wikipedia

Sekiranya anda menggunakan enjin carian Google untuk mencari maklumat di internet, besar kemungkinan carian teratas akan menunjukkan informasi daripada laman Wikipedia. 

Wikipedia adalah ensiklopedia terbesar di dunia dan boleh diakses secara bebas. Perkara ini hanya dapat dicapai kerana pengarang dan moderator yang tidak terhitung jumlahnya yang meluangkan masa dan tenaga mereka ke repositori pengetahuan ini.

Ya, sesiapa sahaja boleh menambah dan menyunting segala informasi yang dimuatkan dalam laman ini namun perlulah mengikut prosedurnya. Daripada ribuan penyumbang atau editor, terdapat seorang lelaki yang sangat menonjol iaitu Steven Pruitt yang telah menyunting lebih 3 juta artikel dalam laman ensiklopedia ini. 

Rekod suntingan terbanyak 

ensiklopedia wikipedia

Wikipedia kini mengandungi lebih dari 50 juta artikel dalam 296 bahasa. Hampir enam juta artikel terdapat dalam Wikipedia adalah dalam bahasa Inggeris, dengan Steven Pruitt merupakan individu yang memainkan peranan penting. Beliau secara seorang diri sahaja telah mengembangkan dan menyunting lebih dari tiga juta artikel. 

Daripada segi penulisan pula, beliau menulis lebih dari 35,000 artikel di laman ini. Jumlah yang banyak dan sungguh luar biasa ini menggambarkan betapa dedikasinya beliau, tanpa mendapat satu sen pun daripada setiap sumbangannya.

Namun, oleh kerana Wikipedia adalah salah satu laman web yang paling banyak dibaca di dunia, usaha sukarelanya ini sebenarnya turut mendapat perhatian global. Itulah yang difikirkan oleh Time Magazine dan sebab itulah mereka menamakan Steven Pruitt antara 25 orang paling berpengaruh di Internet pada tahun 2017.

Ini menjadikannya setaraf dengan Donald Trump, J. K. Rowling dan Kim Kardashian yang juga merupakan sebahagian daripada kumpulan eksklusif. Wikipedia berbahasa Inggeris mencatatkan 904 juta bacaan unik dalam 12 bulan terakhir, atau sekitar 2.5 juta setiap hari.

Rata-rata, 1.25 juta pembaca sehari, berkemungkinan menemui artikel yang telah disunting atau ditulis oleh Steven Pruitt. Disebabkan itulah sumbangan dan pengaruhnya terhadap laman ini sememangnya mempunyai impak tersendiri dan wajar mendapat pengiktirafan.

Siapakah Steven Pruitt?

makrifat wikipedia

Mungkin anda tertanya-tanya, siapakah individu yang bernama Steven Pruitt ini? Bagaimanakah beliau mempunyai begitu dedikasi untuk menyumbang begitu banyak masa dan keringat untuk sesebuah laman web yang langsung tidak membayarnya sesen pun?

Stephen Pruitt menulis di Wikipedia dengan nama samaran Ser Amantio di Nicolao. Nama samaran ini secara langsung menggambarkan minat keduanya selain Wikipedia kerana itu adalah nama watak dari opera Puccini, iaitu Gianni Schicchi.

Setelah pulang dari kerjanya sebagai penyelia dokumen di US Border Patrol di di San Antonio ke rumah ibu bapanya, lelaki berusia 34 tahun ini menumpukan hampir tiga jam sehari untuk menyunting artikel di Wikipedia. Bagi kebanyakan orang, ia kedengaran seperti perkara yang membebankan tetapi beliau menyukai rutinnya ini dan menganggapnya sudah menjadi kebiasaannya.

Sebelum menjawat jawatan sekarang, beliau mendapat pendidikan dari College of William & Mary di Williamsburg, Virginia di mana beliau lulus dalam bidang sejarah dan seni pada tahun 2006. Namun, kerana tidak mendapat pekerjaan pada mulanya, beliau akan menghabiskan masa setengah hari untuk menulis dan menyunting artikel si Wikipedia pada masa itu.

Persoalannya, mengapakah beliau begitu rajin meluangkan masa yang begitu lama untuk Wikipedia walaupun tidak dibayar?

Perkongsian ilmu untuk seluruh dunia

Menurut kenyataannya sendiri dalam "Ask Me Anything!" di Reddit, beliau menyatakan mengetahui kewujudan Wikipedia pada tahun 2001 sebelum beliau menyambung belajar pada tahun 2002. Setiap kali ingin mengetahui lebih banyak mengenai sesuatu topik, beliau dapat menyaksikan hasil carian daripada Wikipedia semakin hari semakin meningkat naik.

Pada awalnya beliau masih meragui kejayaan sebuah ensiklopedia di mana semua orang boleh mengambil bahagian untuk menyunting dan menyumbang artikel. Tetapi rasa ingin tahu berjaya mendorongnya dan beliau membuat akaun pertamanya untuk untuk turut sama berkongsi informasi dengan pengguna lain.

Artikel pertamanya adalah berkenaan dengan moyangnya, Peter Francisco, seorang Portugis yang berjuang dalam Perang Kemerdekaan dan memperoleh gelaran "Gergasi Revolusi". Disinilah segalanya bermula sebagai penyumbanng di Wikipedia dan beliau mulai mengintegrasikan pengetahuannya tentang sejarah seni dan muzik ke dalam Wikipedia.

Namun semakin banyak kajian yang dilakukannya di kolej, semakin banyak yang turut dikongsinya dalam laman ini. Beliau akan menulis tentang semua perkara yang menarik perhatiannya untuk berkongsi pengetahuannya dengan dunia. Pada tahun 2004, seorang rakannya mengatakan bahawa beliau sememangnya mempunyai keinginan tinggi untuk menyebarkan pengetahuan.

Sebaik sahaja belajar sesuatu yang baru, beliau akan segera menyampaikannya kepada orang lain. Sebagai sumber rujukan, Steven Pruitt suka menggunakan ensiklopedia lain untuk permulaan. Selain itu, beliau juga memanfaatkan sumber-sumber lain di Internet yang boleh dipercayainya agar dapat menyelidik suatu topik daripada segenap aspek.

Galakan untuk orang muda 

suntingan wikipedia

Sepanjang kariernya sebagai pengarang Wikipedia, beliau telah melihat nada masyarakat berubah terutamanya kepada penyumbang generasi muda. Beliau mahu melihat layanan yang lebih mesra terutamanya kepada generasi muda agar mereka dapat turut sama merasai keterujaan menyumbang di Wikipedia, sama seperti ketika beliau awal-awal dahulu.

Untuk menggalakkan lebih ramai orang muda untuk menulis dan menyunting di Wikipedia, sambil memastikan kualitinya dikekalkan, Steven Pruitt mengajar pengarang muda bagaimana menyunting artikel. Beliau mengajar kemahiran penting seperti mengenali topik yang relevan, mengekstrak informasi daripada sumber dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. CBS News
  3. Reddit


Hakcipta iluminasi.com (2017)