Di seluruh dunia, kewujudan sesebuah masjid dapat dibuktikan dengan binaan seperti minaret, kubah dan pelbagai dekorasi pada dinding. Elemen rekabentuk ini berasal daripada pengaruh orang Arab Islam yang telah bermigrasi dan meluaskan kuasa di serata dunia.

Walau bagaimanapun, di kawasan-kawasan di mana penyebaran Islam lebih beransur-ansur dan perlahan yang dibawa oleh peniaga dan pedagang, seni bina masjidnya mempunyai lebih banyak unsur rekabentuk tempatan. Keadaan ini sesuai dengan kemahiran penduduk tempatan dan sumber bahan utama untuk membina masjid.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Hal ini dapat dilihat dengan jelas pada rekabentuk unik kebanyakan masjid lama yang terdapat di bahagian Afrika Barat. Rekabentuk masjid disini pelbagai, ada masjid yang hanya mempunyai dewan solat tanpa bumbung.

Dibina daripada tanah liat dan kayu

baiki masjid

Kredit: Ralf Steinberger/Flickr

Namun, satu elemen unik yang terdapat di kebanyakan masjid disini adalah penggunaan tanah liat dan penggunaan kayu sokongan bagi membina bahagian utama masjid. Penggunaan tanah liat dan kayu sokongan ini menjadikan masjid-masjid disini kelihatan seperti sebuah kubu pertahanan.

Kayu sokongan ini yang dikenali sebagai toron juga berfungsi sebagai perancah yang memegang struktur utama masjid ketika proses membaik pulih diadakan setiap tahun. Selain itu, kayu-kayu ini juga dianggap seperti dekorasi yang memberi keunikan pada rekabentuk masjid ini.

Sesebuah masjid kebiasannya akan mempunyai sebuat minaret, bumbung yang rata dan kawasan halaman yang luas. Lantainya pula biasa hanya pasir yang akan dibentangkan tikar sembahyang. Selain itu, pencahayaannya pula menggunakan cahaya semulajadi yang masuk melalui lubang-lubang kecil yang terdapat pada siling.

Kemegahan Masjid Besar Djenne di Mali

masjid djenne mali tanah liat afrika

Kredit: Marco Dormino/Flickr

Antara masjid popular yang masih mempunyai rekabentuk unik ini adalah Masjid Besar Djenne di Mali. Walaupun strukturnya kini sudah berusia hampir 100 tahun, masjid ini sebenarnya sudah wujud sejak abad ke 13 lagi. Bangunan ini rosak teruk pada awal abad ke 19 dan menjelang akhir abad ke 19, masjid ini tidak lagi digunakan.

Walau bagaimanapun, selepas tentera Perancis menguasai Djenne, pihak kerajaan yang baru telah mengambil keputusan untuk membina semula masjid ini tanpa menggunakan sedikitpun pengaruh rekabentuk daripada Perancis.

Seorang wartawan Perancis, FĂ©lix Dubois yang  melawat masjid ini selepas ianya dibina semula mengatakan rekabentuknya seperti seekor landak dan sebuah gereja. Walau bagaimanapun, seorang sejarawan Amerika bernama Jean-Louis Bourgeois mengatakan masjid ini mempunyai rekabentuk asal orang Afrika dan unsur rekabentuk Perancis terlalu sedikit padanya.

Insprasi kepada rekabentuk masjid tempatan

masjid larabanga

Walaupun terdapat beberapa percanggahan pendapat mengenai asal-usul rekabentuk masjid ini, masjid ini telah menjadi begitu ikonik di bahagian Afrika Barat sehingga banyak masjid-masjid kecil yang dibina di sesetengah kawasan di Afrika telah mengambil inspirasi daripada rekabentuknya.

Masjid Larabanga yang terletak di kawasan perkampungan Larabanga, Ghana adalah salah satu contoh rekaan masjid yang mengambil inspirasi daripada rekabentuk masjid di Djenne. Masjid ini juga mendapat jolokan "Mekah Arika Barat" dan merupakan masjid tertua di Ghana dan antara yang tertua di Afrika Barat.

Struktur utama masjid ini dibina menggunakan tanah liat dan buluh. Terdapat dua buah menara yang berbentuk seperti piramid. Di beberapa kawasan di Ghana dan Mali, beberapa masjid dengan rekabentuk ini dapat dilihat dan masih wujud sehingga ke hari ini.

Kredit:

  1. Khan Academy
  2. Wikipedia
  3. Wonders & Marvels



Hakcipta iluminasi.com (2017)