siapa bakal dikenakan vaksin terawal di malaysia

Kredit foto : Channel News Asia

Hari ke hari, kita semakin hampir harapnya kepada solusi dalam menangani pandemik Covid-19 yang melanda.

Usaha pemvaksinan tampak sudah berkesan gerak usahanya dengan ujian-ujian klinikal berjaya menunjukkan keberkesanan yang diharapkan, membuatkan bilion manusia di seluruh dunia bersemangat untuk menjalani suntikan vaksinasi.

Bagaimanapun, disebabkan oleh barunya suntikan vaksin ini - jumlah dos yang ada sudah pastilah terhad. Apatah lagi program pemvaksinan ini diharapkan akan melibatkan seluruh penduduk bumi.

Jadi persoalan utama yang akan memerlukan keputusan dibuat adalah 'siapa yang patut diutamakan, dalam isu pemberian suntikan vaksin kelak?'

United Kingdom menjadi negara pertama meluluskan program vaksin

pfizer vaksin covid 19

Pada awal bulan Disember tahun 2020, United Kingdom mengumumkan mereka akan menjadi negara pertama di dunia meluluskan program pemvaksinan Covid-19 melalui penggunaan vaksin keluaran Pfizer/BioNTech - dijangka akan bermula minggu pertama atau kedua bulan itu.

Ada sebabnya kenapa UK menjadi negara terawal boleh bertindak meluluskan program pemvaksinan mereka.

Sejak beberapa bulan lepas, badan bebas pemantau kesihatan UK, Medicines and Healthcare Regulatory Agency atau MHRA telah pun diberikan sampel-sampel vaksin yang tersedia untuk tujuan ujian pengesahan, keberkesanan dan keselamatan.

Dengan melakukan ujian seiring dengan pembangunan vaksin, MHRA berjaya menjadi panel pemantau pembangunan vaksin sejak awal membolehkan mereka mempunyai keyakinan, untuk menjadi pihak terawal meluluskan pengedaran vaksin di situ.

Dalam merangka strategi untuk menjalankan pemvaksinan, satu jawatankuasa khas iaitu Joint Committee on Vaccination and Immunization (JCVI) mula bertindak sebagai perancang program vaksinasi.

JCVI menggunakan faktor umur sebagai keperluan utama, dengan vaksin akan diberikan keutamaan kepada mereka yang tinggal di rumah orang-orang tua termasuklah kumpulan pekerja yang menjaga golongan emas ini, sebagai fasa pertama.

Selepas itu program vaksinasi akan mula merangkumi individu-individu berumur 80 tahun ke atas serta petugas barisan hadapan dalam fasa kedua.

Dengan mengambil kira faktor usia, fasa ketiga dan seterusnya akan mula melibatkan pemvaksinan kumpulan-kumpulan besar mengikut kategori umur.

FasaKumpulan sasaran
1Individu di rumah jagaan orang tua dan pekerja rumah jagaan
2Individu 80 tahun ke atas, petugas barisan hadapan
3Individu 75 tahun ke atas
4Individu 70 tahun ke atas dan kumpulan pesakit kritikal
5Individu 65 tahun ke atas
6Kumpulan pesakit kritikal 16 ke 64 tahun
7Individu 60 tahun ke atas
8Individu 55 tahun ke atas
9Individu 50 tahun ke atas
Disebabkan oleh jumlah dos yang terhad, setakat ini keutamaan diatur sedemikian rupa dengan kumpulan individu sihat UK yang berusia bawah usia 50 tahun belum lagi diletakkan dalam kategori penerima.

Hanya selepas selesai 9 fasa pertama ini, program vaksinasi di UK akan diteruskan melibatkan kumpulan-kumpulan yang belum disenaraikan.

Siapa yang sepatutnya diutamakan?

kawasan isolasi covid 19

Langkah yang diperkenalkan oleh kerajaan UK dengan mengambil kira faktor usia sebagai penentu bagaimanapun tidak semestinya sesuai untuk semua negara.

Amerika Syarikat misalnya setakat ini masih sedang dalam fasa merancang kerangka program pemvaksinan mereka sendiri, meletakkan keutamaan utama pemvaksinan kepada petugas-petugas kesihatan negara mereka (pautan PDF) serta semua petugas barisan hadapan termasuklah golongan guru dan pekerja sekolah.

Badan Kesihatan Sedunia atau WHO pula telah mengeluarkan garis panduan bagi membantu negara-negara anggota dalam membangunkan kerangka program pemvaksinan dengan berkesan.

