Oleh pada 12 Aug 2021 kategori

Kredit foto: Instagram @izzar

 

Suami kepada pelakon Ummi Nazeera, Dr. Izzar Anwari, aktif berkongsi informasi berguna tentang pandemik Covid-19 di akaun Instagram miliknya.

 

Menurutnya, peningkatan kes positif Covid-19 kini semakin membimbangkan, apatah lagi jika melibatkan individu rapat dalam keluarga dan kenalan.

 

"Jika anda positif Covid-19, tidak bergejala dan tidak berisiko tinggi, anda tidak perlu ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) untuk membuat penilaian kesihatan dan menjalani kuarantin di rumah sahaja.

 

"Tetapi, ini tidak bermakna keadaan anda tidak akan bertambah serius. Tambahan pula dengan wujudnya varian Delta," tulisnya.

 

 

Selain memantau gejala di rumah, perkara lain yang sangat penting untuk dipantau ialah oksigen dalam darah (SpO2), kadar denyutan nadi, tekanan darah dan suhu badan.

 

Keempat-empat perkara ini boleh diukur sendiri di rumah jika anda mempunyai alatnya.

 

"Bagi saya, anda wajib mendapatkan pulse oximeter untuk mengukur oksigen dalam darah dan kadar denyutan nadi; blood pressure monitor; dan termometer untuk mengukur suhu badan.

 

"Tidak kisah anda positif atau tidak, beli sekarang 3 alat ini. Belikan untuk ibu bapa sekali," nasihatnya.

 

 

Dengan ini, anda dan petugas kesihatan boleh mengetahui status kesihatan anda dengan lebih tepat supaya tindakan awal dan segera boleh dilakukan sebelum terlambat.

 

"Ada kes yang tidak tahu pun dia positif. Kemudian, masuk hospital sudah CAT4 atau CAT5.

 

"Ada yang kuarantin di rumah mula-mula CAT1. Kemudian, tiba-tiba sudah CAT3 atau CAT4 apabila ke hospital," dedahnya lagi.

 

Beliau juga menasihatkan agar masyarakat terus kekal selamat dengan vaksinasi dan menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP).

 

Sumber: Instagram Dr. Izzar Anwari 




Hakcipta iluminasi.com (2017)