Wikipedia menyediakan jutaan artikel dalam pelbagai topik yang meluas kepada pengguna Internet dan kebiasaannya muncul sebagai keputusan pertama dalam enjin carian. Namun, kredibiliti dan kebolehpercayaan terhadap Wikipedia sering dipersoalkan untuk dijadikan sumber rujukan bagi dokumen berilmiah atau akademik.
Menurut Wikipedia sendiri, ada sesetengah artikel sangat berkualiti dan kredibel, manakala ada sesetengah yang lain hanyalah fakta sampah semata-mata. Jadi, pengguna sendiri perlu peka maklumat manakah yang benar dan yang mana adalah rekaan.
BESARKAN TEKS A- A+
Untuk membantu anda, kami berikan 10 lagi sebab mengapa anda tidak boleh terlalu mempercayai maklumat yang terdapat di Wikipedia:
10. Anda tidak boleh bergantung kepada satu sumber sahaja bagi maklumat yang penting
Semua orang melakukan kesilapan. Penulis jurnal akademik dan akhbar juga mempunyai bahagian "ralat" yang membetulkan mana-mana kesalahan dalam penulisan terdahulu. Malah, seorang penulis yang paling neutral juga adakalanya tersilap langkah semasa menulis. Jadi, anda perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa skeptikal dengan apa yang anda baca.
Anda perlu mencari kesahihan sesuatu fakta yang paling tepat serta menyeluruh dan tidak boleh terus bulat-bulat mempercayai perkara pertama yang anda baca di Wikipedia. Apatah lagi di blog-blog yang tidak diketahui sumbernya. Jadi, sentiasa semak maklumat yang anda jumpa dengan mencari beberapa sumber lain untuk kesahihan.
9. Anda tidak tahu siapa penulis yang menyumbangkan artikel di Wikipedia
Hanya beberapa orang sahaja editor dan penulis di Wikipedia yang menggunakan nama sebenar ataupun memberikan maklumat latar belakang mereka. Untuk membuat penilaian bagi sebarang maklumat di Internet, ada tiga perkara yang anda perlu titikberatkan. Pertama sekali, "Siapa yang menulis maklumat ini?" diikuti dengan "Mengapa mereka menulisnya?" dan "Bilakah ia ditulis?" Di laman web seperti Wikipedia, anda tidak boleh menjumpai maklumat sebegini.
8. Sesetengah penyumbang artikel mempunyai agenda tersembunyi
Pada bulan Mac 2009, seorang pelajar dari Ireland iaitu Shane Fitzgerald yang sedang menjalankan kajian ke atas Internet dan pengglobalisasian maklumat, dengan sengaja telah mereka satu artikel di Wikipedia tentang kematian seorang komposer Perancis bernama Maurice Jarre.
Disebabkan artikel itu tidak disertakan dengan sumber yang sahih, ia telah dibuang beberapa kali oleh editor namun Fitzgerald meneruskan penghantaran semula artikel ke laman itu sehingga akhirnya ia dibiarkan kekal.
Apa yang mengejutkan, beberapa akhbar besar telah mempercayai petikan tersebut dan menerbitkannya di halaman ucapan takziah sekali gus mengesahkan sangkaan Fitzgerald bahawa para wartawan menggunakan laman web dalam talian dan Wikipedia sebagai sumber yang sahih.
Fitzgerald kemudian telah menghantar e-mel kepada akhbar-akhbar tersebut dan memaklumkan yang berita itu adalah palsu. Jika dia tidak berbuat demikian, sudah pasti semua orang juga bakal tertipu.
7. Ada sesetengah individu yang mempunyai agenda berkuasa sebagai editor
Para admin di Wikipedia mempunyai kuasa untuk memadam, tidak membenarkan terbitan komen/artikel yang mereka tidak persetujui dan menyokong pandangan yang mereka luluskan.
Sebagai contoh, pada tahun 2003, seorang saintis dari England bernama William Connolley telah menulis dan mengedit lebih 5,000 artikel di Wikipedia dengan menyokong konsep perubahan iklim dan pemanasan global. Dia juga telah menyalahgunakan kuasa untuk memadam lebih 2,000 artikel lain yang tidak sealiran fahaman dengannya.
Menurut the Financial Post, semasa Connolley menjadi editor, secara tiba-tiba kisah Tempoh Panas Zaman Pertengahan hilang, begitu juga dengan kritikan ke atas ortodoksi pemanasan global. Sejak itu, Connolley tidak lagi dibenarkan menjadi admin Wikipedia, namun seorang penulis blog yakin bahawa dia masih menghantar artikel ke laman itu.