Saranan WHO yang mengambil kira faktor keterhadan jumlah dos hanya pada kadar 10% daripada keseluruhan populasi, meletakkan kumpulan pekerja kesihatan sebagai kumpulan utama yang perlu diberikan suntikan terawal (pautan PDF) sebelum kumpulan warga emas yang berisiko.

Dua kumpulan ini diletakkan dalam fasa pertama.

Fasa-fasa seterusnya pula menurut WHO, perlu merangkumi kumpulan usia lanjut yang tidak masuk dalam fasa terawal, mereka yang mempunyai masalah kritikal, kumpulan berisiko tinggi yang hidup dalam kelompok ramai seperti pekerja buruh kasar migran, pendatang asing yang terjejas situasi mereka, pelarian, guru sekolah dan golongan kurang upaya.

Hanya selepas majoriti golongan ini disuntik, barulah vaksin sepatutnya diedarkan untuk kegunaan kumpulan orang ramai yang tidak terjejas atau tiada risiko.

Bagaimana dengan rancangan Malaysia?

pasukan petugas barisan hadapan perubatan

Bagi negara kita, langkah-langkah pemvaksinan yang sedang kita ambil belum nampak lagi hala tujunya yang konkrit.

Kenyataan media oleh kerajaan kita yang bercampur-baur khasnya apabila melibatkan pemilihan vaksin turut sama menimbulkan kegelisahan; apatah lagi apabila wakil kerajaan kita juga tampak mempunyai pandangan yang berbeza-beza.

Ada yang condong ke arah China, ada yang condong ke arah pelaksanaan ala barat bagi program pemvaksinan.

Apa yang kita tahu setakat ini negara kita menjadi negara pertama Asia Tenggara membeli pakej vaksin Pfizer, yang dijangka akan meliputi kegunaan 20% populasi Malaysia dalam tempoh satu tahun.

Sementara itu 10% lagi vaksin kegunaan tempatan akan dibeli daripada penyertaan negara kita sebagai ahli kesatuan COVAX. Kita belum tahu berapa peratusan populasi mampu dilindungi dengan vaksin keluaran China, selepas negara kita turut sama menandatangani persetujuan membeli vaksin tersebut.

Pada ketika ini, 8 buah hospital di seluruh negara kita sedang menjalankan ujian klinikal tahap 3 vaksin yang dibangunkan oleh Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS) berpusat di Beijing; melibatkan lebih 3,000 peserta.

Besar kemungkinan kita hanya akan mengetahui lebih lanjut berkenaan penggunaan vaksin keluaran China, selepas ujian itu selesai dijangkakan pada 10 Disember 2020.

Siapa akan dapat keutamaan kalangan warga tempatan?

program vaksinasi pelajar sekolah

Dalam jawapan kepada soalan yang dikemukakan semasa sidang parlimen berkaitan perancangan Malaysia dalam merangka panduan keutamaan pemvaksinan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menjawab bahawa usaha itu sedang dijalankan namun belum dapat diwartakan lagi.

Daripada apa yang diperjelaskan, kita tahu bahawa program pemvaksinan besar-besaran di negara kita akan bermula pada suku pertama tahun 2021 dengan sasaran meliputi 3% populasi negara kita sebagai fasa paling awal.

3% itu pula akan meliputi petugas barisan hadapan daripada kalangan doktor, jururawat, polis, petugas penjara dan sebagainya sebelum diperkembangkan ke kumpulan-kumpulan lain dengan sasaran 70% rakyat Malaysia akan divaksinkan.

Bagaimanapun perkara ini masih belum muktamad kerana polisi ini masih digubal dan dijangka akan mengalami perubahan.

Secara konkrit kita sudah dimaklumkan; berdasarkan ucapan Perdana Menteri, vaksinasi Covid-19 akan diedarkan secara percuma tanpa kos dikenakan kepada seluruh warganegara Malaysia.

Program vaksinasi ini pula tidak mandatori, bersifat suka rela dan setakat ini, tidak akan dilakukan melalui program-program persekolahan seperti suntikan vaksinasi lain.

Dijangkakan pada penghujung tahun 2021, kerajaan Malaysia mensasarkan 20% daripada jumlah populasi kita sudah selamat menjalani vaksinasi - bergantung kepada jumlah bekalan dos yang kita terima.

Apa pandangan anda seandainya anda perlu menunggu bertahun-tahun lamanya untuk mendapatkan dos suntikan anda? Adakah itu sesuatu yang akan menimbulkan kegusaran pada anda?



Hakcipta iluminasi.com (2017)