Masalah kedatangan pendatang tanpa izin yang menyusup masuk ke negara lain, memang menjadi satu masalah besar yang sukar ditangani mana-mana pentadbiran kerajaan.

Seperti kita di Malaysia yang dibanjiri pendatang asing baik yang berdaftar atau tidak sah dari pelbagai negara, sebuah pulau kecil di Itali bernama Lampedusa ketika ini sedang berdepan krisis besar akibat kemasukan pendatang berstatus PATI yang tidak mampu dikawal lagi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa yang membuatkan semuanya jadi lebih buruk, kerajaan Itali seperti ketiadaan idea untuk mengambil apa saja tindakan selanjutnya. Betapa genting keadaan di sana? Sangat genting.

Lampedusa - pintu masuk pendatang dari benua Afrika

kenapa pendatang afrika lari ke lampedusa

Pulau Lampedusa yang terletak di Kepulauan Pelagie, Itali merupakan sebuah pulau kecil yang mempunyai saiz sekitar 20 km persegi.

Untuk konteks, saiz Pulau Langkawi adalah 478 km persegi, sementara bahagian pulau Pulau Pinang pula adalah 293 km persegi. Jauh kan perbezaannya? Apa yang membuatkan Lampedusa unik, adalah kedudukan geografinya.

Walaupun terletak dalam negara Itali, kedudukannya yang lebih hampir dengan Tunisia berbanding Itali sendiri menyebabkan Lampedusa kerap menjadi mangsa pencerobohan pendatang dari Afrika utara yang mahu menyusup ke Eropah.

Dianggarkan dalam tahun ini, sudah lebih 130 ribu orang PATI hadir ke Lampedusa untuk ke Eropah; minggu artikel ini ditulis, angka hanya untuk satu minggu ini saja dianggarkan mencatat lebih 10,000 - yang mencetuskan krisis besar kepada penduduk tempatan.

Kenapa situasi ini buruk? Ini kerana jumlah penduduk sebenar Pulau Lampedusa adalah 6,462 orang. Dalam erti kata lain, jumlah pendatang di Lampedusa telah melebihi jumlah penduduk yang sah.

Lambakan pendatang secara tiba-tiba

bagaimana migran afrika hadir ke eropah

Oleh kerana Itali dan Kesatuan Eropah memang merupakan antara badan yang menerima kemasukan pendatang ke kawasan mereka, Lampedusa memang sudah disediakan sebuah pusat penempatan khas bagi membantu pendatang yang hadir.

Bagaimanapun dengan kapasiti hanya sekitar 400 orang maksima, keadaan yang berlaku dianggap sudah di luar kawalan.

Situasi ini berpunca daripada perancangan Kesatuan Eropah yang mahu memperkenalkan beberapa langkah baru bagi mengekang masalah kebanjiran pendatang, khususnya dari Tunisia serta Libya yang telah lama berlaku - secara tidak rasmi dianggap akan menyukarkan PATI masuk ke Eropah.

Perjanjian yang dicapai di antara Kesatuan Eropah dengan kerajaan Tunisia bakal mewujudkan lebih banyak pusat penempatan di Itali dan memperkenalkan syarat lebih ketat untuk seorang PATI dibenarkan mendapat suaka perlindungan.

Selain itu, Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni juga dikatakan sedang dalam usaha mendapatkan kebenaran Kesatuan Eropah bagi meluluskan usul menggunakan tentera bagi mengawal kehadiran pendatang ke Lampedusa melalui jalan laut.

Cakap-cakap ini yang baru diumumkan pada 18 September 2023 menyebabkan kebanjiran pendatang yang enggan lagi menunggu, sebaliknya tergesa-gesa melakukan penghijrahan mereka sebelum dasar baru itu sempat dilaksanakan.

Destinasi pelancongan yang semakin tertekan

lampedusa itali kebanjiran migran

Penduduk Lampedusa pada saat ini, sedang menyaksikan kehidupan mereka berubah akibat pergolakan politik negara jiran mereka.

Sebuah pulau kecil yang bergantung kepada sektor perikanan dan pelancongan sebagai sumber rezeki penduduk, memang sejak dahulu lagi sudah biasa dengan kehadiran PATI - namun apa yang sedang berlaku ketika ini berlangsung dalam skala luar biasa.

Tetapi berapa lama lagi mereka boleh bertahan?

Janji-janji manis ahli politik baik dari pihak Tunisia, Libya, Itali dan Kesatuan Eropah yang mahu memperkenalkan solusi terbaik untuk isu ini sudah didengari berdekad lamanya. Namun belum benar-benar ada penyelesaian dapat dilihat.

masalah pendatang lampedusa ital8

Lucunya, beberapa hari sebelum jadual lawatan PM Itali dan pihak berkuasa ke Lampedusa - dengan serta-merta majoriti pelarian yang telah hadir selamat dipindahkan ke kawasan penempatan lain seperti di Sicily.

Lokasi penempatan sementara yang sebelum itu kotor dan tidak terurus akibat digunakan ribuan pendatang untuk meneruskan hidup, dipersiap dan dibersihkan agar kemas dan cantik semasa sesi lawatan berlangsung.

Rupa-rupanya taktik begini yang biasa berlaku di negara kita, pun berlaku di Eropah juga.

Apa yang sangat membimbangkan penduduk Lampedusa, terdapat juga rancangan kerajaan Itali mahu membenarkan pembukaan kawasan khusus tertutup berasaskan khemah di Lampedusa, dijangka mampu menempatkan sekitar 3,000 PATI selama 18 bulan yang menunggu masa untuk diproses permohonan suaka mereka.

Bayangkan seandainya semua ini berlaku di Malaysia? Adakah anda melihat penerimaan kerajaan Itali membenarkan PATI masuk sebagai satu usaha baik atau sebaliknya?

Rujukan

Why Lampedusa remains an island of hope for migrants

7,000 people arrive on Italian island of 6,000 as migrant crisis overwhelms




Hakcipta iluminasi.com (2017)