mitos tentang senjata api dalam filem

Kebanyakan daripada kita mungkin tidak pernah menggunakan senjata api atau melihatnya secara dekat. Jadi, banyak pengetahuan mengenai senjata api ini biasanya datang dari filem atau rancangan TV.

Bagi mereka yang bekerja atau arif mengenai senjata api dan pertempuran, banyak perkara yang ditonjolkan melalui filem dan rancangan TV hanya dibesar-besarkan sahaja. Berikut adalah beberapa mitos mengenai senjata api dan pertempuran yang hanya berlaku dalam filem atau rancangan TV.

10. Membakar luka untuk menghentikan jangkitan

rambo bakar luka

Babak ini agak kerap ditayangkan dalam filem. Jika seseorang itu ditembak atau ditikam tetapi tidak dapat pergi ke hospital, mereka biasanya akan membakar luka untuk menghentikan jangkitan. Namun, ia merupakan satu kesilapan besar.

Membakar luka bukan sahaja gagal mengurangkan risiko jangkitan tetapi ia akan menjadikannya lebih buruk berbanding jika tidak melakukan apa-apa. Walaupun haba mungkin mampu membunuh patogen aktif yang berada dalam luka, ia juga akan menyebabkan luka serius akibat kebakaran.

Ini akan mendedahkan luka itu kepada lain-lain jenis bakteria yang lebih buruk untuk masuk kerana pertahanan semula jadi kulit tidak lagi berfungsi. Membakar luka ini hanya boleh diterima untuk menghentikan pendarahan yang serius sahaja jika tiada alternatif lain lagi. (sumber)

9. Bom tangan tidak membuatkan orang terpelanting

letupan bom tangan

Dalam filem, bom tangan sentiasa digambarkan sebagai satu senjata terhebat. Sekiranya bom tangan dilemparkan dalam filem aksi, ia akan disusuli dengan letupan berapi dan membuatkan penjahat terpelanting ke merata tempat.

Pada hakikatnya, bom tangan tidak berfungsi seperti itu. Bom tangan biasanya digunakan untuk mencacatkan atau memperlahankan pihak lawan. Ini kerana sebahagian besar bom tangan direka untuk meletupkan serpihan yang boleh mencederakan.

Paling teruk sekalipun, bom tangan mungkin boleh meletupkan atau menghancurkan seseorang jika dibaling tepat kepadanya. Untuk membuatkan orang terpelanting atau terbang seperti dalam filem, anda mungkin memerlukan bom yang lebih besar atau kuat. (sumber)

8. Tembakan amaran pada kaki 

tembakan di kaki

Adegan ini banyak ditayangkan dalam filem mahupun rancangan TV. Polis biasanya akan menembak di celah kaki penjahat sebagai amaran untuk menyerah atau menembak tepat pada kaki untuk menghentikan mereka daripada melarikan diri.

Sebenarnya, tiada mana-mana polis dilatih untuk melakukan perkara seperti itu. Ini kerana adalah sangat sukar untuk mensasarkan senjata api pada mana-mana bahagian tubuh tertentu, terutamana ketika mereka bergerak.

Sekiranya seorang polis itu mampu melakukannya, mereka mungkin layak menjadi penembak handalan dalam sesebuah unit khas tentera. Alasan lain ialah, kecederaan tembakan pada kaki tidak berfungsi sebagai amaran kerana boleh membawa kepada kematian jika terkena pada tempat yang salah. (sumber)

7. Bunyi 'klik' periuk api

terpijak periuk api

Pengetahuan tentang bagaimana periuk api berfungsi adalah sesuatu yang sukar diperolehi. Oleh itu, tidak hairanlah jika pengarah filem dan penonton tidak berapa arif atau tahu mengenainya.

Dalam kebanyakan filem perang, seseorang itu mengetahui dia terpijak periuk api apabila terdengar bunyi 'Klik' dan letupan pula akan berlaku sekiranya dia mengangkat kaki itu. Namun, keadaan berbeza dalam dunia nyata.

Jika begitulah cara bagaimana periuk api berfungsi, maka ia tidak akan berkesan. Periuk api ditanam agar tidak dapat dikesan oleh pandangan mahupun pendengaran musuh. Biasanya, periuk api akan meletup sebaik sahaja dipijak. (sumber)

6. Menembak bom C4 tidak menyebabkan letupan

bom c4

Letupan adalah perkara yang paling disalah erti dalam filem. Impak letupan selalunya terlalu dibesar-besarkan atau diremehkan bergantung kepada filem yang ditonton. Salah satu contoh ialah letupan pelet plastik seperti C4.

Biasanya, filem atau rancangan TV menayangkan bahawa C4 akan meletup jika ditembak dari jauh atau dibuang ke dalam api. Hakikatnya, C4 sebenarnya adalah salah satu bahan peledak paling stabil pada masa ini.

