Pengaruh industri perfileman Hollywood ke serata dunia, menyaksikan pembikin filem luar gemar meniru dan mengamalkan pendekatan yang digunapakai Hollywood dalam menambahbaik mutu filem yang ada.
Kelebihan aspek kesan visual dan teknologi yang digunapakai, dicemburui penggiat seni luar - kecuali kreativiti menghasilkan jalan cerita yang bersifat universal. Hollywood juga ada masanya seakan kekeringan idea, sehingga 'mencedok' filem luar untuk diolah semula.
BESARKAN TEKS A- A+
Beberapa buah filem legenda keluaran Asia telahpun melalui proses ini; kualiti filem yang terhasil bercampur-baur mutunya. Ada yang baik, mampu menandingi filem asal, ada juga yang layak dikeji kerana hanya mencemarkan legasi yang ada.
Berikut adalah lima filem copy ori keluaran Hollywood, yang dicedok dari pembiki filem di kalangan masyarakat Asia.
1. Oldboy (Korea Selatan)
Bagi mereka yang menggemari filem aneh, 'Oldboy' terbitan pengarah Korea Selatan, Park Chan-wook kerap menjadi sebutan. Tema yang dibawa filem ini, aksi serta jalan ceritanya sukar dilupakan serta mampu membuatkan anda mual - walaupun sudah hampir 20 tahun usia filemnya.
10 tahun selepas terbitannya di Korea Selatan, pengarah terkenal Spike Lee diberi tanggungjawab mengolah semula filem ini ke dalam versi mesra Hollywood, menampilkan Josh Brolin (Thanos dalam 'Avengers') dan Elizabeth Olsen (Scarlett Witch/Wanda Maximoff juga dalam siri dunia Marvel) sebagai dua pemegang watak utama.
Kami tak mahu menceritakan apa yang ditayangkan dalam filem ini, kerana sebarang kebocoran akan mengakibatkan anda tidak dapat menikmati impak sebenarnya - tetapi jika anda mahu menonton, sila pilih versi asal Korea Selatan.
Perubahan kepada jalan cerita yang diperkenalkan dalam versi Hollywood agak membodohkan penonton, jika kita bandingkan dengan versi Korea Selatan yang lebih halus dan tersirat kisahnya.
Dikritik hebat gagal menambahbaik versi asal dan hanya mencacatkan status legenda filem 'Oldboy' sebenar, versi Hollywood-nya nyata sebuah projek yang agak gagal walaupun mempertaruhkan pengarah yang berwibawa.
- Skor versi asal: 82%
- Skor versi Hollywood : 39%
2. The Departed (Hong Kong)
Sekiranya tidak diberitahu, besar kemungkinan tak ramai menyedari 'The Departed' yang membariskan Leonardo DiCaprio dan Matt Damon, adalah olahan semula filem Hong Kong, 'Infernal Affairs', yang dibintangi dua nama besar di sana iaitu Andy Lau dan Tony Leung.
Membawakan tema yang serupa berkaitan kewujudan dua perisik - seorang ahli kongsi gelap yang diberikan tugas untuk menyelinap ke dalam jabatan polis dan seorang lagi anggota polis yang menyamar sebagai ahli kongsi gelap, kedua-dua buah filem dilihat berjaya walaupun memaparkan latar belakang yang sangat berbeza.
Pengarah 'The Departed', Martin Scorsese bijak memperkembangkan watak yang diperkenalkan dalam filem asal dengan lebih baik, meletakkan dua watak utamanya dalam situasi yang lebih realistik berbanding 'Infernal Affairs' yang agak pantas pergerakan ceritanya.
Bagi penulis, dari segi teknikalnya jelas perbezaan ketara kualiti gambaran Hollywood yang lebih kompleks serta mempunyai identiti yang sendiri, memberikan 'The Departed' identiti yang unik sehingga mampu berdiri sendiri sebagai karya asli.
Apa yang jelas, kedua-dua filem cukup hebat dan menghiburkan yang berbeza budayanya, tetapi kelebihan teknikal Hollywood memberikan mereka kelebihan khususnya dalam bidang suntingan yang lebih tersusun dan kemas paparannya.
- Skor versi asal: 94%
- Skor versi Hollywood : 90%
3. The Ring (Jepun)
Ketika kedengaran ura-ura Hollywood mahu menerbitkan semula olahan filem seram legenda Jepun 'Ringu' atau 'The Ring' dalam versi mereka, banyak pihak menyuarakan kebimbangan.