Pada tahun 2007, satu program baru diperkenalkan iaitu WikiScanner yang mendedahkan individu dengan konflik kepentingan yang pernah menulis atau mengedit artikel di Wikipedia. Kakitangan dari organisasi seperti CIA, Parti Demokrasi Kebangsaan dan Diebold sering mengedit maklumat untuk kepentingan majikan mereka.
6. "Perosak harta awam" akan mencipta entri yang berniat jahat yang tidak dibetulkan selama berbulan-bulan
Oleh sebab Wikipedia boleh diedit oleh sesiapa sahaja yang mempunyai talian Internet, maka pengguna juga boleh memalsukan fakta pada bila-bila masa. Walaupun kebanyakan ulasan palsu ini cepat dipadam, adakalanya mereka terlepas pandang dan maklumat itu dibiarkan untuk jangka waktu yang lama.
Misalnya, John Seigenthaler, bekas pembantu kepada Robert Kennedy telah "terlibat" dalam pembunuhan Kennedy bersaudara dalam biografi Wikipedianya selama lebih 100 hari tanpa pengetahuannya.
5. Tiada kepelbagaian demografi di kalangan penyunting
Satu tinjauan yang dilakukan oleh Yayasan Wikimedia pada tahun 2009 mendapati 87 peratus penyunting di Wikipedia adalah berjantina lelaki dengan usia purata 26.8 tahun. Menurut pengarah eksekutifnya, Sue Gardner, kebanyakannya datang dari Eropah dan Amerika Utara dan masih menuntut di institusi pengajian tinggi.
Meskipun majoriti editor ini tidak dinafikan pintar dan bersemangat untuk menaik taraf Wikipedia supaya menjadi lebih dipercayai, namun laman ini tidak menyediakan platform "pengetahuan manusia sejagat" tanpa perspektif yang luas daripada kumpulan editor yang pelbagai.
4. Bilangan penyunting Wikipedia yang aktif semakin berkurangan
Bilangan editor aktif yang menyumbang sekurang-kurangnya lima suntingan sebulan tidak berubah. Kami kurang pasti jika bilangan editor terkini masih boleh dikekalkan dan meneruskan pengemaskinian Wikipedia.
3. Penyumbang luar sukar untuk menyumbangkan maklumat atau artikel
Menurut Pusat Penyelidikan Palo Alto, sumbangan daripada penulis baru dan kasual sering tidak diterima jika dibandingkan beberapa tahun lalu. Hasilnya, kumpulan editor di peringkat tinggi ini mempunyai lebih banyak kawalan ke atas Wikipedia.
Sekumpulan penyunting yang dikenali sebagai "tukang padam" dilaporkan sering mengedit terlebih dahulu sebelum bertanya, membuatkan para penyumbang sukar untuk mengambil bahagian dalam perkongsian maklumat.
2. Maklumat yang sahih boleh dibungkam
Semasa kejadian pihak Taliban menculik seorang wartawan New York Times iaitu David Rohde di Afghanistan, akhbar itu meyakinkan 40 organisasi media termasuk Wikipedia supaya tidak membuat sebarang laporan mengenainya kerana dikhuatiri ia boleh menjejaskan keselamatan Rohde.
Apabila berita tersebar, ramai pengguna mula menghantar artikel ke laman Wikipedia untuk mengemaskini status dan berita berkenaan Rohde. Salah seorang pengasas bersama Wikipedia iaitu Jimmy Wales telah menerima satu panggilan daripada the Times dan terus meminta para admin memantau halaman tersebut. Segala maklumat berkaitan Rohde dipadam walaupun ia adalah maklumat yang sahih.
1. Pengakuan ikhlas daripada Wikipedia
Wikipedia sendiri menulis, "Kami tidak mengharapkan anda mempercayai kami." Selain itu, dinyatakan juga dengan jelas yang ia bukanlah laman sumber fakta utama, terdapat beberapa artikel yang mungkin mengandungi kesilapan dan elakkan menggunakan Wikipedia untuk membuat keputusan kritikal.
Di samping itu, di bahagian "About" laman terbabit, Wikipedia menambah bahawa setiap pengguna perlu sedar yang bukan semua artikel mempunyai kualiti seperti ensiklopedia. Ia mungkin ditokok tambah, mengandungi maklumat palsu atau fakta yang boleh dibahaskan.
Ingat, jika anda membaca mana-mana artikel atau fakta yang diperolehi dari Internet - tidak kiralah dari Wikipedia atau mana-mana laman, pastikan ia mempunyai sumber rujukan yang boleh dipercayai. Semak dahulu setiap fakta melalui pelbagai sumber berlainan untuk memastikan kesahihannya. Jangan percaya mentah-mentah dan jadilah pengguna Internet yang bijak.