Oleh pada 02 Apr 2020 kategori

Satu isu patut mendapat perhatian masyarakat kita khasnya melibatkan individu yang beragama Islam, adalah berkenaan pengurusan jenazah individu yang telah meninggal dunia akibat wabak Covid-19.

Persoalan yang pasti bermain difikiran kita adalah bagaimanakah pengurusan jenazah seseorang pesakit itu perlu disempurnakan? Sedangkan kita berada dalam situasi di mana mayat seseorang masih lagi mampu menjangkitkan virus pada individu yang diperlukan menguruskannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adakah dia perlu diuruskan seperti biasa ataupun ada keringanan yang diberikan dalam urusan persemadian si mati? Mari kita belajar tentang isu.

Meninggal akibat Covid-19 syahid akhirat

jenazah syahid covid 19

Satu kenyataan yang dibuat oleh Presiden kepada Parti Islam Se-Malaysia atau PAS, Tuan Guru Dato' Abdul Hadi bin Awang menerusi laman Twitter rasmi beliau menyatakan bahawa mana-mana individu yang meninggal dunia disebabkan wabak Covid-19; layak dianggap meninggal dalam keadaan syahid akhirat.

Dalam penerangannya yang ditulis secara ringkas, beliau cuba menerangkan kepada pembaca tentang status individu yang meninggal dunia dalam keadaan syahid, dengan wujud beberapa kategori syahid yang diketahui.

Menurut beliau, terdapat 3 jenis syahid, iaitu syahid dunia dan akhirat, syahid akhirat dan syahid dunia.

Beliau meletakkan kumpulan individu yang meninggal akibat wabak Covid-19 sama dengan golongan individu yang meninggal dunia semasa menjalankan tugas bukan dalam berbentuk peperangan melawan musuh.

Hujah penyokong pandangan ini

syahid akhirat covid 19

Menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan dalam fatwa siri ke 473, memang benar ada dalil atau penghujahan yang menyokong pandangan status kematian pesakit akibat wabak sebagai syahid.

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dijadikan sandaran hujah berdasarkan kepada kitab Fathul Bari yang menyebut dua kategori mati syahid dengan tambahan satu lagi golongan berdasarkan kepada pandangan Imam al-Nawawi, seperti yang dinyatakan Dato' Abdul Hadi bin Awang.

Dalam konteks pandangan sarjana Islam, penyakit asal yang dirujuk bagi membenarkan pandangan ini adalah penyakit taun yang pernah melanda masyarakat dunia.

Dengan mengambil kira persamaan yang wujud antara wabak taun dan wabak Covid-19, wujud dalil yang menyokong pandangan bahawa sebarang bentuk wabak harus dinilai secara terbuka bukan hanya terhad kepada wabak taun sahaja.

Ini kerana wabak dilihat sebagai sejenis musibah yang menimpa masyarakat sehingga menyebabkan kematian, sama seperti kesan taun.

Oleh itu, pandangan yang dikeluarkan oleh pihak Mufti menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato' Abdul Hadi bin Awang tanpa perlu wujud sebarang keraguan berkenaan status jenazah.

Kenapa isu ini penting untuk diperjelaskan? Ini kerana hanya dengan mengetahui status syahid pesakit wabak, barulah kita tahu bagaimana urusan pengebumiannya.

Beza cara menguruskan jenazah syahid

jezanah covid 19 dikebumikan

Dalam urusan pengebumian jenazah pesakit Covid-19, telah wujud beberapa kekeliruan tentang cara dan kaedah yang perlu digunakan oleh mereka yang terlibat.

Satu insiden melibatkan waris kepada seorang mangsa Covid-19 bernama Hassan bin Abdul Wahab timbul, selepas pihak hospital meminta pihak waris menguruskan sendiri urusan mandi jenazah - sedangkan perkara itu sepatutnya perlu dilakukan oleh pihak hospital sebelum urusan pengebumian.

Salah faham ini timbul disebabkan oleh kekeliruan yang berlaku di pihak Jabatan Kesihatan Kelantan yang tidak jelas tentang prosedur sebenar kaedah pengebumian sepatutnya.

Tidak dapat dielak berlakunya kekeliruan apabila melibatkan isu sebegini. Jabatan Kesihatan Kelantan sendiri sudah mengeluarkan kenyataan maaf atas kesulitan yang berlaku.

Saranan pihak luar yang lebih mementingkan proses pembakaran mayat yang meninggal dunia akibat wabak, juga menjadi faktor utama kekeliruan masih terjadi; kerana keperluan penyempurnaan jenazah orang Islam sudah pastilah berbeza.

Perbincangan tentang status syahid perlu dibangkitkan bagi menjelaskan bahawa keperluan untuk memandikan jenazah seperti biasa tetap ada - kerana status kematiannya dikategorikan sebagai syahid akhirat.

Seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan syahid dunia dan akhirat akibat perang mempertahankan Islam, jenazahnya tidak wajib disolatkan dan dimandikan, cukup sekadar dikebumikan. Ini berdasarkan kepada kisah yang terjadi selepas perang Uhud, di mana Rasulullah saw. mengarahkan agar tubuh semua pahlawan yang terkorban dikebumikan dalam keadaan mereka meninggal dunia.

Bagi pesakit yang meninggal akibat Covid-19, mereka masih wajib disempurnakan seperti mana-mana jenazah lain, dimandikan, dibersihkan, dikafankan, disolatkan sebelum dikebumikan.

Keringanan prosedur untuk mengurangkan risiko jangkitan

mayat covid 19 bungkus dengan plastik

Pada tahun 2015, Muzakarah Fatwa Kebangsaan telah pun mengeluarkan panduan yang patut menjadi garis panduan pengurusan jenazah akibat wabak di negara kita ketika ini.

Sekiranya urusan jenazah orang Muslim seperti biasa dirasakan berisiko tinggi akan menyebabkan jangkitan, pihak Mufti bersetuju bahawa keringanan terhadap proses itu dibenarkan - menerusi kaedah tayamum menggunakan debu atau tanah, kerana diyakini jauh lebih selamat berbanding menggunakan air.

Keringanan ini diberikan sempena melindungi pihak yang perlu menguruskan jenazah agar urusan pengebumian boleh dilakukan berdasarkan kepada kaedah paling rendah risiko. Tayamum pula hanya wajib dilakukan pada bahagian permukaan beg atau pembalut jenazah sahaja.

Kami harap artikel ini menjawab persoalan anda tentang dua isu - yang pertama, status kematian pesakit wabak masih lagi perlu dimandikan dan disempurnakan seperti biasa. Yang kedua, berdasarkan kepada risiko - proses memandikan jenazah boleh dilakukan secara tayamum agar tidak membahayakan petugas.

Sama-samalah kita doakan agar mereka yang meninggal dunia dikurniakan pahala syahid akhirat.

Rujukan

Covid-19: Jenazah meninggal dunia dimandi secara tayamum

Covid-19: Jenazah dikebumi tanpa talkin




Hakcipta iluminasi.com (2017)