Dimana-mana kawasan perkampungan di seluruh dunia, kita akan dapati kaum lelaki dan wanita dapat hidup aman berkeluarga. Namun, pemandangan seperti itu tidak dapat dilihat di Umoja, sebuah perkampungan di bahagian utara Kenya dimana penduduknya terdiri daripada wanita sahaja.

Di Umoja, kaum lelaki diharamkan sama sekali. Kampung Umoja bukanlah satu kawasan perkampungan baru sebaliknya telah wujud semenjak 25 tahun dahulu. Perkataan Umoja itu merupakan bahawa Swahili yang membawa maksud perpaduan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejarah asal-usul Umoja

Mengikut sejarah, kawasan perkampungan ini dimulakan sekitar tahun 1990 oleh kira-kira 15 orang wanita yang pernah menjadi mangsa keganasan seksual kaum lelaki terutamanya oleh golongan askar British yang menjajah kawasan ini suatu ketika dahulu. Kini, kampung ini sudah mempunyai kira-kira 50 orang penduduk.

Antara golongan wanita yang mendiami kampung ini termasuklah mangsa rogol dan wanita yang diusir keluarga kerana melarikan diri daripada perkahwinan secara paksa yang diatur oleh keluarga masing-masing. Kampung ini diketuai oleh Rebecca Lolosoli, seorang pejuang hak asasi wanita. Beliau sendiri pernah dipukul lelaki kerana lantang mempertahankan hak asasi wanita.

ketua kampung umoja

Sementara itu, penduduk kampung ini menjana pendapatan melalui aktiviti membuat kraftangan dan mengukir batu permata. Selain itu, mereka turut menerima sumbangan daripada masyarakat setempat, selain turut menyediakan urusan penginapan kepada pelancong yang melawat kampung tersebut.

Bagi mengawal keselamatan kampung tersebut, ianya dikelilingan oleh pagar berduri. Dari segi undang-undang, penduduk Umoja merupakan pemilik sah tanah di kampung tersebut kerana mereka telah membelinya daripada kerajaan Kenya. Walaupun terdapat cubaan daripada kaum lelaki untuk mengurangkan jumlah pelancong daripada melawat Umoja dengan menjual hasil kraftangan pada harga lebih murah, Umoja masih tetap bertahan sehingga ke hari ini.

Pendidikan seks untuk kaum wanita

kampung wanita umoja

Sebagai pejuang hak asasi wanita, kaum wanita di kampung ini bergiat aktif mengajar kaum wanita daripada komuniti dan kampung berdekatan mereka tentang hak asasi wanita dan pendidikan seks. Mengikut budaya tempatan, adalah menjadi kebiasaan wanita dikahwinkan dalam usia yang sangat muda.

Penduduk kampung ini percaya bahawa adat dan budaya tersebut perlulah diubah memandangkan perkahwinan merupakan satu tanggungjawab yang besar. Menjadi seorang ibu pada usia yang muda bukanlah satu tanggungjawab yang ringan. Malah, mereka percaya pada umur belasan tahun seorang wanita belum cukup kuat daripada segi fizikal untuk melahirkan seorang bayi.

Adakah mereka membenci kaum lelaki?

Seperkara yang mungkin pelik bagi masyarakat luar adalah kewujudan ramai kanak-kanak di Umoja. Persoalannya, dari manakah asalnya kanak-kanak ini sekiranya semua penduduk di perkampungan ini adalah perempuan? Bagaimanakah boleh wujudnya kanak-kanak ini sedangkan kaum wanita disini tinggal tanpa kaum lelaki?

Dengan kewujudan kampung yang dikhaskan untuk wanita ini, ramai orang beranggapan bahawa mereka sangat membenci kaum lelaki. Realitinya, mereka tidaklah membenci lelaki tetapi mungkin lebih berhati-hati dengan lelaki kerana pengalaman lampau bersama lelaki.

kanak kanak di umoja

Adalah normal bagi setiap wanita untuk mempunyai keinginan seksual dan mempunyai anak. Begitu juga golongan wanita yang hidup di Umoja. Menurut penduduk Umoja, mereka bebas untuk bergaul dan berhubungan dengan kaum lelaki di luar perkampungan tersebut.

Walaupun mempunyai anak hasil hubungan dengan lelaki luar, mereka kekal tidak berkahwin sebaliknya menjaga anak tersebut secara sendirian. Bagi golongan lelaki yang tinggal berdekatan kampung itu pula, mereka mengakui berhubungan dengan 3 4 orang wanita daripada perkampungan Umoja.

Nota Editor: Berhubungan antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan yang sah adalah salah disisi agama Islam. 

Kredit:

  1. The Guardian
  2. Glamour
  3. The Telegraph



Hakcipta iluminasi.com (2017)