Oleh pada 18 Oct 2021 kategori

Di kejiranan Bel-Nor di St. Louis, Missouri, terdapat sebuah rumah ala-ala kolonial British yang terletak di jalan Roanoke Drive. Rumah itu kelihatan biasa dari luarannya tetapi mempunyai kisah menyeramkan yang menjadi legenda di seluruh Amerika.

linda blair 1 696x442

Rumah itu pernah didiami oleh seorang budak yang dikenali sebagai Roland Doe atau nama sebenarnya ialah Ronald Hunkeler. Kisah Roland Doe menjadi inspirasi kepada novel dan filem seram The Exorcist. Berikut adalah kisahnya.

Kehidupan Ronald Hunkeler aka Roland Doe

Keluarga Hunkeler adalah keluarga Jerman Amerika yang tinggal di kawasan pinggiran bandar di Washington, D.C. Pada tahun 1949, Ronald Hunkeler yang berusia 14 tahun begitu sedih di atas kematian ibu sauradanya bernama Harriet.

Harriet adalah seorang yang spiritual dan mengajarkan banyak perkara kepada Roland termasuklah bagaimana menggunakan Papan Ouija (alat menyeru roh).

ronald hunkeler

Ronald Hunkeler

Tidak lama selepas kematian ibu saudaranya, Ronald mula mengalami pelbagai kejadian pelik. Dia mendakwa mendengar pelbagai bunyi pelik daripada lantai dan dinding biliknya. Ibu bapanya juga hairan apabila air mula meleleh keluar daripada dinding bilik tanpa penjelasan munasabah.

Paling membimbangkan apabila katil dan tilamnya bergerak secara sendirinya. Keluarganya terdesak untuk  mendapatkan bantuan dan mereka berjumpa doktor serta pakar psikiatri tetapi masalah yang dihadapi Ronald tidak juga selesai.

Mereka kemudian dicadangkan untuk berjumpa dengan ahli agama. Mereka kemudian berjumpa dengan paderi Katolik tempatan bernama Father E. Albert Hughes. Paderi itu meminta keiizinan ketuanya untuk melakukan exorcism atau upacara menghalau hantu dan dia mendapat kebenaran.

Upacara menghalau hantu Ronald Hunkeler

Pada upacara pertama, paderi itu mengikat Ronald di katilnya dan memulakan bacaan mantera. Namun, Father Hughes terpaksa menghentikan upacara apabila Ronald mematahkan satu tiang katil dan memukulnya di bahu paderi itu.

william bowdren

Paderi William Bowdern

Beberapa hari kemudian, terdapat kesan cakar berwarna merah muncul di badan Ronald. Salah satu kesan cakar itu membentuk perkataan "LOUIS". Ibu Ronald mengatakan bahawa dia mempunyai ramai saudara di St. Louis dan percaya bahawa anaknya boleh diubati di sana.

Salah seorang sepupu Ronald yang belajar di Universiti St. Louis telah memperkenalkan keluarga Hunkeler dengan dua orang paderi bernama Walter H. Halloran dan William Bowdern di St. Louis. Mereka bersetuju untuk melakukan upacara exorcism ke atas Ronald.

Mereka kemudian menemui keluarga Hunkeler di kediaman mereka di Roanoke Drive pada awal Mac 1949. Mereka juga mengalami kejadian sama apabila mendapat badan Ronald dipenuhi calar baru dan katilnya bergerak dengan sendiri seperti yang berlaku di Washington.

Corak kelakuan Ronald

Menurut laporan kedua-dua paderi itu, mereka mendapati terdapat corak dalam perangai Ronald walaupun pelbagai perkara pelik berlaku. Ronald kelihatan tenang pada waktu siang. Apabila tiba waktu malam, budak lelaki itu akan menunjukkan kelakuan pelik seperti menjerit dan bertindak ganas.

babak the exorcist

Babak filem The Exorcist

Ronald juga seperti berada dalam keadaan dirasuk dan mula bercakap dalam suara yang garau. Paderi itu juga mendakwa beberapa objek bergerak secara misteri ketika Ronald dirasuk. Ronald juga akan bertindak ganas jika melihat objek exorcism seperti salib dan sebagainya.

Beberapa butiran kejadian benar ini dimasukkan ke dalam filem The Exorcist tetapi banyak lagi sebenarnya yang tidak difilemkan.

Paderi Bowdern turut melihat tanda "X" muncul di dada Ronald. Mereka percaya simbol "X" itu merujuk kepada nombor 10 dalam bahasa Roman. Mereka percaya Ronald dirasuki oleh 10 jenis syaitan.

Dalam kejadian lain, mereka mendakwa beberapa garis merah di paha Ronald bergerak perlahan-lahan turun ke buku lalinya. Kejadian pelik ini berlaku hampir setiap malam lebih daripada sebulan.

Melakukan upacara exorcism di hospital

Walaupun kedua-dua paderi itu tidak berputus asa dan melakukan exorcism setiap malam, mereka diuji dengan lebih berat lagi selepas itu. Ronald mula kencing di seluruh katilnya dan menyumpah-seranah paderi-paderi itu.

hospital alexian brothers

Hospital Alexian Brothers

Ibu bapa Ronald sudah tidak tahan dengan keadaan itu telah membawa anak mereka ke Hospital Alexian Brothers di St. Louis untuk rawatan yang lebih serius.

Akhirnya pada 18 April 1949, sesuatu yang "ajaib" berlaku kepada Ronald. Apabila dia terjaga dari tidur, Ronald terkena sawan sambil menjerit kepada paderi dengan mengatakan Syaitan akan sentiasa bersamanya. Paderi itu terus membacakan mantera dan menggunakan simbol salib untuk merawat Ronald.

Pada malam harinya, Ronald yang dirasuk menjadi sedar dan mengatakan kepada paderi-paderi itu bahawa syaitan yang merasuknya telah hilang. Menurut Paderi Bowdern dan Halloran, kejadian pelik tidak lagi berlaku selepas itu dan Ronald Hunkeler meneruskan hidup seperti biasa.

Bilik di hospital yang diduduki Ronald itu kemudian dikunci dan ditutup selama-lamanya sehinggalah Hospital Alexian Brothers dirobohkan pada 1978.

Menjadi inspirasi novel dan filem

Kisah Ronald itu kemudian diterbitkan oleh akhbar The Washington Post pada Ogos 1949 berdasarkan buku rekod yang ditulis oleh kedua-dua paderi itu.

rumah ronald henkeler

Rumah yang pernah didiami Ronald Hunkeler di St. Louis

Walaupun maklumat mengenai kejadian itu diceritakan secara terperinci tetapi akhbar itu tidak menyatakan nama sebenar. Mereka sebaliknya menggunakan nama samaran Roland Doe. Kisah Roland Doe itu tidaklah begitu popular sehinggalah 20 tahun kemudian.

Pada 1971, seorang penulis bernama William Peter Blatty menulis buku seram berjudul The Exorcist berdasarkan kisah Roland Doe dan diari peribadi yang disimpan Bowdern dan Halloran. Buku itu menjadi buku paling laris selama 54 minggu sehingga ia difilemkan pada tahun 1973.

Filem The Exorcist menjadi salah satu filem seram paling popular dalam sejarah. Walaupun mengambil kebanyakan butiran mengenai kerasukan Ronald tetapi filem itu menokok tambah supaya kelihatan lebih menarik.



Hakcipta iluminasi.com (2017)