemenang terbesar selepas mengambil risiko membintangi siri filem ini. Walaupun pada mulanya menolak tawaran itu kerana bimbang reputasinya sebagai pelakon musnah, namanya mula dikenali sebagai bintang utama Sharknado. Dilaporkan dalam filem kelima 'Sharknado 5 : Global Swarming', Ziering dibayar $500,000 untuk memegang watak utamanya, meningkat berkali-kali ganda berbanding bayaran yang diterima untuk filem pertama 'Sharknado' iaitu $100,000.

Jumlah ini hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding bayaran $300,000 diterima Gal Gadot untuk membintangi filem Wonder Woman yang diterbitkan studio lebih besar dengan bajet berkali-kali ganda lebih banyak.

Ttidak ramai yang mengetahui berapakah keuntungan sebenar yang dijana daripada siri filem Sharknado.

Bagaimanapun keuntungannya dilihat mampu mengekalkan The Asylum beroperasi dengan selesa, terus menerbitkan filem-filem mockbuster seperti filem Atlantic Rim (Pacific Rim) Avengers Grimm (The Avengers) Road Wars (Mad Max Fury Road) dan The Fast and The Fierce (The Fate of The Furious) diselang selikan dengan idea-idea asli yang difilemkan dengan bajet yang kecil.

Sharknado terus menjadi tulang belakang The Asylum sehingga kini dan filem ke enam Sharknado bakal menjadi filem terakhir menggunakan idea puting beliung yang penuh dengan ikan jerung.

Apa pula selepas itu agaknya?




Hakcipta iluminasi.com (2017)