Sebuah kampung bernama Mafi Dove di selatan Ghana, adalah rumah kepada hampir 5,000 orang penduduk. Namun, hampir kesemua daripada mereka tidak dilahirkan di kampung itu.

Ini kerana kepercayaan kuno bahawa melahirkan anak di kampung itu akan membangkitkan kemarahan tuhan-tuhan mereka. Oleh itu, ibu yang sarat mengandung akan bergegas ke kampung-kampung berhampiran untuk melahirkan anak mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Seperti kebanyakan komuniti lain di Ghana, Mafi Dove mempunyai pelbagai adat dan tradisi yang diturunkan sejak daripada zaman dahulu lagi. Selain daripada beberapa larangan kecil, kampung ini terus menguatkuasakan tiga peraturan utama yang dilihat dunia sebagai sesuatu yang unik.

Salah satu perkara pertama yang anda akan perhatikan apabila melawat Mafi Dove ialah ketiadaan haiwan. Selain daripada burung liar yang terbang di atas, hampir tiada seekor haiwan pun yang berada di kampung ini.

mafi dove 2

Menternak atau membela haiwan di sini adalah dilarang sejak daripada dahulu lagi dan peraturan itu mungkin tidak akan berubah dalam masa terdekat. Apa yang menariknya, membawa masuk haiwan ke dalam kampung dan menyembelihnya pada hari yang sama adalah dibenarkan.

Perkara kedua yang anda dapati di kampung Mafi Dove ini adalah kurangnya tanah perkuburan. Apabila salah seorang penduduk mati, mayat mereka akan dibawa ke tanah perkuburan perkampungan berhampiran.

Perkara ketiga dan terakhir ialah, hampir semua penghuni di Mafi Dove tidak dilahirkan di sini. Ini kerana melahirkan anak merupakan pantang larang kampung itu.

Oleh itu, wanita yang sarat mengandung akan dibawa ke kampung berhampiran atau bandar berdekatan. Mereka akan tinggal di sana sehingga melahirkan anak dan jatuhnya tali pusat bayi mereka. Selepas itu barulah mereka dibenarkan untuk pulang ke Mafi Dove.

penduduk mafi dove

Oleh kerana kelahiran bayi pramatang akan meningkatkan risiko seseorang wanita itu melanggar pantang larang di Mafi Dove, tidak hairanlah sekiranya ibu yang hamil dihantar keluar daripada kampung satu atau dua bulan sebelum mereka dijadualkan untuk bersalin.

Lebih malang lagi ialah, terdapat kes di mana wanita yang sarat mengandung terpaksa dibawa keluar daripada kampung walaupun dalam keadaan kesakitan atau bayi menderita akibat komplikasi kelahiran.

Pantang larang pelik Mafi Dove ini ada kaitannya dengan pengasas kampung itu, seorang pemburu bernama Togbe Gbewofia Akiti. Menurut orang-orang tua di kampung itu, kisah itu bermula ketika Akiti mula-mula menjejakkan kaki di tanah di mana terletaknya Mafi Dove.

Akiti terdengar suara dari langit yang memberitahunya bahawa tanah itu adalah tempat suci. Sekiranya dia dan orang-orangnya ingin menetap di sana, mereka haruslah mematuhi tiga peraturan iaitu tiada binatang ternakan, tiada pengebumian dan tiada kelahiran anak.

Penduduk-penduduk Mafi Dove mendakwa, disebabkan mereka mematuhi pantang larang itu maka kampung mereka bebas daripada pertumpahan darah, jenayah dan sebagainya. Walaupun menyembelih haiwan dan wanita datang haid boleh berlaku di kampung itu tetapi mereka berbangga dengan pantang larang yang dikenakan.

Namun, orang-orang tua kampung itu berkata ia adalah mustahil untuk mencegah kelahiran bayi di situ seratus peratus. Mereka mengaku bahawa terdapat sebilangan kes kecil bayi dilahirkan di kampung itu.

Walau bagaimanapun, kes terpencil sebegini harus ditangani dengan betul agar tidak menaikkan kemarahan tuhan-tuhan mereka. Keluarga ibu yang melahirkan anak itu perlu memaklumkan kelahiran itu supaya orang-orang tua dapat melakukan ritual bagi membersihkan kampung itu dan menyenangkan tuhan-tuhan mereka.

Walaupun melahirkan anak adalah dilarang tetapi mereka yang tidak sengaja tidak pernah dihukum oleh masyarakat setempat. Mereka percaya bahawa jika ibu-ibu melanggar peraturan kuno ini, risiko adalah tinggi untuk mereka melahirkan bayi tidak normal. Namun, setakat ini tiada rekod bahawa bayi yang dilahirkan dalam kampung itu cacat atau tidak normal. 

klinik bersalin mafi dove

Klinik bersalin di pinggir kampung Mafi Dove yang baru dibina

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai wanita telah mencabar pantang larang ini dan menuntut supaya bayi mereka dilahirkan di kampung itu tanpa disisih masyarakat tetapi golongan orang-orang tua masih tidak bersetuju.

Golongan orang-orang tua di sana percaya bahawa menghormati tradisi lama adalah penting untuk memastikan keselamatan dan kemakmuran kampung Mafi Dove dan penduduknya terjamin.

Walaupun berkeras, golongan orang tua Mafi Dove berkompromi dan bersetuju untuk membina sebuah klinik bersalin di pinggir desa supaya wanita mengandung dapat melahirkan bayi tidak jauh daripada rumah mereka.

Rujukan: 

1. Pulse

2. This Is Africa

3. BBC




Hakcipta iluminasi.com (2017)