Apabila memperkatakan tentang Afrika, kebanyakan daripada kita pasti membayangkan keadaan negara-negaranya yang serba daif dimana rakyatnya hidup dalam kemiskinan dan jauh daripada kemajuan teknologi.

Walau bagaimanapun, itu hanyalah sebuah persepsi dan tanggapan yang salah. Sebelum ini, pihak Iluminasi juga pernah menulis beberapa salah faham mengenai Afrika. Kebanyakan salah faham ini berpunca daripada gambaran yang diberikan oleh pihak media terutamanya media Barat.

Dalam banyak-banyak bandar di Afrika, terdapat sebuah bandar yang terkenal kerana kebersihan bandarnya. Pada awal tahun ini dalam sebuah Forum Ekonomi Dunia di Switzerland, Ketua Program Alam Sekitar Kesatuan Eropah (U.N. Environment Programme) telah mengiktiraf Kigali sebagai antara bandar terbersih di dunia, baik daripada segi kebersihan kawasan bandar dan juga inisiatif-inisiatif yang diambil untuk memelihara kebersihan dibandar tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apakah faktor yang membolehkan bandar Kigali yang terletak di negara Rwanda ini menjadi begitu bersih sehingga mendapat perhatian daripada masyarakat dunia?

1. Mengharamkan penggunaan plastik yang tidak boleh biodegrasi

Dimana-mana bandar di dunia, plastik merupakan sumber utama sampah sarap. Lagi malang, kebanyakan plastik ini tidak boleh dikitar semula dan sukar untuk dilupuskan. Di Kigali, plastik yang tidak boleh terbiodegradasi secara semulajadi (non-biodegradable) telah diharamkan sejak tahun 2008.

Banyak pemerhati memberi pendapat ini merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada kebersihan bandar ini. Pengurangan penggunaan plastik juga telah dipraktikkan di negara luar seperti Kanada yang mengenakan bayaran untuk setiap beg plastik yang diberikan.

2. Umuganda - Kerja Komuniti

umuganda gotong royong

Negara seperti Rwanda mempunyai sejarah konflik saudara yang panjang. Bagi membina hubungan antara penduduk setempat, Umuganda diperkenalkan. Umuganda boleh diertikan sebagai aktiviti gotong-royong dan servis komuniti yang diadakan pada hari Sabtu terakhir setiap bulan.

Setiap penduduk yang berumur 18 hingga 65 tahun diwajibkan untuk menyertainya. Setiap penduduk yang terlibat akan bekerjasama membersihkan kawasan sekitar, memotong rumput, membaiki kemudahan awam dan apa-apa sahaja yang dirasakan perlu untuk memeliharan kebersihan dan kemakmuran di Kigali.

3. Perancangan semula bandar

kawasan industri afrika

Usaha menjadikan Kigali sebagai bandar yang bersih bukanlah mudah dan memerlukan transformasi yang drastik. Antara tindakan yang telah dilakukan adalah membuat perancangan semula bandar Kigali. Pada tahun 2013, pihak berkuasa tempatan telah merangka satu pelan besar-besaran untuk mengurangkan kesesakan trafik dan memudahkan capaian sosial di bandar Kigali.

Sebanyak $76 juta telah diperuntukkan untuk membaiki dan melebarkan jalan dan sistem perparitan, menambah papan tanda dan menambah baik sistem pengangkutan awam. Selain itu $40 juta diperuntukkan untuk memindahkan kilang-kilang daripada kawasan bandar ke kawasan perindustrian baru.

4. Kerja pembersihan dilakukan 24jam setiap hari

kontraktor pembersihan afrika

Pihak kerajaan sangat-sangat serius dalam penjagaan kebersihan di bandar ini. Syarikat kontraktor yang diberikan kontrak bagi menjaga kebersihan bandar ini diarahkan melakukannya 24 jam setiap hari. Gaji yang kompetetif juga diberikan agar pekerja melakukannya dengan bersungguh-sungguh.

Selain itu, setiap kontrak yang diberikan hanya terhad maksimum untuk 3 tahun bagi sesebuah syarikat. Kontrak yang diberikan itu pula akan ditelititi dan diperbaharui setiap tahun bagi memastikan setiap kontraktor yang dilantik menjalankan tugas mengikut kontrak yang telah ditandatangani.

5. Denda bagi yang mencemar dan merosakkan alam sekitar

kigali bandar bersih

Usaha mentransformasi bandar Kigali hanyalah sia-sia tanpa undang-undang untuk memeliharanya. Oleh itu, pihak berkuasa telah menggazetkan undang-undang yang memboleh pesalah yang membuang sampah merata-rata dikenakan bayaran denda yang tinggi.

Denda ini juga dikenakan kepada pesalah yang didapati membuang air kecil merata-rata di tepi jalan dan kaki lima, serta yang didapati merosakkan pokok-pokok hiasan yang telah ditanam di sekitar bandar.

Kredit:

  1. Quartz
  2. Reuters
  3. KT Press
  4. TransConflict



Hakcipta iluminasi.com (2017)