Ringu' sangat mirip dengan kisah seram dongeng masyarakat Jepun. Apabila sesuatu filem itu sudah sangat sinonim dengan imej sesebuah masyarakat, sebarang usaha menukarkannya ke satu budaya berbeza pasti akan kelihatan janggal hasilnya.
Namun hasil olahan semula filem 'Ringu' layak dipuji kerana bukan saja berjaya mengekalkan jalan ceritanya dalam konteks yang berlainan, bahkan turut sama memperhalusi beberapa elemen yang longgar dalam filem asalnya.
Seperti 'The Departed' dengan 'Infernal Affairs', anda takkan kecewa selepas menonton mana-mana versi sama ada 'Ringu' atau 'The Ring' kerana olahan semulanya boleh dikatakan berjaya, walaupun elemen sosial dan tradisi Jepun diubah supaya lebih mesra masyarakat Amerika.
Sama ada anda lebih takutkan Sadako atau Samara, itu terpulanglah kepada penilaian anda.
- Skor versi asal: 98%
- Skor versi Hollywood : 71%
4. Ghost in the Shell (Jepun)
Filem animasi 'Ghost in the Shell' yang diterbitkan pada tahun 1995, diarahkan oleh Mamoru Oshii banyak mencorak penghasilan karya filem dan drama genre sains fiksyen, khususnya yang memaparkan elemen manusia robot di dalamnya.
Gagal mendapat sambutan semasa tayangan awalnya, filem yang digarap berdasarkan siri komik dengan judul serupa ini akhirnya diangkat sebagai pencorak pemikiran pengkarya sehingga menjadi salah satu filem animasi berpengaruh dalam industri filem antarabangsa.
Bagaimanapun....olahan semula filem ini dalam versi sebenar yang cuba mengekalkan tema sama hancur lebur, walaupun membariskan pelakon terkenal Scarlett Johansson sebagai pemain watak utama.
Visual dan aksi yang dipaparkan memang mengagumkan namun jalan cerita yang dibawa kurang kemas - sehinggakan penceritaan duduk di tempat kedua, dilihat kurang penting jika dibandingkan dengan kecantikan visual yang ada.
Perubahan penamat ceritanya yang jauh lari dari visi asal hanya membuatkan peminat filem asalnya meradang.
Sekiranya anda bukan peminat setia filem asal atau siri komik asalnya, 'Ghost in the Shell' versi Hollywood tetap dapat menghiburkan anda, asalkan anda tak peduli apa sebenarnya mesej yang cuba nak dibawakan penggarapnya.
- Skor versi asal: 97%
- Skor versi Hollywood : 48%
5. Shutter (Thailand)
Ketika awal dekad 2000, industri filem Thailand seakan mempunyai nafas baru dalam penghasilan filem seram. Banyak judul mereka popular di kalangan masyarakat kita.
Salah satu judul yang popular dan diingati, adalah filem 'Shutter' yang ditayangkan pada tahun 2004. Olahan semula Hollywood diterbitkan pada tahun 2008, mengekalkan judul sama.
Kedua-dua filem membawakan premis serupa di mana pasangan watak utama mula berdepan kejadian aneh, selepas terlanggar seorang gadis dalam satu insiden kemalangan jalan raya. Cubaan mencari mangsa kejadian tidak menemui sebarang jejak.
Bertugas sebagai jurufoto, watak utama lelaki dalam filem ini mula mendapati kewujudan objek aneh dalam gambar yang telah diambilnya. Bimbang disampuk sesuatu, kedua-duanya mula menjalankan siasatan bagi mengenalpasti apakah punca gangguan yang sedang menimpa hidup mereka.
Secara teknikalnya, filem olahan semula Hollywood mendahului dari segi aspek teknikalnya, namun kesamaran kualiti dan kekaburan visual filem asalnya memberikan filem Thailand asal tona yang mampu mengganggu firasat penonton.
Pengkritik rata-ratanya bersetuju versi asalnyalebih kuat, kerana olahan semula Hollywood langsung tidak membawa sebarang penambahbaikan serta gagal memperkemaskan asas yang sudah kuat dalam filem asalnya.
Jika anda belum menonton 'Shutter', cari versi Thailand dan hindari dari sebarang spoiler. Kisahnya mungkin kurang kemas namun premisnya tetap menghantui jika dibandingkan dengan versi Hollywood yang entah apa-apa.
Tak percaya cuba tanya mereka yang dah menontonnya, adakah mereka masih fobia dengan cermin dan kamera?
- Skor versi asal: 63%
- Skor versi Hollywood : 9%