Ia tidak meletup jika ditembak atau dicampakkan ke dalam api berbanding bahan peledak lain. Bahan letupan plastik seperti C4 akan diuji dengan teliti oleh tentera untuk kestabilan sebelum digunakan dan ia tidak akan meletup tanpa peralatan yang betul. C4 tidak seperti dinamit yang tidak stabil dan akan meletup apabila ditembak. (sumber)

5. Ditembak tidak semestinya membawa maut

tembak tak mati

Ini adalah salah satu lagi muslihat filem dan rancangan TV yang sering ditayangkan kepada umum. Banyak adegan yang menunjukkan watak yang dilakonkan akan jatuh dan mati akibat terkena satu tembakan. Ini bukan sahaja kecetekan ilmu bagaimana pistol berfungsi malah ia mampu mencetuskan panik apabila berlakunya situasi tembak-menembak yang sebenar.

Dalam kebanyakan kes, luka akibat tembakan tidak akan membawa maut. Ini tidak bermakna bahawa luka satu tembakan tunggal tidak mempunyai peluang untuk membunuh, tetapi ia tidaklah sekerap seperti yang disangka ramai.

Terdapat banyak kes di mana orang yang terkena lebih dari satu tembakan masih lagi selamat dan pulih. Peluang untuk selamat lebih baik sekiranya mangsa mendapat rawatan perubatan dengan segera. (sumber)

4. Rokok tidak membuatkan minyak petrol terbakar

buang rokok pada petrol

Dalam kebanyakan filem, membuang rokok yang sedang menyala ke atas petrol yang dituangkan akan menyebabkan berlakunya letupan yang kuat. Walaupun perbuatan itu nampak hebat dalam lakonan, tetapi kajian menunjukkan bahawa rokok yang menyala tidak boleh menyababkan petrol yang dituang ke atas tanah terbakar.

Mengikut kiraan di atas kertas, ia sepatutnya terbakar. Ini kerana rokok yang menyala terbakar pada sekitar 700 darjah selsius dan suhu yang diperlukan untuk menyalakan petrol hanyalah 246 darjah selsius. Bahagian paling panas dari rokok (adalah ketika rokok disedut) hampir tidak dapat bersentuhan dengan petrol ketika dibaling.

Saintis telah mencuba untuk melakukan eksperiman ini di makmal. Dalam satu eksperimen, mereka melontar rokok yang menyala ke atas petrol sebanyak 4,500 kali tetapi gagal menyalakannya. Ini kerana, gas yang terhasil dari petrol yang bertakung akan menyebabkan berlakunya nyalaan dan ia memerlukan keadaan yang sempurna pada masa yang tepat. (sumber)

3. Mangga kunci tidak terbuka dengan tembakan

tembak mangga kunci

Polis dan penyiasat dalam filem biasanya memecah masuk ke rumah atau gudang penjenayah dengan menembak mangga kunci ketika membuat serbuan. Dalam dunia nyata, ia hanya berlaku sekiranya mangga kunci itu diperbuat daripada kayu.

Mangga kunci moden terlalu kuat untuk terbuka jika ditembak dengan pistol. Anda mungkin mempunyai peluang yang lebih tinggi sekiranya memanggil tukang kunci untuk membukanya. Ia tidak mustahil untuk dilakukan sekiranya anda menggunakan senjata api lebih berat seperti senapang atau shotgun, tetapi tidak pistol biasa.

Salah satu lagi sebab mengapa polis sebenar tidak menggunakan cara ini adalah kerana ada kemungkinan untuk peluru yang ditembak itu melantun dan terkena pada mereka atau rakan sekerja. (sumber)

2. Sniper dan titik laser

laser senjata api

Dalam filem, penembak tepat sering digambarkan sebagai seseorang yang mampu membunuh seluruh kumpulan dan terlepas tanpa dikesan. Dalam keadaan sebenar, mendapatkan tembakan tepat adalah sangat sukar kerana rintangan seperti jarak, graviti dan kelajuan angin.

Satu lagi ialah titik laser yang digunakan untuk mendapatkan tembakan tepat. Laser senapang sebenarnya adalah aksesori yang tidak praktikal bagi seseorang yang perlu kekal tersembunyi. Ia akan mendedahkan kedudukan sebenar penembak.

Tiada laser yang dapat membuatkan seseorang penembak itu mendapatkan tembakan tepat dan biasanya hanya digunakan untuk latihan penembak tepat sahaja. Walaupun pada kedudukan yang tidak begitu jauh, titik laser tidak selalunya sama dengan tempat yang dituju peluru. Ia hanya berguna dalam tembakan dekat sahaja. (sumber)

1. Kereta tidak meletup jika ditembak

kereta meletup 448

Kereta meletup apabila ditembak di tangki minyak adalah adegan biasa dalam filem dan rancangan TV. Akan tetapi, ia hanyalah satu mitos. Walaupun penembak itu seorang yang pakar dan boleh menembak kereta yang sedang bergerak, peluru tidak boleh menyalakan minyak dalam tangki.

Mythbusters telah membuktikan bahawa adalah mustahil untuk meletupkan kereta dengan menembak. Selain senjata api, amat sukar untuk meletupkan kereta secara umumnya kerana hampir semua jenis bahan bakar yang digunakan dalam kereta di seluruh dunia cukup stabil untuk mengelakkan kejadian seperti letupan.

Hal ini menyebabkan masalah dalam dunia sebenar. Apabila berlaku sesuatu kemalangan, orang ramai akan takut dan teragak-agak untuk membantu mangsa kerana khuatir kereta yang terlibat itu akan meletup secara tiba-tiba. (sumber)



Hakcipta iluminasi.com (2017)