Oleh pada 22 Jun 2018 kategori

Filem bercorak Islamik tidak banyak dikeluarkan di seluruh dunia dengan dua buah negara sahaja yang dilihat berjaya mencipta filem bertemakan Islam yang mampu menembusi pasaran antarabangsa iaitu Iran yang filemnya sudah berjaya bersaing dengan filem-filem barat, serta filem Indonesia yang sangat diterima baik pasaran serantau.

Di Hollywood pula, tema filem yang memaparkan masyarakat Muslim amat jarang diterbitkan walaupun tidak dinafikan ada. Bagaimanapun, jumlahnya terlalu kecil tanpa mampu menandingi kehebatan kualiti dan strategi pemasaran filem-filem lain yang biasa kita lihat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun kecil jumlahnya, realitinya wujud beberapa buah filem berkenaan masyarakat Muslim yang berkualiti serta mampu mengetengahkan elemen-elemen Islam dalam filem yang dihidangkan, bukan sekadar untuk menghibur malah membawa sama unsur-unsur dakwah. Berikut adalah lima filem Hollywood yang membawa paparan Muslim dan Islam terbaik setakat ini.

1. The Kite Runner

the kite runner filem islamik

Mengisahkan tentang dua orang kawan karib bernama Amir dan Hassan yang hidup di Kabul dan perjalanan hidup mereka daripada kanak-kanak sehinggalah menjadi lelaki dewasa. Memaparkan gambaran bagaimana masyarakat Afghanistan hidup dalam tahun 70-an sebelum Afghanistan berubah menjadi apa yang dapat kita lihat ketika ini, serta perubahan-perubahan yang berlaku akibat peredaran politik Afghanistan yang senantiasa bergolak.

Diasaskan daripada buku novel yang menggunakan judul yang sama hasil tulis Khaled Hosseini yang terbit pada tahun 2003, perjalanan hidup kedua-dua watak disampaikan dengan garapan yang cukup cantik. Filem ini juga membawa tema berkenaan perkauman yang benar-benar wujud di antara orang Pashtun dan Hazara yang menetap di Afghanistan. (rujukan)

2. Malcolm X

malcolm x denzel filem islamik

Filem arahan Spike Lee dan menampilkan Denzel Washington sebagai watak utama ini membawa pencalonan pelakon lelaki terbaik anugerah Academy pada tahun 1992. Sebuah filem biografi mengisahkan tentang pemimpin dan aktivisi masyarakat Afrika-Amerika berpengaruh, Malcolm X sejak kecil sehinggalah beliau bertemu dengan agama Islam yang mengubah hidupnya dan detik-detik terakhir beliau ditembak mati, serta pengaruh besarnya pada masyarakat Muslim kulit hitam dunia.

Semasa produksi filem ini, wujud pelbagai kontroversi berikutan pemilihan Spike Lee sebagai pengarah dan Denzel Washington sebagai pelakon utama. Selain itu juga isteri kepada Malcolm X sendiri, Betty Shabazz atau lebih dikenali dengan gelaran Betty X menjadi penasihat kepada produksi.

Mendapat pujian ramai atas ketepatan kisah yang dipaparkan serta kualiti lakonan yang mantap. Pada 2010, 'Malcolm X' menjadi salah satu filem yang disenaraikan dalam Kongres Amerika Syarikat berikutan kesannya kepada budaya, sejarah dan masyarakat negara tersebut.

3. Salmon Fishing in the Yemen

salmon fishing in yemen ewan mcgregor

Filem paling ringan dalam senarai ini, Salmon Fishing in the Yemen atau SFITY merupakan sebuah filem drama romantik Britain terbitan tahun 2011, menggandingkan Ewan McGregor dan Emily Blunt yang ditugaskan untuk membantu usaha seorang hartawan di Yemen, lakonan Amr Waked membuka satu industri salmon di Yemen.

Kerjasama yang terjalin di antara ketiga-tiga pihak berdepan dugaan-dugaan daripada penduduk tempatan yang menolak kerjasama orang Muslim dengan dua orang pendatang dari Britain, yang mahu mengubah corak hidup mereka sedia ada.

SFITY mendapat pujian ramai selepas ditayangkan berikutan garapan cantik bagaimana usaha mendekatkan masyarakat Islam di Yemen dengan kerajaan Britain dilakukan, melalui kerjasama yang diwujudkan. Lakonan McGregor dan Blunt cukup berkesan sehingga kedua-duanya tercalon dalam kategori pelakon terbaik anugerah Golden Globe 2012. (rujukan)

4. Lion of the Desert (1980)

lion of desert adegan serangan

Filem sejarah arahan Moustapha Akkad ini berkisar pada era pemerintahan fascist Itali di bawah Benito Mussolini dan bagaimana usaha Mussolini untuk menghalang pemberontakan Libya ekoran kemasukan Itali. Perlantikan seorang jeneral sebagai gabenor Libya yang bernama Jeneral Rodolfo Graziani bagi mengekang gerakan pemberontak dilakukan, namun dihalang oleh seorang pejuang yang sebenarnya hanyalah seorang guru bernama Omar Mukhtar.

Berdepan dengan kelengkapan moden tentera Itali, perjuangan Omar berakhir dengan setelah ditangkap. Apa yang membanggakan, mesej-mesej dakwah yang diselitkan dalam filem ini memang benar-benar berjaya memaparkan imej Islam sebagai agama yang mencintakan kedamaian, walaupun ketika umat Islam berada dalam situasi perang yang menggerunkan. 'Lion of the Desert' menjadi salah satu filem yang secara rasmi diterbitkan dengan menggunakan dana sumbangan kerajaan Libya sendiri di bawah pemerintahan Muammar Ghaddafi.

5. The Message (1976)

the message filem moustapha akkad

Tajuk asal kepada filem ini adalah 'Muhammad' Messenger of God' namun ditukar kepada 'The Message' bagi tayangan di Amerika Syarikat. Filem pertama arahan Moustapha Akkad yang turut sama mengarahkan 'Lion of the Desert', kisah yang dipaparkan dalam filem ini berkisar kepada sejarah hidup Rasulullah saw. sendiri sejak mendapat wahyu sehinggalah Rasulullah saw. melalui peristiwa-peristiwa penting seperti penghijrahan, peperangan-peperangan serta perubahan-perubahan yang berlaku di kalangan sahabat-sahabat yang menerima kedatangan Islam dengan hati yang terbuka.

Difilemkan mengikut tatacara yang menepati syariah dengan panel-panel penasihat filem ini dilantik daripada kumpulan-kumpulan akademik dari Mesir serta mendapat peruntukan dari negara-negara Islam seperti Libya dan Maghribi, produksi filem ini berdepan kesulitan akibat kekurangan dana sebelum kerajaan Libya membantu meneruskan produksi yang tersekat.

Tayangan awal filem ini berdepan banyak kontroversi dengan kumpulan Nation of Islam di Amerika Syarikat menggesa supaya tayangan filem ini dihentikan, berikutan salah faham yang timbul berkenaan watak utama filem ini yang disangkakan Rasulullah saw. Ancaman untuk meletupkan pawagam yang berani menayangkan filem ini menyebabkan penonton takut untuk ke pawagam. (rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)